SHAH ALAM, 15 Sept 11: Melalui Skim Mesra Usia Emas iaitu salah satu program kebajikan di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), sekurang-kurangnya 20,999 warga emas di negeri ini sudah menikmati bantuan kerajaan negeri.
Jumlah itu merangkumi peruntukan sebanyak RM49 juta oleh kerajaan negeri sejak ia dilancarkan pada tahun 2008 sehingga April 2011. Program yang dimasukkan dalam Fasa I program MES itu juga merupakan program yang telah mempunyai perbelanjaan kedua tertinggi selepas program pemberian bekalan air percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, ianya merupakan inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam usaha membela dan menghargai warga emas di negeri itu.
Ianya merupakan satu skim khairat kematian sebagai menghargai warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi mahupun tahap sosial mereka. Melalui program ini, warga emas dan juga golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah berdaftar dan apabila berlakunya kematian, maka waris mereka akan menerima RM2,500 bagi perbelanjaan menguruskan jenazah tersebut.
"Daripada RM49 juta ini seramai 20,999 orang rakyat Selangor telah mendapat manfaat skim ini sejak ia dilancarkan pada tahun 2008 sehinggalah April 2011, pada awal pelancarannya tahun 2008 seramai 867 orang sahaja dengan kos RM867 ribu, angka ini meningkat pada 2009 iaitu seramai 8,303 melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM19 juta.
"Pada tahun 2010 kerajaan negeri mengeluarkan bantuan sebanyak RM21 juta untuk rakyatnya iaitu seramai 8,673 orang dan sehingga April 2011 ini sebanyak RM7.1 juta dikeluarkan bagi mengenang jasa baik warga emas seramai 3,156 orang," jelasnya dalam satu temubual dengan Harakahdaily.
Tiada kerjasama dari BN
Mereka yang ingin menyertai skim tersebut ujarnya perlu mendaftar di Pusat Khidmat Dun ditempat masing-masing, tidak kira sama ada kawasan tersebut di menangi oleh Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Bagaimanapun wakil rakyat BN ujarnya tidak memberi kerjasama dalam urusan mendaftarkan warga emas di kawasan mereka.
"Apa yang pasti bagi kita tidak mempunyai masalah untuk mendaftarkan nama bagi kawasan yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat tetapi bagi kawasan Barisan Nasional mereka tidak mahu membantu warga emas untuk mendaftar di dalam skim tersebut kerana mereka beranggapan ini adalah kerja politik dari Pakatan Rakyat bukannya usaha kerajaan negeri.
"Wakil rakyat BN sepatutnya perlu mengenepikan ideologi politik terlebih dahulu kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat, apa jua hasil yang diperolehi oleh kerajaan perlu dinikmati kembali oleh rakyat walaupun jumlahnya tidak begitu besar. Jika halangan sedemikian tidak diubah maka usaha murni kerajaan tidak akan sampai kepada seluruh rakyat terutamanya bagi golongan warga emas," sambung Faekah lagi.
Tambah beliau lagi tujuan Khairat Kematian ini adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan urusan yang berkaitan dengan si mati, seperti pembayaran keseluruhan atas sebahagian kos pengurusan jenazah dan pengkebumian, menyelesaikan sebahagian atau keseluruhan hutang si mati, dan sebagainya.
"Skim Usia Emas ini bukan sahaja tertumpu kepada sumbangan khairat kematian malah kerajaan negeri telah memperkenalkan Program 'Jom Shopping' kepaada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas bagi menghargai jasa mereka di samping mengukuhkan hubungan akrab di antara rakyat dan pemimpin.
"Program 'Jom Shopping' ini adalah bertujuan agar pemimpin dapat bermesra dan bertanya khabar dengan warga emas berkenaan dalam masa dua jam di samping kupon bernilai RM 100," jelasnya lagi.
Program 'Jom shopping' ini merupakan serampang dua mata yang mana selain sebagai usaha kerajaan menghargai rakyatnya malah ia juga dapat mengeratkan wakil rakyat yang dilantik bagi setiap kawasan kerana mereka yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan bagi membantu warga emas ke pusat membeli belah yang dipilih. (IH)
Sebelum ini..
No comments:
Post a Comment