Jenazah Noramfaizul Mohd Nor diusung dari pesawat sejurus tiba di Pangkalan TUDM Subang pagi tadi. — Foto oleh Choo Choy May
SUBANG, 4 Sept 11: Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pukul 10 pagi tadi.
Suasana hiba menyelubungi perkarangan pangkalan itu sebaik jenazah Allahyarham dibawa keluar daripada pesawat C-130 TUDM yang turut membawa pulang anggota misi bantuan Malaysia itu.
Jenazah Allahyarham yang diiringi Pengerusi Putera Umno merangkap ketua misi bantuan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, disambut anggota keluarga termasuk ayah Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan ibu Naemah Abd Majid, 63.
Laporan Bernama Online menyebut, selain anggota keluarga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul dan kumpulan misi bantuan kemanusiaan bertujuan membantu mangsa kebuluran di Somalia.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jurugambar dan jurukamera mewakili pelbagai organisasi media kelihatan berkerumun di bahagian belakang pesawat ketika keranda dilitupi “Jalur Gemilang” yang membawa jenazah Allahyarham dibawa keluar untuk dibawa ke Masjid TUDM.
Dalam kejadian kelmarin, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan. (IH)
Lihat sebelum ini...
No comments:
Post a Comment