KL 16 11: Ketika kebanyakan artis galak menggunakan laman sosial Twitter dan Facebook untuk berkomunikasi dengan peminat, berbeza sekali dengan penyanyi dari kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam, 61. Dia akui dengan faktor usia dan kesusahan mengikuti arus kemodenan masa kini membuatkan dirinya tidak menggunakan dua medium komunikasi popular masa kini.
“Saya tidak perlukan Twitter dan Facebook untuk diri sendiri tetapi ada individu lain yang menguruskan laman sesawang rasmi Alleycats dan mengemas kini setiap aktiviti serta maklumat tentang kumpulan ini.
“Jika ada e-mel daripada peminat, dia akan maklumkan kepada saya seperti seorang peminat dari England yang baru sahaja menghubungi saya selepas kali terakhir kami berjumpa pada tahun 1986 semasa saya membuat persembahan di Pulau Pinang,” katanya dalam satu temu bual di Crossroads Lounge, Hotel Concorde, di sini, Isnin.
Biarpun tidak berinteraksi dengan peminat di alam maya, namun ke mana-mana sahaja dia pergi pasti ramai yang menegur dan mengambil peluang untuk merakamkan gambar tanpa mengira bangsa dan usia memandangkan kumpulan ini sudah ditubuhkan sejak 43 tahun lalu dan menghasilkan 30 buah album.
Tambahnya yang popular dengan lagu Sampaikan Salam dan Sekuntum Mawar Merah: “Saya akui seorang yang old school dan tidak pernah berasa teruja untuk belajar melayari Facebook dan Twitter yang menjadi kegemaran ramai.
“Sebaliknya, saya lebih selesa berjumpa dengan peminat dan mengalu-alukan mereka datang ke tempat saya selalu membuat persembahan seperti di Spark Club, Petaling Jaya atau di mana-mana acara korporat dan perkahwinan.
“Terbaru, saya akan membuat konsert berjudul “Sampaikan Salam” di Istana Budaya, pada 16 hingga 18 September ini dan mengharapkan ramai peminat yang datang nanti.”
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Alasan-alasan begini (mengenai Facebook dan Twitter) tidak sepatutnya ada kepada pendakwah-pendakwan kita, walaupun sudah berusia lanjut. Selagi berdakwah wajib, maka mempelajarinya pun wajib.Bayangkan anda boleh berceramah dan menyatakan pandangan di seluruh dunia hanya dengan duduk di rumah? Teknologi maklumat sudah berkembang laju pesat, apa kita masih berkereta lembu sahaja? (IH)
No comments:
Post a Comment