Saturday, August 13, 2011

Isu Baca Quran Subuh, Zahid Hamidi Batu Api


BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melarang masjid dan surau menghentikan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh di negeri itu tidak akan berlaku jika kerajaan negeri Pulau Pinang sensitif terhadap agama Islam.

Beliau berkata perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam.

"Saya amat dukacita fatwa yang dikeluarkan oleh JHEAIPP yang selama ini tidak ada sebarang kajian dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai larangan itu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid berkata larangan yang dikeluarkan oleh JHEAIPP itu merupakan arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri. Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya merujuk fatwa itu kepada Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua agama. Katanya, apa yang dikhuatiri sekarang ialah larangan tersebut akan menjadi ikutan kepada negeri lain yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

"Biarpun kita menghormati agama lain, sebagai sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, amalan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara harus dihormati," katanya.

Beliau berkata, "dalam soal agama dan bangsa, jangan harus berbeza pendapat walaupun mempunyai fahaman politik yang berlainan, kita harus bersama dalam menegakkan syiar Islam.

"Mereka yang menjadi pemimpin parti politik hendaklah senada memberikan pendapat, jauh sekali memberi pendapat politik sebagai fatwa Islam," tambah Ahmad Zahid.-BERNAMA

Sedangkan, di Petaling Jaya, bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar bacaan al-Quran tidak dikuatkan menggunakan pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat.

"Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi Muhammad s.a.w dan juga menjaga Islam yang harmoni.

"Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak," katanya dalam satu kenyataan diblognya pada, Sabtu.

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, Islam mensyariatkan suara yang wajar diangkat, hanyalah azan dan 'selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.'

Tegasnya, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad kerana ia mahu ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

"Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan yang disampaikan.

"Ramai orang bukan Muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara.

"Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit," katanya.

Jelasnya, ulama silam juga telah mengingatkan hal ini bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.

"Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi pernah berkata, ‘antara tipu daya iblis ialah mereka yang mencampuradukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.

"Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar'," ujarnya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dari dua kenyataan di atas, jelaslah kenyataan Menteri UMNO adalah batu api yang boleh memecahkan perpaduan antara agama di negara ini. Mengikut dasar 'pecah-pecah perintah'. Sedangkan kenyataan bekas Mufti Perlis yang juga pensyarah USM adalah berdasarkan kehendak agama Islam. Dasar penyatuan Islam. Itulah yang sewajarnya.

Rakyat kena tolak carafikir penjajah bawaan UMNO itu... (IH)

1 comment:

Anonymous said...

klu UMNO yang keluarkan arahan itu. Agak2 apa hadis akan PAS gunakan utk menyalahkan kerajaan?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails