Sunday, July 24, 2011

'Taksub' Drama Tahajud Cinta. Benarkah?

HALAMAN HIBURAN

KOMITMEN sebagai pembikin nashkah yang baik cuba digalas sepenuh hati oleh Erma Fatima tapi faktor menolak wujud di mana-mana sahaja.

EMAN MANAN, Ziela Jalil (tengah) dan Dira Abu Zahar dalam satu babak Tahajud Cinta

DRAMA bersiri Tahajud Cinta yang ditayangkan di saluran TV3 pada setiap Jumaat pukul 9 malam kini menjadi bual bicara ramai. Bagai tidak lengkap jika tidak menonton Tahajud Cinta berikutan ia sebuah naskhah yang dikatakan hebat apatah lagi melihat kepada barisan pelakon yang mantap.

Baru bermula tiga episod, angin panas menerpa naskhah sentuhan sutradara Erma Fatima yang sememangnya sarat dengan kontroversi. Terbaru, gerakan 'Kami Pelajar Jordan Bantah Tayangan Drama Tahajud Cinta' yang menggunakan rangkaian sosial Facebook setakat semalam sudah berjaya meraih lebih 2,500 penyokong.

Mereka membantah jalan cerita dan gaya lakonan yang jelas menghina muslimat berpurdah. Itu kata pelajar sewaktu habis menonton episod pengenalan karya dengan suntikan kerohanian tersebut. Mendekati srikandi-srikandi yang sedang membawa bunga rohani dalam drama ini, mereka punya pendapat tersendiri terhadap cetusan polemik ini.

Komentar kalian apabila Tahajud Cinta muncul dengan dua impak. Ada golongan yang sangat menyukai dan muncul pula satu golongan yang membenci siri drama ini.

MELISSA SAILA (MS): Apa jua subjek yang diberikan, pasti ada yang suka dan sebaliknya. Sangat susah untuk memuaskan hati semua pihak terutama dalam soal keagamaan. Saya tidak ada hak untuk menyatakan hal ini salah atau betul. Sebagai contoh kalau dilihat realitinya sekarang, ramai yang bertudung tapi dengan bermacam sebab. Sama juga dengan naskhah ini, ia sangat subjektif. Drama komersial pun ada menerima nasib yang sama.

DIRA (D): Saya sendiri baru dapat tahu tentang hal berkenaan. Agak terkejut kerana saya melihat Erma Fatima selaku penerbit, pengarah dan pembikin cerita tersebut cuba memberi sebuah karya yang bagus dan baik. Jalan cerita Tahajud Cinta menarik kerana ada perkara yang mahu disampaikan. Saya tidak tahu niat kumpulan pembantah tersebut.

Perkara itu tidak sihat bukan hanya untuk Tahajud Cinta tetapi untuk industri seni sendiri. Kalau tidak suka sekali pun jangan sampai mewujudkan bantahan menerusi Facebook sebegitu. Mengajak orang ramai untuk membenci sesuatu yang mereka tidak suka adalah tidak sihat.

FOUZIAH GOUS (FG): Itu hak masing-masing. Tapi secara peribadi, saya rasa terlalu awal untuk mereka menghukum drama berkenaan. Baru tiga episod ditayangkan. Penonton perlu lihat betul-betul. Contohnya, saya ada dialog, 'buang tabiat' kepada Wahdi ketika dia mahu membuka hijab saya, itu semua bersebab. Perlu faham dan jangan ikut emosi.

Kalau dilihat dalam-dalam, kami menyampaikan dengan dialog yang jelas dan bukan gerak tubuh semata yang boleh dimanipulasikan. Jika ada yang tidak kena, saya minta maaf. Berilah peluang kepada naskhah ini dan fahami dahulu. Jangan terlalu merumitkan keadaan. Adalah realiti Tahajud Cinta yang kalian rasa bertepatan dengan kalian?

D: Saya melakonkan watak Umairah, seorang wanita yang hidupnya bermadu. Saya tidak pernah menyelami kehidupan orang yang dimadukan. Tetapi saya percaya bahawa ada yang hidup dalam suasana begitu. Begitu juga dengan kewujudan Ustaz Shauki, ada individu seperti dia. Ada golongan yang hidup dalam dunia yang tidak ada televisyen dan radio serta memutuskan hubungan dengan dunia luar. Saya percaya kehidupan sebegitu wujud. Begitu juga dengan kehidupan karakter Tan Sri yang begitu duniawi. Ia wujud.

FG: Realitinya, saya belajar banyak perkara melalui drama ini. Contoh seperti kaum Hawa yang terpaksa reda dengan kemahuan ibu bapa, ayah yang terlalu taksub dengan tok guru. Saya belajar tentang pengorbanan seorang anak dan semangat kaum hawa . Naskhah Islamik mengisi kekosongan genre atau membentuk kesedaran khalayak tempatan kini?

MS: Saya melihat hal ini seperti satu trend. Bila negara luar bermula dengan pengisian naskhah Islamik, kita juga bergerak dengan naskhah sebegitu. Itu yang saya nampak sebab sebelum mereka memulakan, saya tidak nampak ada yang mahu buat. Tapi ini berbalik kepada permintaan juga. Sudah ada stesen televisyen yang mahukan produk sebegini. Bila ada permintaan maka datanglah peluang untuk membikinnya.

D: Semuanya berbalik kepada kandungan sesebuah naskhah. Ini merupakan salah satu cara untuk berdakwah. Mungkin anak remaja sekarang kurang gemar pergi melihat dan mendengar ceramah, jadi mereka boleh melihat program atau drama sebegini untuk pengisian tersebut. Saya cuma berharap agar ia disampaikan dengan cara yang betul dan semoga pembikin naskhah Islamik menggunakan kaedah yang betul dalam penyampaian. Jangan sampai terpesong.

FG: Islam itu indah dan apa yang saya lihat, Tahajud Cinta banyak mengajar. Malah saya juga belajar dan mendapat ilmu melaluinya. Segala yang berlaku dalam drama datangnya daripada realiti kehidupan manusia. Ada baik dan buruknya. Sejauh mana keterbukaan khalayak terhadap naskhah Islamik yang tulen?

MS: Saya melihat dalam konteks budaya. Budaya orang kita, apabila orang luar buat mereka boleh terima. Bila orang tempatan buat, mereka tidak boleh terima. Orang kita sebenarnya tidak terbuka untuk kritikan baik pembikin mahupun penonton.

Contohnya kalau kita buat cerita tentang pegawai kerajaan atau polis, kita tunjuk sisi hitam, khalayak menuduh kita memperlekehkan pekerjaan mereka walhal itu realiti. Itu semua tentang kehidupan. Tapi bila mereka melihat karya luar, mereka tidak kritik. Ini semua berbalik kepada mentaliti dan kesedaran.

D: Soal agama sangat subjektif. Harapan saya agar masyarakat boleh menerima dengan hati terbuka. Saya tidak berani bercakap lebih tetapi secara terbuka, saya harap khalayak dapat terima dan bersifat terbuka.

FG: Segala komentar tidak semestinya salah. Masing-masing ada hak untuk bersuara tetapi janganlah terus menghukum. Konflik sebenar hanya akan bermula pada episod keempat. Ini baru pengenalan. Kalau ada kekurangan, tegur dengan cara yang baik dan bukan mengutuk. Filem sekarang banyak menampilkan aktor-aktor sebagai 'hero' dan aktres sekadar bunga. Sejauh mana kalian melihat kekuatan aktres kini dalam sesebuah naskhah?

D: Saya sedar situasi itu. Kenapalah susah sangat untuk ada sebuah naskhah untuk perempuan dan saya tidak suka apabila karakter aktres diwujudkan hanya sebagai bunga. Tapi memikirkan kembali, ini berbalik kepada suntikan minda tentang aktres yang harus kelihatan cantik sepanjang masa.

Rambut panjang itu mahkota dan kulit licin itu satu faktor pelaris. Mungkin itu sebab situasi ini terjadi. Hakikatnya, aktres hanya digunakan sebagai patung cantik dalam filem dan tidak ada yang mahu menggali bakat aktres. Saya rasa masih banyak pelakon wanita yang masih belum digali bakatnya.

FG: Ada juga naskhah yang hanya mahu menumpukan kepada karakter lelaki. Ini terpulang kepada pembikin filem.

MS: Saya sangat bersetuju dan melihat sekarang ramai aktor yang berkualiti. Jujurnya, pelakon sekarang ramai yang mahu mengejar anugerah dan populariti.

Bagi mereka, mendapat anugerah popular itu seperti mendapat anugerah Oscar. Bila terjadi pemikiran sebegini, itu memberi kesan kepada persembahan bakat mereka. Ramai yang lebih menitikberatkan kecantikan sahaja dan bakat sudah jadi faktor kedua dalam berkarya.

Lihat Sebelum ini..

3 comments:

Pak Oncu said...

salam dr.. lu sendiri tengok erma fatima,, pakai tudung tetapi tangan terdedah dari poaras siku kebawah,, lu sendir lah pikir,, satu ketika dulu berjibab sakan,, artis itu gaya mereka ,,,,,,,,,,

Ibnu Hasyim said...

Ya, Pak Oncu,

Imam Ghazali menyebutkan, iman itu ibarat lautan, ada kala pasang, ada kala surut Itu sebabnya ada suruhan dakwah, nasihat, ada hukum, undang-undang dan sebagainya.

Peranan kita, apa yang boleh kita buat, hanya dakwah dan nasihat melalui ruang dan bidang yang kira kuasai.

Satu lagi, kena tolak pemerintah yang tidak menyuruh buat baik dan cegah mungkar. Termasuk BN yang menganjurkan perkara-perkara maksiat melebihi dari yang tuan sebut tadi...

Wassalam..

otromen noa said...

semua drama atau filem yg di katakan berunsurkan islamik sebenarnaya bukannya islamik pon. kosmetik islamik saje. dalam byk scene, dalam rumah tak tutup aurat. rambut mengerbang juga dia tunjuk. kengkandang pakai t-shirt ketat etc. kat luar rumah, bertutup litup bagai nak rak. pastu, masih berpegang tangan laki pompuan. ada tgk satu babak, siap pegang pipi berlainan jantina lain. apa kes? ini di katakan islamik? jgn di sebabkan alasan, 'ini cuma lakonan' arahan Allah nak di langgar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails