Wednesday, September 07, 2011

K'jaan Perlu Bersihkan Nama Mat Indera -Keluarga

Baharom Shah Indera (tengah) bersama Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (kanan) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini
KL, 7 Sept 11: Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat pada sidang media hari ini.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PAS di sini, katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”

Sidang media turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil. Isu Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong menjadi kontroversi selepas disentuh oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada satu ceramah bulan lalu. Beliau mengatakan bahawa peranannya dilupakan dan dilabel sebagai pengkhianat negara.

Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.

Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”

“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.

Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang diselamatkan itulah yang diselamatkan... ramai.”

Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.

“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.

Baharom menambah, abangnya sangat komited dengan agama dan mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan semasa terlibat dalam gerakan kemerdekaan negara.

“Beliau sering mengadakan perjumpaan dalam keluarga dan mendidik keluarga untuk komited dengan ajaran agama Islam.

“Beliau selalu menafikan, beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan British,” katanya lagi.

Kata Baharom, “sekarang negara sudah merdeka, kalau bukan kita yang membersihkan nama Mat Indera, siapa lagi yang boleh membersihkan nama beliau.”

“Saya berharap pihak kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan akan mengambil usaha segera... lakukan sekarang, isytihar beliau bukan pengkhianat,” katanya ketika ditanya siapa yang wajar dan dalam berapa lama isu ini perlu diselesaikan.

“Kita sudah merdeka lebih 50 tahun, saya berharap kerajaan akan melakukan dengan segera,” kata beliau yang turut berpegang pada buku terbitan kerajaan negeri Johor yang berjudul “Pengukir Nama Johor”.

Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua. Baharom berkata, beliau pernah menulis dua tiga artikel mengenai keperluan membersihkan nama abangnya di Utusan Malaysia pada 1978 atau 1979.

“Jadi ini harapan keluarga saya sekarang,” katanya dan menegaskan, pihaknya berpegang pada pendirian itu kerana “pegangan agamanya (Mat Indera) kuat dan seorang yang tegas dan tegar melawan British.”

“Saya serah kepada siapa yang hendak buat kajian, bersihkan nama dia,” tambah beliau.

Suhaizan juga berkata Mat Indera bukan seorang yang berideologikan komunis.

“Kalau dia seorang berideologikan komunis, sudah pasti dia tidak beragama,” katanya sambil menambah, “kemungkinan Mat Indera mempergunakan PKM untuk kemerdekaan negara.”

“Tetapi pada pandangan kami, dia tidak berideologikan komunis, dia hanya ahli PKMM dan API (Angkatan Pemuda Insaf),” katanya.

Mengenai laporan media bahawa Jamilah menafikan keluarganya diselamatkan oleh Mat Indera, Suhaizan berkata, “apa yang saya kata (dipetik Sinar Harian) adalah Mat Indera menyelamatkan Jamilah, bukannya menyelamatkan keluarga Jamilah.”

Jamilah dipetik berkata jika Mat Indera menghalang pihak komunis membunuh keluarganya ketika itu pasti ibu dan adik lelakinya tidak akan terkorban dalam serangan tersebut.

Kata Suhaizan, Naib Yang Dipertua PAS Pulai Zaba Ibrahim telah bertemu dengan Jamilah pada Ahad lalu, dan turut mengakui bahawa Mat Indera yang menyelamatkannya. Ibu Jamilah dan adik lelakinya merupakan antara yang turut terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950.

Suhaizan juga berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah sekretariat untuk mengkumpulkan maklumat dan bahan yang berkaitan. “Dengan sekretariat itu, mana-mana keluarga yang hendak menuntut ganti rugi daripada British atas kecuaiannya sehingga ramai kakitangan polis dan anggota keluarga mereka terbunuh, akan dibantu dan diuruskan,” katanya. (IH/The Malaysian Insider)

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails