Tuesday, October 25, 2011

Kabajikan Gaddhafi Lebih Dari BN? (siri2)

Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat

Ghaddhafi sanggup mati di anah airnya sendiri.
CHINA dan Turkey, adalah contoh dua negara yang menggunakan sepenuhnya hubungan baik dengan Libya bagi kepentingan para pelabur mereka. Bahkan kerajaan China dengan kuasa buruh yang dominan, telah bertindak bijak memberikan pembangunan untuk ditukar dengan minyak. Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka, kadangkala gua rasa tidak masuk akal.

Rakyat Libya cuma sekitar 5 juta orang, tapi kawasan perumahan baru yang dibangunkan bagai mahu menampung 15 juta penduduk. Satu ketika, seorang Project Manager yang baru pertama kali tiba di Tripoli bertanya kepada gua, di manakah rakyat Libya yang miskin? Ini kerana dia melihat rumah-rumah besar di sepanjang jalanraya Tripoli seakan mustahil untuk mengatakan kewujudan warga yang miskin. Betul, mustahil jika tiada yang miskin.

Gua bawa bersiar ke Janzour untuk melihat rumah-rumah flat tepi laut, juga anak-anak muda yang melepak tepi jalan setiap malam sambil melayan ganja, katanya ini tidak susah, kerana mereka masih tetap punyai tempat tinggal. Itulah satu factor yang menyebabkan kita perlu rasa cemburu. Penempatan untuk warganya tidak dibina sekadar melepas batuk ditangga. Rumah flat yang paling bangsat di tepi laut di Janzour pun ada 4 bilik tidur serta dua ruang tamu.

Warga Benghazi yang memaki hamun Gaddhafi itu, tinggal di rumah-rumah flat yang 4 kali lebih besar daripada flat bandaraya kebanggaan DBKL. Sejauh Darna dan Tabruq, yang mempunyai tanah yang lebih luas, rumah-rumah kediaman yang dibina adalah lebih mewah. Semi-D 4 atau 5 bilik, adalah sesuatu yang sangat biasa. Semuanya dibina konon untuk dijual tapi pada akhirnya rakyat akan memiliki tanpa perlu membuat sebarang bayaran. Secara umum, kekayaan hasil minyak memang diagihkan dengan sebaiknya. Gaddhafi mahu memberikan semua benda kepada warganya, supaya mereka terus gembira dan diam.

Penganggur yang mengangkat senjata bersorak dan berlagak ala guerrilla dalam TV yang lu orang lihat itu, membesar dengan duit subsidi negara. Lelaki berjambang dan berjanggut yang mengetuk kepala Gaddhafi itu, gua sangat yakin setiap bulan akan ke stor-stor makanan menghulurkan kad pengenalan untuk digantikan dengan tepung, gula, spaghetti, minyak dan beras. Atau paling kurang, kesemua mereka yang membenci Gaddhafi di Benghazi itu, tidak membayar bil elektriknya!

Benar, gua sendiri sudah jemu melewati pintu besar penjara Abu Slim yang menjadi igauan ngeri setiap warga Libya itu. Betul, di penjara itu jugalah 1200 orang inmates ditembak mati hanya satu malam. Betul juga, ketika pemerintahannya Gaddhafi menjadi satu ikon yang menakutkan bagi mereka yang cuba bersuara untuk menentang. Betul juga, Libya tidak pernah mengadakan pilihanraya dan tiada satu parti politik pun yang wujud ketika era Gaddhafi.

Tapi, apa perlunya igauan ke atas sebuah penjara yang punya hanya tiga bangunan dan selebihnya kawasan lapang jika lu hanya perlu biarkan Gaddhafi terus berkuasa dan rakyat menikmati semua benda secara percuma? Apa perlu lagi bimbangkan satu susuk seperti Gaddhafi pada ketika rakyat memang menikmati hasil kekayaan negara secara sama rata? Betul, Gaddhafi menzalimi rakyatnya, tetapi apakah semua mereka dizalimi?

Tolong baca ini dalam konteks politik dunia Arab yang sangat unik dan bukannya pada skala politik tempatan. Demokrasi pada dunia Arab tidak akan berhasil tetapi Malaya landskap politiknya adalah berbeza dan kita bukanlah sebuah negara bangsa yang terbina dengan pelbagai kabilah seperti bangsa Arab. Jangan selepas ini ada yang mahu pulangkan paku buah keras pada gua agar menerima kezaliman dan ketidakadilan UMNO selama puluhan tahun ke atas bangsa Malaysia. Itu senario yang berlainan.

Kembali ke Libya, dan Gaddhafi yang memang tidak lari daripada sebarang kesilapan. Akibat tidak memberikan tumpuan pada kawasan rural, di bahagian Timur, di Benghazi sehingga ke Tobruk di sempadan Mesir, maka anasir asing mulai mencucuk jarum. Atas dasar yang semakin terbuka, Britain dan Peranchis juga turut melabur, tetapi tumpuan hanya diberikan di bahagian Timur. Benih yang disemai sekian lama akhirnya membuahkan hasil lewat revolusi Bou Azizi di Tunisia.

Pada satu majlis, bersama dengan rakyatnya di Al-Wahat, Gaddhafi telah ditanya tentang rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, atas tanah-tanah yang diambil daripada rakyat tetapi masih belum diserahkan dan belum berpenghuni. Dengan sikap bersahajanya Gaddhafi memberitahu mana-mana rumah yang sudah siap, bolehlah sesiapa pun nak masuk. Kejadian itu berlaku pada 14 Januari 2011. Dan malam itu, bukan sahaja di Al-Wahat, bahkan di seluruh pelusuk Libya, semua projek-projek perumahan telah diserbu. Kediaman yang sudah siap terus diambil. Sampai tak cukup, rumah baru nak naik "ground beam" pun sudah ada kutu pacak khemah.

Akibatnya, Libya sedikit huru hara. Semua orang mahu dapat rumah percuma. Mahu atau tidak kehendak rakyat masih terpaksa dituruti. Kerajaan terpaksa berlembut. Walaupun sebenarnya, ucapan Gaddhafi itu hanya untuk penduduk Al Wahat, tetapi seluruh Libya berpesta mengambil unit kediaman percuma. Ketika Tunisia sedang panas dengan revolusinya, Gaddhafi terpaksa sedikit sebanyak berlembut. Dari sinilah, musuh melihat bahawa tekanan boleh digunakan. Dari sinilah mereka mencuba dan tahu bahawa mereka perlu berani melawan.

Walaupun sebenarnya mereka tiada sebarang tuntutan sangat yang perlu untuk dilaungkan. Ketika rumah percuma, pendidikan percuma, kesihatan percuma, rizab minyak makan tak habis, harga minyak seliter 20 sen boleh isi sampai tumpah-tumpah, makanan murah tiada cukai import, beli kereta dengan harga murah boleh buat loan tak payah interest, musuh-musuh Gaddhafi hanya melaungkan isu hak asasi manusia sahaja, kerana itulah modal terbaik yang dimiliki oleh Peranchis dan Britain, yang ketika itu sedang berusaha mencari sumber minyak alternatif dan berdepan dengan krisis bekalan tenaga.

Dalam ucapan terakhirnya, Gaddhafi menyebut yang dia akan melawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dia tidak akan lari, dan dia sanggup mati di tanahairnya sendiri. Akhirnya Gaddhafi memang mengotakan janjinya. Socialist yang sejati, tidak akan berundur. Tetap teguh dengan pendiriannya, seperti Che yang menolak kesenangan di Cuba, jawatan sebagai menteri, pemimpin tertinggi parti dan komander tentera, sebaliknya mahu terus berjuang di hutan Bolivia, menjaja revolusi untuk membebaskan seluruh benua Amerika. Preferio morir de pie que vivir siempre arrodillado, lebih baik mati berdiri daripada hidup melutut!

Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat. Gua sangat pasti, rakyat Libya akan menyesali apa yang telah terjadi.

Al Fatihah untuk Abang Besar, The Leader of the Revolution and the Founder of the Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya.

Oleh Zulhazry Mohd Yusof
(Penulis bertugas di sebuah syarikat multi-nasional di Libya sehinggalah kebangkitan rakyat Libya awal 2011)

Artikel asal bertajuk:Reminiscences of Abang Besar of Libya

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jadi boleh dikatakan Negara Kebajikan Gaddhafi yang segalanya percuma lebih baik dari negara pembangunan kerajaan BN yang semuanya berbayar. Cuma mereka sama-sama negara sekular yang tidak berniat langsung untuk menjadi Islam, atau negara berkebajikan cara Islam. (IH)

Lihat video sebelum ini..

Minda Ibnuhasyim- Politik Bajet

IKLAN: Seluar Dalam Ajaib
Seluar Dalam Ajaib
America Vakoou -Untuk Lelaki

No comments:

Post a Comment