Tuesday, October 18, 2011

Dr Burhanuddin 'Pahlawan M'sia' -Sambut Saran Subky Latif

Dr Burhanuddin
KL 18 Okt 11: Weblog Ibnu Hasyim bersetuju cadangan Subky Latif (gambar kanan) penulis tersohor dan pemimpin PAS terkenal supaya tapak rumah tempat Dr Burhanuddin Al-Helmy dilahirkan dijadikan 'Tapak Memorial Dr Burhanuddin'.

Antaranya, Subky menulis dalam Harakahdaily.net hari ini...

"SENJA 15 Oktober 11 saya tidak ke Changkat Tualang, kampung kelahiran Dr. Burhanuddin al-Hilmy 100 tahun lalu. Sebaik selesai hajat kecil azan Maghrib dilaungkan. Cuaca pun gelap. Apa lagi kampung yang pokok-pokok kecil besar tumbuh tak tersusun, tiada apa alam sekitar yang dapat dilihat.

"Saya ke situ untuk ceramah sambutan Dr. Burhanuddin al-Hilmy dianugerah PAS sebagai Pahlawan Ummah sempena Jubli Intan – 60 tahun – penubuhan parti politik Islam tertua dan terbesar di negara ini. Tapak rumah Dr. Burhanuddin dilahirkan tidak jauh dari tempat ceramah PAS itu. Saya tanya, apa ada lagi rumah tempat lahirnya itu?

"Jawabnya, tiada apa-apa selain tapaknya saja." Jelasnya dengan gaya bahasa tersendiri.

Cadangan

Pada ceramah itu Subky suarakan supaya tapak bersejarah itu kalau boleh dijadikan warisan, didirikan sesuatu yang boleh mengenangnya dan memperingati kebesaran dan keagungan putera terbilang itu.

Kerana menurut Haji Subky, "Tiada seorang pun seagungnya dilahirkan di Changkat Tualang itu sebelumnya dan 100 tahun selepasnya, bahkan tiada seorang pun bagi negeri Perak. Malah bagi Malaysia pun tak berapa orang."

Cara mengingatinya menurut Subky agak unik, "Usah bina tugu seperti keris gergasi atau arca simbolik yang seperti yang dibuat oleh puak jahiliyah. Sesuai dengan dirinya seorang ulama besar, mungkin boleh dibina satu bangunan pengajian atau dijadikan tapak baru masjid yang ada dewan pameran sejarah memperkenalkan siapa manusia besar itu.

"Dengan mengabadikan namanya di tapak kelahirannya boleh menjadi Kampung Changkat Tualang terkenal, dijadikan tempat ziarah dan kunjungan orang luar. Mungkin ia boleh jadi satu distinasi pelancongan Islam yang menarik.

"Dengan barakah sebagai seorang pejuang Islam terbilang buat alam Melayu, Changkat Tualang boleh bertukar dari kampung ceruk yang tersorok kepada perkampungan terbuka semi urban, makmur dan bahagia."

Pada Subky, "Dr. Burhanuddin bukan sekadar disanjungi oleh umat Islam yang menjadi pengikut dan penyokongnya tetapi beliau disegani oleh nama-nama ternama bukan Melayu yang seangkatan dengannya seperti Tan Cheng Lock yang mengasas MCA dan Chin Peng yang memimpin Parti Komunis Malaya yang diharamkan itu. Tidak kurang orang Cina dan India sezamannya menyanjung dan menghormatinya.

"Dia bukan saja lahir sebagai penganjur Melayu dan Islam, tetapi adalah antara pemimpin bagi semua kaum yang terawal dalam pembentukan bangsa Malaysia beberapa dekad sebelum kelahiran Malaysia. Beliau bukan sekadar seorang ulama yang diterima oleh ulama kaum tua dan kaum muda, tetapi seorang rakan rapat Sukarno-Hatta dan Pandit Nehru, Perdana Menteri pertama India.

Pahlawan Ummah

Beliau bertanya, siapa yang wajar membuka Changkat Tualang sebagai tapak memorial Dr. Burhanuddin?

"Negaralah yang sepatutnya, tetapi ia terpulang kepada diplomasi dan inisiatif PAS mengajak semua pihak menghidupkan bumi yang Allah pilih untuk kelahiran putera terbilang itu. Dr. Burhanuddin bukan lagi jadi milik PAS, tetapi sudah menjadi milik bangsa Malaysia semua kaum.

"Sempena usia PAS 60 tahun, sempena ulang tahun ke 100 Dr. Burhanuddin tepat PAS mengisytiharkannya sebaga Pahlawan Ummah. Tetapi apa yang dibuat bagi menjadikannya diterima dan dikenali sebagai Pahlawan Ummah?

"Orang tidak tahu dia menjadi Pahlawan Ummah. Orang tidak tahu mengapa dia jadi Pahlawan Ummah. Lidah rasmi PAS sendiri tidak mengiklannya sebagai 'Pahlawan Ummah' selepas diisytiharkan sebagai Pahlawan. Beritanya tidak dibesarkan di muka depan. Beritanya sudah pun mati sebelum ia diketahui oleh semua orang." Cadang Subky.

Seperti yang pernah terjadi kepada beliau sendiri. Beliau pernah diisytiharkan sebagai 'Tokoh Pemuda PAS'. Bukan sekadar orang tidak tahu mengapa beliau dipilih jadi Tokoh, beliau sendiri pun tidak tahu mengapa beliau jadi Tokoh. Beliau terima saja sijil Tokoh itu. Tetapi sehingga ini. "Saya tidak tahu apa.."

Kerana itu Subky juga bimbang orang PAS sendiri tidak tahu Dr. Burhanuddin al-Hilmy itu Pahlawan Ummah dan mengapa dia diberikan anugerah itu? Dr Burhanuddin layak menerima sanjungan dan penghormatan itu, tetapi orang tidak tahu mengapa beliau wajar menerima penghormatan itu? Seperti yang berlaku terhadap dirinya.

Pandangan Weblog Ibnu Hasyim.

Kerana Dr Burhanuddin seorang tokoh yang dihormati oleh pelbagai kaum di Malaya dan Singapura waktu itu.. menjadi tokoh golongan 'sayap kiri' (golongan nasionalis sosialis-pernah terlibat dalam penbuhan Partai Rakyat -pimpinan Ahmad Bustamam, terdiri dari kaum Cina, India & Melayu), 'golongan ulama' yang akhirnya dijemput menyertai PAS (menjadi YDP PAS ke 3) dan 'golongan kanan' (pernah dijemput berceramah kepada UMNO), maka adalah lebih tepat beliau diberi anugerah sebagai 'Pahlawan Malaysia'.

Kerana begitulah bentuk rakyat Malaysia masakini. Bukan hanya untuk 'ummah' (dalam istilah orang Islam sahaja), atau 'rakyat' (dalam istilah rakyat bawahan atau marhaen), dan berbagai kaum. (IH). Sekian.

Rujukan tambahan kisah Dr Burhauddin, Subky Latif dan gambar-gambar bersejarah, sila lihat E-Buku ini...

E-Buku IH-9: Imbauan Lama 'Ada Kaitan Dg Harakah, PAS & ...
E-Buku IH-9: Imbauan Lama 'Ada Kaitan Dg Harakah, PAS & ...
E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...
E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...

No comments:

Post a Comment