Thursday, July 07, 2011

Isu Sosilawati: Pelik Pemandu Ugut Edar Gambar...

SHAH ALAM, 6 Julai - Anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari berkata, dia rasa pelik dan tidak percaya pemandu ibunya sanggup mengugut hendak menyebarkan gambar-gambar didakwa tidak senonoh sebelum jutawan kosmetik itu dibunuh tahun lalu.

Saksi ke-11 itu memberitahu mahkamah bahawa dia menerima mesej ibunya pada pukul 7.30 malam, 30 Ogos lalu dan tidak percaya pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, atau mesra dikenali sebagai “Kamal” akan berbuat sedemikian.

“Tidak mungkin Kamal buat macam itu. Dia tidak pernah bergaduh dengan ibu sampai begitu sekali.

“Lagipun, Kamal seorang yang baik, suka buat lawak dan tiada masalah dengan keluarga kami,” katanya hari ini.

Bagaimanapun dalam mesej yang diterima, Erni Dekritawati, ibunya memberitahu “jangan bagi Kamal masuk rumah. Dia tangkap gambar emak. Kalau ada apa-apa, telefon Bishah.”

Sehubungan itu, Erni Dekritawati berkata, dia menelefon “Bishah” atau nama sebenarnya Habishah Bahari yang merupakan kawan baik Sosilawati untuk bertanyakan mengenai mesej berkenaan.

“Mak Cik Bishah memberitahu mungkin ada kamera dalam bilik. Kemudian, saya mencari kamera di bilik air, tetapi tiada,” katanya.

Jelas Erni Dekritawati dia mula syak-wasangka dan tidak mempercayai mesej ibunya.

Erni Dekritawati berkata dia mendapat mesej tersebut apabila tidak sedar panggilan ibunya.

“Saya tidak sedar sebab telefon bimbit ada dalam beg. Saya telefon semula ibu selepas membaca mesej, tetapi masuk peti suara,” katanya pada mahkamah.

Katanya, dia cuba menelefon keempat-empat mereka - Sosilawati, Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Karim dan Kamaruddin tetapi gagal.

Katanya, dia cuba menelefon semula mereka antara pukul 10 hingga 11 malam, namun semuanya masuk peti suara.

Semalam, pemandu Sosilawati dikatakan ada mengugut untuk mengedarkan gambar-gambar Allahyarham yang tidak senonoh.

Isteri Noorhisham, seorang konsultan kewangan CIMB, Suzana Radin Pangat memberi keterangan bahawa suaminya ada menghubunginya 30 Ogos lalu sekitar pukul 8 malam dan memaklumkan dia tidak akan kembali ke rumah selama tiga hari.

“Dia kata dia mahu selamatkan Datuk Sosilawati,” kata Suzana.

Dalam pada itu laporan Bernama Online berkata, Sosilawati pernah menunjukkan cek bernilai RM1 juta yang diterimanya daripada bekas peguam N.Pathmanabhan di Banting awal Ogos lalu.

Sahabat karib Sosilawati, Junaidah Ismail, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi, cek itu ditunjukkan kepadanya selepas sahabat karibnya itu berjumpa dengan Pathmanabhan, yang merupakan antara yang didakwa membunuh Sosilawati dan tiga lagi, di hadapan pejabat bekas peguam itu yang terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat pada 3 Ogos lalu.

Junaidah yang merupakan saksi ke-13 berkata demikian pada hari ketiga perbicaraan kes Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; Noorhisham, 38; peguam Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos lalu.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

“Wati (Sosilawati) suruh saya tengok dan berkata ‘aku dapat payment’ dan semasa saya nak pulangkan cek itu semula kepadanya saya nampak cek itu cek tunda,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

“Saya tanya kenapa tarikh September sedangkan ini bulan Ogos tetapi dia (Sosilawati) kata tidak apa, sebab mereka dah bincang sebelum ini. Cek itu adalah atas nama Southern Symphony Sdn Bhd ,” katanya.

Junaidah yang mengenali Sosilawati sejak 28 tahun lepas berkata dia juga mentertawakan tulisan di atas cek tersebut yang dilihat seperti tulisan kanak-kanak sedangkan cek itu bernilai RM1 juta.

“Saya tanya kenapa tulisan macam kanak-kanak dan Sosilawati kata ‘alah Kak Jun ni’,” katanya.

Terdahulu, Junaidah berkata dia dan Sosilawati semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang menaiki kereta milik jutawan kosmetik itu yang dipandu Kamaruddin bagi meraikan ulang tahun kelahiran Junaidah, mereka telah singgah di pejabat Pathmanabhan.

Semasa mereka sampai di pejabat bekas peguam itu pada kira-kira pukul 5.30 petang 3 Ogos 2010, Pathmanabhan memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan ke pejabatnya.

Kami tunggu dia di hadapan pejabat Pathma di dalam kereta. Pathma sampai kira-kira setengah jam kemudian dan Sosilawati turun kereta serta ambil satu barang daripada Pathma sebelum masuk semula ke dalam kereta. Pertemuan mereka sekejap kira-kira lima minit dan ada perbualan antara mereka,” katanya.

“Saya nampak Pathma datang dengan kereta sport Mercedes yang saya rasa Brabus. Selepas masuk dalam kereta, Sosilawati serah cek pada saya suruh saya tengok. Selepas itu kami terus ke Pelabuhan Klang untuk sambut ‘birthday’ saya selepas Maghrib. Perbualan kami selepas itu hanya bersangkut paut dengan bagaimana nak sambut puasa dan Hari Raya,” katanya sambil menambah itu adalah kali terakhir beliau menemui Sosilawati.

Menjawab soalan Idham sama ada itu mereka pertemuan pertamanya dengan Pathmanabhan, Junaidah kata “Tidak.”

“Kali pertama kira-kira tiga tahun lepas semasa Sosilawati pernah ajak saya berjumpa dengan kawan-kawannya Datuk Suhaimi dan Sabri serta peguam mereka bernama Pathma di Hotel Pan Pacific, Sepang. Saya ada di situ tetapi tidak fokus sangat dengan perbualan mereka tetapi mereka bincang tentang urusan tanah di Pulau Pinang,” kata Junaidah.

Menyentuh mengenai kekerapan beliau menemani Sosilawati berjumpa dengan Pathmanabhan, Junaidah berkata kira-kira tiga atau empat kali.

“Selepas 3 Ogos 2010, ada terima apa-apa panggilan daripada Sosilawati atau awak hubungi dia?” soal Idham.

“Sosilawati selalu telefon dan pada 29 Ogos 2010 dia ada telefon bertanya khabar serta sembang banyak pasal persiapan Hari Raya. Lepas itu dia tanya saya nak ikut tak pergi Banting besok (30 Ogos 2010) dan saya cakap saya nak rehat di rumah. Dia (Sosilawati) tidak beritahu tujuan dia ke Banting dan itulah juga panggilan terakhir daripadanya,” kata Junaidah. (IH)

Lihat kisah sepenuhnya..

E-Buku IH-1: 'Misteri Hilangnya Jutawan Datuk Sosilawati'
E-Buku IH-1: \

No comments:

Post a Comment