Thursday, August 18, 2011

Siasat 3 Wanita PSM Dibogelkan -Dew Muslimat



KL 18 Ogos 11:
Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mendesak Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Negara menyiasat dakwaan tiga wanita parti Sosialis Malaysia (PSM) bahawa mereka diperlakukan tidak sopan sewaktu dalam tahanan polis di Pulau Pinang Jun lalu.

Ketua Penerangan, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, insiden sedemikian tidak seharusnya berlaku khususnya selepas Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Polis (IPCMC) menegaskan bahawa tindakan membogelkan orang kena tahan (OKT) adalah salah dan wajar dihentikan serta merta.

"Muslimat PAS mendesak Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien Onn selaku Menteri yang bertanggungjawab segera mengarahkan Ketua Polis Negara menjalankan siasatan ke atas dakwaan ini dan wajib mengambil tindakan lebih tegas kepada semua anggota Polis yang terlibat dalam kejadian tidak bermoral, biadab, tidak menghormati martabat insan, membelakangi syor-syor IPCMC hatta sangat tidak Islamik ini," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tiga wanita terbabit, G Packialetchumy, P Indra dan P Jody yang ditahan bersama lebih kurang 28 orang yang lain pada 25 Jun lalu di Balai Polis Kepala Batas, Pulau Pinang sewaktu menyertai program jelajah parti itu.

Sewaktu di dalam lokap, mereka dipaksa menanggalkan pakaian dan berbogel di hadapan anggota polis wanita dan juga anggota polis lelaki.

Aiman berkata, tindakan tersebut jelas menjatuhkan maruah manusia dan memburukkan imej serta mencemar kecantikan Islam di mata rakyat apatah lagi majoriti Menteri Kabinet, pimpinan-pimpinan tertinggi Polis dan anggota polis itu sendiri adalah beragama Islam.

"Hatta, pentadbiran BN sendiri telah dengan bangganya mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam namun budaya kerja anggota polis yang terbabit ini sangat jauh daripada ajaran Islam," katanya.

Justeru DMPP mendesak Hishammuddin dan Tan Sri Ismail Omar segera mengemukakan permohonan maaf kepada seluruh Wanita Malaysia atas kebiadapan anggota dan kakitangannya.

Sekiranya mereka tidak berbuat demikian , DMPP bersama badan bukan kerajaan (NGO) wanita tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan satu Himpunan Wanita bagi menuntut agar kerajaan menghormati maruah seluruh kaum ibu yang ada di negara ini.

"Isu membogelkan tahanan dan menanggalkan pakaian tahanan secara paksa adalah kejadian yang sering berulang. Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sewajarnya berasa malu kerana ternyata gagal memastikan kakitangan dan anggota mereka daripada melakukan tindakan terkutuk seperti ini.

"Ini termasuk juga tindakan kekerasan seperti memukul dan menendang tahanan. Apatah lagi yang terlibat ini ternyata bukan penjenayah, tetapi lebih bersifat ”tahanan politik”, lantaran mereka berbeza parti daripada pemerintah iaitu Barisan Nasional.

"Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara wajar menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam menyelesaikan masalah seperti ini dan seterusnya memastikan agar ianya sama sekali tidak akan berulang.

"Hukuman lebih berat wajar dipertimbangkan terhadap anggota-anggota polis yang terlibat melakukan kesalahan ini termasuk kemungkinan hukuman seperti ”Qisas” (balas balik – bogelkan pula anggota polis yang terlibat) agar mereka belajar memahami apakah maknanya menghormati martabat insan itu," tegasnya.

Semalam tiga wanita terbabit diiringi pimpinan parti menyerahkan memorandum ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengadu mengenai perkara tersebut. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails