Monday, September 19, 2011

Artis Ini Bertudung, Langkah Awal Ubah Jadi Baik

HALAMAN REMAJA

SITI NORDIANA atau Nana kini selesa dengan imej baharunya, bertudung.

SEPANJANG bergelar anak seni, kisah mengenai penyanyi Siti Nordiana Alias sering kali menjadi perhatian. Biarpun namanya tidak terlalu gah berbanding beberapa penyanyi yang lain, namun dia mempunyai peminat tersendiri dan masih lagi mampu bertahan sehingga kini.

Sudah lumrah menjadi seorang artis, apa sahaja yang dilakukan pastinya akan dinilai oleh peminat. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap penyanyi yang bergelar ibu tunggal ini. Biarpun jarang terpalit dengan kontroversi hangat, namun namanya pernah sedikit terjejas gara-gara penampilannya ketika hadir pada majlis yang dianjurkan oleh sebuah majalah pada tahun lalu.

Pada majlis berkenaan dia telah mengejutkan ramai pihak apabila tampil dengan gaya yang cukup seksi, sedangkan selama ini dia dikenali sebagai artis yang sering tampil dengan gaya yang sopan. Gambar-gambarnya pada majlis itu telah tersebar di laman-laman blog sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak yang seolah-olah tidak dapat menerima imej yang ditampilkannya itu.

Bagaimanapun, berkesempatan menemui penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Nana itu dalam sebuah majlis, sekali lagi mengejutkan ramai pihak terutama yang hadir pada majlis berkenaan. Pada kali ini, penyanyi berkenaan tidak lagi tampil dengan gaya seksi seperti sebelum ini. Sebaliknya, kini Nana lebih kelihatan anggun dan menarik apabila dilihat sudah memakai tudung.

"Sebenarnya saya sudah mula memakai tudung sejak bulan puasa yang lalu. Keputusan saya memakai tudung ini bukanlah disebabkan fesyen semata-mata, tetapi ini adalah imej terkini saya dan berharap ia akan kekal sampai bila-bila.

"Lagipun perubahan imej yang saya lakukan ini adalah satu kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai seorang wanita muslim. Malah, ini juga adalah langkah awal untuk saya berubah ke arah menjadi seorang insan yang lebih baik," jelasnya.

Menurutnya lagi, dia sebenarnya sudah lama mempunyai niat untuk bertudung memandangkan anaknya iaitu Mohamad Rayyan Nakhaie semakin membesar. Namun, hanya pada bulan puasa yang lalu hasratnya itu dapat direalisasikan.

Sementara itu, ketika ditanya apakah yang membuatkan pintu hatinya terbuka untuk memakai tudung, Nana menjelaskan kesedaran tersebut bermula apabila dia banyak membaca majalah yang berbentuk Islamik.

"Dalam kebanyakan majalah yang dibaca, saya sebenarnya cukup tertarik ketika membaca kisah-kisah mengenai saudara baharu. Walaupun baru memeluk Islam, tetapi saya lihat saudara baru terutama yang perempuan tidak keberatan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

"Selepas itu baharulah timbul kesedaran dalam diri sehingga saya mengambil keputusan untuk bertudung. Saya akui yang saya ini bukanlah terlampau baik, tetapi saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berubah sedikit demi sedikit," ujarnya.

Al-hamdulillah moga-moga Allah SWT akan menghamburkan taufik dan hidayahnya agar menjadi wanita solehah, dan mendapat nikmat kemanisan iman sehingga sanggup mnghadapi segala rintangan, halangan dan cubaan dalam kehidupan ini. (IH)

2 comments: