Thursday, October 06, 2011

Fasa Ke2 60 Thn PAS, Bajet Membela Rakyat (II)

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

 Pak Akob [kiri] menunjukkan nisan pusara Mat Indera. Tulisan namanya masih timbul dengan jelas  walaupun dikebumikan pada Januari 1953

SELAIN pengumuman tawaran menarik oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan Alternatif 2012 kepada media, 4 Oktober lalu, beberapa penekanan yang dibuatnya elok juga diberi tumpuan.

Di antaranya, Anwar menekankan: "Golongan maha kaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus-lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan maha kaya ini seronok melancong dan berbeli-belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

"Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35 peratus dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

"Statistik rasmi dari kerajaan sendiri  jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca-merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

"40 peratus   rakyat Malaysia datang daripada isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. Tiga perempat dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya dalam negara (termasuklah golongan maha kaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% kekayaan negara.

"Angka ekonomi negara rendah-rendah belaka, kecuali kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011  menunjukkan  harga gula melonjak  66%,  harga 1 kilogram ayam  melonjak 37%;  susu bayi, 26%; teh tarik, 25%; dan roti putih, 20%.

"Unjuran angka inflasi  membayangkan jika keadaan ini berterusan sehingga 2015 akibat kegagalan BN mengawal harga barang, rakyat akan menanggung kos barangan harian yang melonjak 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6%."

Justeru, rakyat tiada pilihan selain bertindak menukar kerajaan. Pembolotan khazanah kekayaan negara mesti dihentikan. Rasuah yang membarah bagai tiada kesudahan. Undang-undang tidak mampu menyekat keserakahan nafsu pemimpin Umno-BN dan suku-sakatnya.

Pengalaman saya mengikuti beberapa kes rasuah berprofil tinggi membuktikan bahawa peluang untuk melakukan salahguna kuasa hanya dapat ditutup melalui undang-undang yang berat, penguatkuasaan yang tegas dan integriti diri yang tinggi.

Begitu banyak ruang dan peluang salahguna kuasa yang tidak mampu dikesan oleh undang-undang, apatah lagi dengan realiti Malaysia Boleh!

Dalam masa sama, Dato' Seri Najib Razak tentu tidak akan melepaskan peluang semasa membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat ini, bagi menarik sokongan kepada BN. Pastinya ia bajet terakhir  sebelum PRU13 dan usah terkejut dengan tawaran-tawaran itu nanti. Sekian.

Sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails