KOTA BHARU, 9 Okt: Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menuntut kehilangan hasil dan kerugian berjumlah RM1.8 juta terhadap peneroka yang menceroboh tanah miliknya di Air Piau 1 dan Air Piau 2, Tanah Merah.
Dalam afidavit pembelaan PMBK menyebut pencerobohan dan kacau ganggu dilakukan plaintif menyebabkan pihaknya mengalami kerugian akibat tidak dapat mengutip hasil. Selain itu terpaksa menanggung beban kos gaji pekerja-pekerja ladang yang sudah diikat kontrak bekerja.
PMBK merupakan defendan ketiga dalam tuntutan saman 55 peneroka Air Piau 1 dan Air Piau 2 terhadap empat lagi pihak iaitu Felcra Bhd, kerajaan negeri, Pengarah Tanah dan Galian Kelantan dan pentadbir Tanah Jajahan Tanah Merah.
Pada writ saman yang difailkan pada 20 September lalu peneroka terbabit yang diketuai Mat Che Pa, 58 menuntut diberi kelulusan memiliki tanah seluas enam ekar setiap seorang. Selain itu ganti rugi am, faedah 8 peratus atas segala kos dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung semua plaintif.
Kesemua plaintif diwakili peguam Mohd Nasir Abdullah daripada Tetuan Mohd Nasir dan Mohd Haizal. Manakala peguam Hisham Fauzi mewakili PMBK dan Penasihat Undang-Undang Negeri mewakili defendan kedua, keempat dan kelima. Bagaimanapun tiada peguam mewakili Felcra.
Pengurusan kes tersebut didengar hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nariman Badruddin. Dalam writ saman plaintif mendakwa mengusahakan tanah di Air Piau 1 dan Air Piau 2 atas persetujuan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mustapha Yaacob sekitar tahun 1980-an.
Plaintif menyebut defendan pertama telah berurusan dengan peserta-peserta projek Air Piau 1 dan Air Piau 2 supaya menyerah projek terbabit untuk dimajukan dan akan menyerah kembali kepada peserta selepas kos pembiayaan projek mencapai pulangan modal.
Disebut juga pada 2007 defendan kedua mengambil alih projek Air Piau 1 dan Air Piau 2 daripada defenda pertama dan diberi hak kepada PMBK. Plaintif juga mendakwa dinafikan usaha secara total dan penyerahan tanah tersebut oleh Felcra kepada kerajaan negeri sebagai satu penafian terhadap usaha mereka.
PMBK mendapat surat hak milik ke atas tanah tersebut pada Ogos lalu. Hisham berkata, anak guamnya turut memohon perintah mahkamah supaya plaintif atau agen-agennya mnghentikan segala kacau ganggu dan pencerobohan ke tanah milik defendan ketiga di Mukim Sokor, Tanah Merah.
”Selain itu ganti rugi sebanyak RM1.8 juta akibat kerugian dialami defendan bermula Mac hingga September lalu kerana pekerja ladang tidak dapat melaksanakan kerja,” katanya ditemui di sini.
Turut juga dituntut ganti rugi am akibat kesusahan serta kerugian yang ditanggung ekoran pencerobohan dan kacau ganggu plaintif. Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Oktober ini bagi pengurusan kes berkenaan. Hadir sama di mahkamah hari ini sebahagian besar peneroka terbabit, difahamkan mereka datang dengan bas yang ditaja khas pihak tertentu. (IH)
No comments:
Post a Comment