Saturday, September 17, 2011

Bebas Atau Dakwa Tahanan ISA, Jika Ikhlas -PAS



KL, 17 Sept 11:
Bebaskan semua tahanan ISA yang sedang ditahan di Penjara Kamunting sebagai langkah keikhlasan pertama, ekoran pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghapusan akta tersebut.

“Jika tidak dapat dibebaskan dengan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan ke mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa mereka adalah golongan pengganas,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan mereka yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan kekal dalam jagaan sehingga dua akta baru diluluskan. Beliau turut menambah, tahanan yang sedia ada buat masa ini telah ditahan kerana disyaki mempunyai talian dengan rangkaian pengganas.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri berkata dua akta baru hanya akan dibentangkan di parlimen pada tahun depan.

“Amat dikesali kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA kini akan kekal ditahan sehingga dua akta baru menggantikan ISA disiapkan.

Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambahkan perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib semalam,” bidas Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim berkata seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah keikhlasan dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“…bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan beliau,” tambah beliau.

PAS, katanya yakin terdapat puluhan lagi yang ditahan dalam kem Kamunting sekarang dengan pelbagai tuduhan yang mungkin hanya berpunca daripada sangka buruk, dendam dan politik seperti yang berlaku pada 6 ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.

“Najib mesti memilih antara dua pilihan ini - sama ada mereka mesti dibebaskan atau dibicarakan,” tegas Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Di samping itu, PAS juga menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara, ekoran Najib mengakui terdapat kepincangan dalam akta draconian tersebut sekiranya beliau betul-betul ikhlas dalam reformasi ini. Beliau menasihatkan Najib supaya tidak cepat menolak tanggungjawab untuk memohon maaf kepada bapa-bapa negara yang lalu kerana mereka yang menggubal akta yang zalim ini.

Sebaliknya, kata beliau, Najib patut mewakili bapa-bapa negara yang lalu untuk memohon maaf kepada semua tahanan ISA kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama iaitu Barisan Nasional.

“Sebagai tanda keikhlasan juga, kerajaan tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja kerana mangsa kekejaman ISA terus tertekan samada dari sudut mental, fizikal maupun spiritual. Nama mereka mesti dibersihkan akibat akta zalim ini,” cadang beliau. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails