▼
Sunday, August 28, 2011
Gambar Nik Aziz, Khalid Samad Diconteng Tanda Salib.
KL 28 Ogos 11: Harakah melaporkan, sekurang-kurangnya tiga kain rentang PAS yang digantung sebagai mengalukan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri di sekitar Shah Alam diconteng pihak tidak bertanggungjawab.
Malah lebih teruk dari itu, beberapa wajah pemimpin PAS pada kain rentang itu diconteng dengan tanda salib. Kejadian tersebut dikesan sejak semalam di sekitar kawasan Seksyen 23, Shah Alam. Antara yang menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut adalah wajah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Abdul Samad yang diconteng dengan dakwat merah.
Menurut seorang penduduk yang memaklumkan kejadian itu kepada Harakahdaily, beliau berkata perbuatan khianat dan tak berakhlak tersebut dipercayai dilakukan semasa waktu berbuka puasa dan waktu ramai orang berada di masjid dan surau utk qiamullail.
"Sebelum kejadian ini sudah 4 kali kain-kain rentang sambut Ramadan yang jumlahnya 12 bidang kesemuanya telah dipotong pada waktu yang sama,' katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.
Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama awal Ogos lalu yang kini hangat diperdebatkan semua pihak. Berhubung isu itu, PAS menyatakan pendirian mereka agar Jais membuat pendakwaan jika mempunyai bukti wujud usaha mengkristiankan orang Islam.
Sementara itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily melahirkan rasa kesal dengan tindakan "puak-puak jahat" tersebut.
"Ini kerja orang yang tidak ada akhlak. Saya tidak mahu kata Umno yang buat tetapi rakyat tahu siapa yang buat ini dan dapat menilai sendiri," katanya.
Menurutnya lagi, PAS tidak pernah membuat perkara serupa kepada mana-mana pihak walaupun tidak berpuas hati terhadap satu-satu isu. "Conteng salib itu seperti tuduh orang jadi Kristian lah. Ini bukan benda ringan, tetapi dah mereka jahil nak buat macam mana," katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.
Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, beliau bagaimanapun tidak akan berbuat demikian dan hanya berdoa kepada Allah agar pihak yang bertanggungjawab diberikan hidayah. (IH)
No comments:
Post a Comment