Thursday, October 06, 2011

3 Anak Dibunuh Polis, Belum Bukti Bersalah -Ibu

KL 6 Okt 11: Keluarga mangsa tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini ke Parlimen menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) campur tangan dalam kes yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan dengan niat’.

Ia ekoran tidak ada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut meskipun mereka dengan bantuan pihak peguam sudah menyerahkan memorandum kepada pihak berwajib termasuk kepada Ketua Polis Negara sendiri. Peguam Lawyer for Liberty  (LFL) menuntut polis yang teribat dalam tembakan tersebut didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Mereka juga menuntut pihak polis membuat permohonan maaf terbuka kepada keluarga mangsa kerana laporan forensik menunjukkan mangsa sitembak dari jarak dekat.

Peguam N. Surendran berkata, berasaskan laporan itu, besar kemungkinan seorang mangsa, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei berada dalam kedudukan melutut atau mencangkung ketika ditembak.

“Mangsa yang ditembak di bahagian dahi dan dada sebenarnya berada pada jarak yang dekat dengan berkedudukan lebih rendah daripada penembak.

“Luka berbentuk bulat selaras dengan luka tembakan masuk pada bahagian dahi di antara kedua-dua kening berdiameter 0.5 cm," kata Surendran pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ibu allahyarham Syamil, Norhafizah Mohd Razali pula menggesa Peguam Negara mendakwa polis yang terlibat kerana sudah setahun pihaknya menunggu tindakan daripada pihak berwajib.

"Saya menggesa pihak KDN dan Peguam Negara ambil tindakan segera terhadap polis yang menembak anak saya. Dah setahun saya menunggu tapi belum ada tindakan.

"Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibuktikan bersalah?

“Saya boleh terima kalau anak betul-betul melakukan kesalahan tapi janganlah dibunuh," katanya sebak.

Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, KDN dan polis seharusnya berani bertanggungjawab dalam kes melibatkan pembunuhan itu.

"Kita dah hantar memorandum ke Bukit Aman, dah jumpa KDN tapi kenapa tak diendahkan? Beginikah layanan mereka kepada rakyat?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR.

Menurut Nurul juga, pihaknya akan berusaha menyerahkan memorandum kepada Menteri KDN, Datuk Seri Hishammudin Hussein sesegera mungkin bagi menuntut campur tangan beliau. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk mahfuz Omar pula berkata, pihak polis seharusnya menimbang cadangan peguam agar ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis ( IPCMC).

"Dalam pada kerajaan mengumumkan NKRA polis meningkat, kenapa enggan tubuh IPCMC ini? Buktikan prestasi polis benar-benar bagus. Jangan bohong rakyat," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Hamidah Kadir, ibu kepada Mohd Khairul Nizam dan Noriah Darus, ibu kepada Mohd Hanafi Omar. Ketiga-tiganya ditembak kira-kira jam 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak (Harakahdaiy)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails