Saturday, August 13, 2011

Kegiatan Peminta Sedekah Awal Ramadan.. -N/Aziz

PENGKALAN CHEPA, 13 Ogos 11: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa bimbang berhubung fenomena di atas sikap segelintir masyarakat yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memohon simpati orang ramai di bulan Ramadan ini. Kini dikatakan semakin berlaku setiap tahun termasuk dari masyarakat negara jiran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kegiatan meminta sedekah bermula sejak awal Ramadan lagi selepas menyampaikan sumbangan kepada 490 orang dalam Dun Chempaka yang terdiri dari golongan armalah, warga emas dan anak-anak yatim.

Beliau yang mengakui turut menjadi tempat mereka memohon simpati berkata suasana itu menimbulkan sedikit suasana yang tidak enak, apa lagi sejak awal lagi golongan itu berkumpul memohon sumbangan.

"Apabila mereka ke rumah, sudah pasti saya menggunakan duit poket saya, kalau sumbangan kerajaan kena ke pejabat. Sebelum memberi saya kena pastikan mereka ni benar-benar miskin, orang tua dan cacat," ujarnya.

Sekiranya orang yang muda, sehat pula datang memohon ianya menjadi satu kesukaran baginya untuk memberi atau sebaliknya. Menurutnya, kadang-kadangan golongan ini datang dari luar dengan menaiki kenderaan tertentu yang ditinggalkan oleh pemandunya.

Tuan Guru seterusnya memberitahu, berbagai kaedah digunakan mereka untuk memohon simpati, contohnya tahun lalu mereka membalut tangan seperti patah datang ke rumahnya memohon sumbangan, namun pada masa yang sama terserempak dengan jirannya orang terbabit membeli rokok dengan keadaan tangan yang tiada masalah.

"Perkara ini bukan sahaja menyusahkan saya juga kepada mereka yang sering menjadi tumpuan peminta untuk memohon simpati," ujarnya.

Seharusnya, tambah beliau bulan Ramadan umat Islam membersihkan jiwa dengan memperbanyakkan ibadat dan bukannya berbuat demikian. Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau mengingatkan pembantunya supaya memberikan sumbangan kepada mereka yang layak tanpa memilih fahaman politik dan bangsa dalam setiap sumbangan yang diberikan.

"Penerima juga seharusnya mendoakan kepada pemberi semoga dengan cara itu akan menambahkan keberkatan serta murah rezeki,"ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarkat negeri, Mohd Noor Chik, pihaknya menyediakan RM80,000 kepada setiap Dun untuk diagihkan kepada penerima sempena bulan Ramadan. Jelasnya, sumbangan itu diperolehi dari kerajaan negeri dan Persekutuan. Di negeri ini seramai 32,000 orang penerima di bawah JKM sepanjang tahun ini. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails