Tuesday, September 13, 2011

Utusan Serang Komunis Melalui Katun Pula.

KL 13 Sept 11: Tok Imam dan bilal surau dipaksa makan daging babi panggang sebelum mereka ditembak... Warga emas dan kanak-kanak dicampak ke dalam api yang sedang marak.... Ia antara enam karikatur kontroversi oleh pelukis Hamzah Mohd Amin yang memaparkan kekejaman komunis ke atas orang ramai.

Karikatur itu disiarkan di akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini. Menurut edisi cetak dan juga online - akhbar itu melaporkan Hamzah, 71, datang ke pejabat Utusan semalam bagi menyerahkan sendiri karikatur yang dilukisnya itu.
"Generasi hari ini tidak mengetahui penderitaan hidup pada zaman komunis, jadi saya berusaha menghasilkan lukisan ini beberapa minggu lalu supaya mereka mendapat gambaran tentang kekejaman komunis dan mengapa kami sangat bencikan mereka.

"Generasi muda hanya mendengar cerita daripada datuk dan nenek mereka tetapi tidak pernah terbayang bagaimana komunis menyeksa tahanan. Menerusi lukisan ini, saya harap mereka akan sedar tentang kekejaman komunis dan menjadikannya pengajaran," katanya kepada akhbar itu. Sangat geram.

Antara lukisan yang dianggap paling kontroversial ialah paparan beberapa lelaki yang bermata sepet dan memakai uniform keperangan mengacukan pistol serta memaksa tok imam dan bilal surau memakan babi panggang. Hamzah turut memberi gambaran tindakan komunis mengurung ahli keluarga tahanan di sebuah rumah dan kemudiannya membakar rumah berkenaan. Dia juga menggambarkan mayat-mayat tahanan itu dijadikan baja di kebun sayuran dan hasilnya pula dijadikan bekalan makanan kumpulan pengganas tersebut.
Utusan juga memetik Hamzah berkata lukisan tersebut dihasilkan beberapa minggu lalu bertujuan memberi gambaran keadaan sebenar kekejaman komunis terhadap rakyat negara ini. Katanya, walaupun telah menjangkau usia 71 tahun, dia masih tidak dapat melupakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap rakyat dan mahu generasi pada hari ini juga mengetahui perkara itu.

Menurut Hamzah yang berasal dari Batu Pahat, Johor, dia terpanggil untuk menghasilkan karikatur berkenaan kerana geram serta kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengangkat kumpulan pengganas tersebut sebagai hero.

"Saya sangat geram dan marah apabila komunis diberikan pengiktirafan. Mereka telah melakukan pelbagai kekejaman termasuk mengoyak, memijak, melumur kitab suci al-Quran dengan najis sebelum membakarnya. Para imam serta bilal di masjid dan surau pula dipaksa memakan daging babi sebelum dibunuh.

"Bagaimana kumpulan pengganas tersebut boleh kita iktiraf?" katanya dipetik akhbar milik Umno itu lagi. Hamzah pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pelukis dan beliau pernah mencipta logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan pada 1963 sehingga 1997.
(IH/Malaysiakini)

1 comment:

Anonymous said...

Kenapa selama ini semua yang cuba dipaparkan oleh pakcik 71 tahun ini tidak pernah ditulis dan disiarkan?
Kenapa selepas Mat Sabu mempertahankan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan cerita-cerita seperti ini baru timbul?
Tidak mustahil semua ini boleh terjadi tetapi kenapa selepas lebih 50 tahun Pakcik 71 tahun baru nak lukis dalam kartun? Bukankah agak terlewat?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails