Thursday, September 01, 2011

Sokong Merdeka, Sanggup Serah Barang Kemas..

Wanita pertama serah barang kemas, 'Wanita pertama' M'sia kini serah apa?

PADA usia 86 tahun Siti Rahmah masih cergas dan mampu menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Tetap Perkim Negeri Sembilan.

SEMPENA menyambut hari kemerdekaan, elok juga dipaparkan sedutan dan saringan Kosmo Online yang melaporkan kisah Siti Rahmah di sekitar 31 Ogos 1957...

"JARUM jam menunjukkan hampir pukul 3 petang. Sejak dari tengah hari, Siti Rahmah Kassim yang ketika itu berusia 29 tahun kelihatan sibuk menguruskan kehadiran ratusan peserta rombongan yang berkumpul di kawasan padang berhampiran pekan Rembau.

"Biarpun agak keletihan, wanita itu tetap meneruskan tugas-tugasnya. Selaku penganjur, dia mahu semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan. Lapan buah bas yang ditempah khas juga sudah sedia di satu sudut. Kunjungan mereka ke Kuala Lumpur pada petang 30 Ogos 1957 itu bukan untuk bersuka ria, sebaliknya mahu menyaksikan satu peristiwa paling penting dalam sejarah negara.

"Siti Rahmah sememangnya sudah lama menantikan tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu. Perjuangannya bukan bemula sehari dua, tetapi sejak 1945 lagi melalui Persatuan Melayu Negeri Sembilan dan UMNO." (UMNO tubuh 1946-IH).

Menurut Kosmo Online lagi, kini Siti Rahmah berusia 86 tahun. Dikatakan dia merupakan orang pertama menyerahkan barangan kemas (gelang perkahwinan) bagi membantu rombongan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London untuk menuntut kemerdekaan.

Jelas, keikhlasannya tergambar dalam kisahnya dipukul oleh ibunya sehingga bajunya berlumuran darah kerana memberi gelang perkahwinan pemberian ayahnya pada sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir Melaka masa itu. Berita itu juga dikatakan mendapat liputan luas akhbar-akhbar di Tanah Melayu.

Cuma sekarang, kita kurang dengar lagi kisah wanita UMNO atau puterinya yang sanggup menyerahkan barang hiasannya untuk perjuangan partinya walaupun ada yang mendapat julukan ''Wanita Pertama Malaysia'. Bila jadi isteri pemimpin UMNO, tambah 'besar' hiasan dan pembazirannya, itu makin banyak.

Mari kita kongsi pengalaman dengan Siti Rahmah lagi..

Selepas melalui perjalanan panjang dan berliku-liku, rombongan dari Rembau itu akhirnya tiba di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur ketika malam menjelma. Siti Rahmah berkata, ibu negara seakan-akan berubah wajah dengan kehadiran ribuan orang ramai dan kenderaan yang datang dari segenap pelosok tanah air.

“Menjelang malam, suasana di sekitar Kuala Lumpur penuh meriah diterangi lampu jalan. Semua orang berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor sambil membawa sepanduk dan bendera Persekutuan.

“Bangunan Sultan Abdul Samad kelihatan begitu gah diterangi lampu- yang berwarna-warni. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri,” ujar bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Bahagian Terentang (Rembau) itu.

Katanya, tepat pukul 11.55 malam, Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli Perikatan bermotosikal dan polis pengiring pun tiba. Tunku telah disambut oleh Datuk Abdul Razak Hussein dan beberapa pemimpin daripada ketiga-tiga parti Perikatan yang mengiringinya ke pentas di tengah padang. Suasana yang sebelum itu riuh-rendah bertukar sunyi sepi, masing-masing tidak sabar menanti detik 12 malam yang menandakan tarikh kemerdekaan negara.

“Tepat pukul 12 malam, jam di menara berbunyi. Secara spontan laungan Merdeka berkumandang daripada ribuan rakyat jelata yang memenuhi segenap penjuru padang,” jelasnya.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, saat yang tidak dapat dilupakan ialah ketika bendera Union Jack mula diturunkan dan lagu God Save The Queen dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhirnya pentadbiran British di Tanah Melayu. Katanya, ketika itu air matanya mencurah-curah. Dia bagaikan tidak percaya Tanah Melayu akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan selepas hampir 170 tahun dijajah British. Merdeka tanpa tumpah darah, bahkan anugerah British..

Pada malam itu juga, buat pertama kalinya lagu kebangsaan, Negaraku, diperdengarkan kepada umum. Ketika bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang dikibarkan, semua orang memberikan tabik hormat.

“Saya lihat wajah Tunku begitu berseri-seri selepas upacara malam itu, begitu juga dengan wajah-wajah rakyat jelata yang hadir.

“Masing-masing kelihatan begitu beremosi. Saya juga tidak terkecuali, ternyata perjuangan saya selama ini menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kemerdekaan telah berbalas,” ujarnya yang kini bergelar Datuk dan memegang jawatan Pengerusi Tetap Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan.

Keesokannya, kira-kira 20,000 rakyat jelata berkumpul di Stadium Merdeka untuk menantikan pengisytiharan kemerdekaan negara secara rasmi. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails