Monday, September 05, 2011

Pertikai Raya Selasa, Bukan Anak Bulan Syawal Dilihat.

SEJUMLAH orang bersolat Hari Raya Aidilfitri di luar sebuah masjid di Mekah pada Selasa lalu.
JEDDAH - Sejumlah cendiakawan Islam mengancam untuk menyaman seorang ahli astronomi Arab Saudi yang juga seorang saintis, Khaled Al-Zaaq kerana meragui tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Khaled sebelum ini mempertikaikan pengakuan beberapa rakyat Arab Saudi yang mengaku melihat anak bulan Syawal pada hari Isnin lalu. Beberapa rakyat yang melihat anak bulan itu membuat penemuan tersebut kepada Jawatankuasa Melihat Bulan di Arab Saudi yang dikenali sebagai Hilal yang kemudian memutuskan Aidilfitri jatuh pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Khaled menyatakan apa yang dilihat oleh rakyat Arab Saudi itu adalah planet Zuhal dan bukan anak bulan Syawal. Beberapa cendiakawan mempertahankan kenyataan kumpulan orang yang melihat anak bulan itu dengan menyatakan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah tepat.

Anak bulan itu amat jelas kelihatan pada malam hari Selasa lalu. Ia sekali gus menyokong kumpulan orang yang melihat anak bulan itu. Sejumlah penduduk di kawasan Al-Ais menyatakan mereka melihat anak bulan itu pada Isnin lalu selama setengah jam. Kumpulan orang yang dipilih untuk melihat anak bulan itu merupakan golongan yang berintegriti.

Mufti Besar, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Asheikh semasa membacakan khutbah Jumaat lalu di Masjid Imam Turki bin Abdullah di Riyadh menyatakan, ahli astronomi yang mempertikaikan anak bulan tersebut cuba untuk memaksakan pandangan mereka ke atas rakyat.

"Kami mengikuti ajaran Sunah Nabi kita dengan kuat semasa menentukan puasa dan Hari Raya Aidilfitri," katanya. - Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Menurut Mufti Besar Dubai Dr. Ahmad Al Haddad, untuk menghindari perselisihan berkepanjangan tentang penentuan bulan baru, negara-negara Muslim seharusnya memiliki mekanisme pemantauan hilal yang sama, disetujui dan dipatuhi oleh semua negara. Jika tidak, maka perdebatan yang sama akan terus muncul di kemudian hari.

"Kita sangat perlu sebuah satelit khusus, dengan hasil [pengamatan] yang mengikat negara-negara Muslim, guna menghapus kesalahan manusia dan menghindari perdebatan lihat bulan," kata Syeikh Al Haddad.

"Sekelompok ulama di Al Azhar, Mesir, sedang mengerjakan projek ini, akan dibahas dalam sebuah konferensi dunia, yang rencananya segera akan diumumkan oleh Liga Muslim Dunia di Makkah, atas sponsor dari pihak kerajaan," jelas Syeikh Al Hadad.

Di kawasan Arab dan Teluk sebahagian besar negara merayakan Idul Fitri pada hari Selasa 30 Ogos . Sementara yang menetapkan 1 Syawal jatuh pada hari Rabu 30 Ogos, antara lain adalah Oman dan Iran. (IH)

No comments:

Post a Comment