Tuesday, July 12, 2011

'Turun Padang', Percepat Permohonan Rakyat



KOTA BHARU, 12 Julai 11: Negeri Kelantan perlu dicontohi, terutama dalam mempercepatkan permohonan rakyat. Antaranya program 'turun padang'. Sebelum ini jarang orang ramai mengenali pegawai kanan kerajaan negeri biar pun mereka merupakan ‘tulang belakang’ jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Penduduk kampung lebih mengenali ketua jajahan (DO) memandangkan mereka sering berurusan di pejabat Tanah dan Jajahan. Mengambil kira kelompangan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) baru, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim akan memperkenalkan program ‘turun padang’.

“Melalui program sebegini pihak pengurusan akan dapat mengenali masyarakat secara dekat dan mengenal pasti pelbagai masalah berkaitan pentadbiran negeri.

”Selain itu dapat maklum balas segera dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya pada perhimpunan penjawat awam negeri bagi bulan Syaaban di Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya Datuk Ahmad Ya’kob, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Penasihat Undang-Undang, Datuk Azlan Abdul Halim dan anggota-anggota Exco.

Dr Zainuddin menggantikan Datuk Mohd Aiseri Alias yang pencen wajib akhir Jun lalu. Ekoran perubahan itu berlaku rombakan agak besar dalam jentera pentadbiran negeri.

Beliau berkata, program turun padang juga dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara penjawat awam di peringkat jajahan.

Oleh itu kata beliau konsep ziarah akan diperkasakan dan akan diketuai beliau sendiri.

Katanya juga beliau akan memperkenalkan program House Keeping di seluruh pejabat kerajaan negeri serta mengadakan kerjasama pintar dengan jentera pentadbiran kerajaan Terengganu.

Beliau juga mengakui beberapa urusan berkaitan permohonan rakyat perlu dipertingkatkan lagi.

“Kita akui masih berlaku kelewatan pemprosesan sesuatu permohonan, maklumat yang tidak lengkap terutamanya di peringkat jajahan. Ini akan diperbaiki seberapa segera,” katanya. (IH)

1 comment:

anisah said...

Bagus tetapi jangan bila tiba musim pilihanraya sahaja baru mahu turun padang. Nanti pengundi kata ini macam UMNO juga. Nanti Najib kata tiru dia pulak. Maklumlah sekarang ni pun PAS Johor pun ghairah sangat nak ganti UMNO.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails