TEMERLOH, 28 Oktober 11: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) menerima memorandum bentahan kerana mengizinkan konsert sempena Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) di Taman Awam Kubang Gajah di sini, bermula hari ini sehingga 30 Oktober ini.
Bantahan tersebut adalah dari PAS Kawasan Temerloh, yang diserahkan oleh setiausahanya Ahmad Zubir Omar kepada pihak MPT petang ini. Menurut memorandum itu, konsert melibatkan artis seperti itu sudah terlalu acap diadakan di sini tanpa mengira keresahan penduduk serta acara yang dijalankan tidak langsung memberi kebaikan malah dikhuatiri memberi kesan negatif.
Menurut memorandum yang ditujukan kepada Yang Dipertua MPT itu, konsert tersebut bakal mencampur-adukkan remaja berlainan jantina bukan mahram yang sudah tentu mendedahkan kepada gejala kurang sihat seperti seks bebas, rogol, kecurian, minuman keras dan bertindak di luar sedar.
“Lokasi yang berhampiran dengan surau dan kawasan perumahan berdekatan dengan lokasi konsert tersebut pula bakal mengundang rasa tidak selesa, biadab, gangguan bunyi dan bakal mengganggu konsentrasi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
“Penganjuran aktiviti ini hanyalah mengundang kepada penularan gejala maksiat dan mungkar yang semakin berleluasa dan membarah di kalangan remaja, seolah-olah tiada rasa keprihatinan terhadap bala bencana yang menimpa negara-negara seluruh dunia dunia.
“Keizinan MPT menggambarkan persetujuan dan menggalakkan lagi gejala keruntuhan akhlak anak-anak muda tempatan pada masa akan datang kerana pada tahun ini sahaja sudah banyak aktiviti seumpama itu di situ. Sedangkan agensi kerajaan tidak boleh dilihat sebagai promoter kepada program maksiat.”
Memorandum tersebut akhirnya memohon dan mengharapkan MPT selaku tuan milik premis, tidak mengizinkan konsert berkenaan diteruskan demi untuk menghindarkan kemurkaan Ilahi tambahan hanya beberapa hari menjelang hari raya Aidil Adha. (IH)
IKLAN: Seluar Dalam Ajaib -Baik Untuk lelaki.
No comments:
Post a Comment