Saturday, September 03, 2011

Mat Indera Seorang Mujahidin, Wanted: $75,000.00



NAMA Mat Indera (gambar) sekarang sudah top. Seorang hero pejuang kemerdekaan. Melawan penjajah sebelum merdeka. Pejuang-pejuang kemerdekan yang ditabal UMNO, ialah tokoh-tokoh pengampu penjajah yang berjuang melalui parti anak didik penjajah, iaitu UMNO sendiri.

Menurut Mohamed Hadi al-Majwi melalui Harakahdaiy net.hari ini..

"Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO.

"Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn.

"Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman.

"Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan." Tulis beliau.

Siapa Mat Indera?

Mat Indera: gambar atas & bawah bertanda.

"Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini.

"Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

"Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

"Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988).

"Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. I

"Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah."

Mat Indera & Bukit Kepong

Gambar Atas: Foto Balai Polis lama Bukit Kepong (Foto oleh Ismid)

Gambar Atas: Foto anggota Balai Polis Bukit Kepong sebelum serangan (anakmuar)

Mohamed Hadi al-Majwi terus mendedahkan..

"Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong.

"Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera.

"Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

"Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya.

"Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953." Begitu, Mohamed Hadi.

Tafsir Sejarah..

Kata Mohamad Hadi lagi..

"Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beajuri merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Dia pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian. Pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961."

Kalau Mat Indera pengkhianat, apakah Sarjan Bajuri itu pejuang bangsa, atau talibarut penjajah macam pemimpin-pemimpin UMNO lain? Ataupun juga golongan cari makan atau pemberkas upahan?

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus dibincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati.

Kata Profesor Datuk Abu Bakar lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'". Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah.

Secara jelas Ismail Adnan dalam biografi Mat Indera dari dalam buku ini menukilkan, "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu, bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan".

Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut..

"Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang".

Mat Indera Seorang Mujahidin

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kalau Mat Sabu pencetus idea Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan itu pengkhianat, adakah Yayasan Warisan Johor juga pengkhianat seperti Mat Sabu? Yang jelas, kebenaran sejarah biasanya ditentukan oeh pemerintah yang berkuasa pada masa itu. Itulah yang terjadi kepada sejarah Islam dan sejarah golongan-golongan tertindas.

Namun kebenaran tetap akan sirna dan serlah, walaupun terpaksa melalui perjuangan yang panjang. Orang-orang seperti Mat Indera bukan hanya seorang pejuang, tetapi juga seorang mujahidin.. Di mana bedanya, diakhirat beliau akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah SWT. Hasil tanaman didunia, musim tuainya ialah di akhirat. Itulah yang diperjuangkan oleh PAS bersama sekutu-sekutunya sekarang. (IH)

5 comments:

Anonymous said...

Mat Indera boleh berjuang dengan pejuang Islam melayu lain dengan membentuk gerombolan gerila sendiri. Tetapi kenapa beliau mendapatkan pertolongan dari komunis jahanam sedangkan mungkin beliau tahu selepas jepun menyerah kalah pihak komunis telah bermaharajalela membunuh orang awam di Tanah Melayu. Boleh tuan jelaskannya, terima kasih

Anonymous said...

gelira islam yang mana satu?

Anonymous said...

Pejuang islam ke macam ni kalau berseronkol dengan komunis? Rata-rata pengikutnya adalah cina kafir yang secara terang2 menentang melayu atau islam. Macam ni ke yang dikatakan mati syahid?

pokku(putrajaya) said...

Lepas tu nak berjuang dengan b-end baru syahid ko??? buta sejarah atau mu ni jenis buta tuli wahai anon??kalu dah talibarut b-end, memang sah buta segala2nya...

Unknown said...

ermmm assalamualaikum...maaf mencelah..sy ini lahir dan membesar di pekan bukit kepong..kalau nak diceritakan terlalu banyak cerita dari mulut orang2 terdahulu..tapi kalau nak menanya atau bertanya sudi2 lah datang dan cari2 lah orang yang sepatut nya..semua cerita ada yang besaksi dan ada saksi nya...mungkin boleh berkampung lama sedikit macam national geografi kat dalam tv tu ke..samapai berbulan bulan ke bertahun ahun ke..baru lah sedikit jelas rase nye....allahhualam....... :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails