Wednesday, October 05, 2011

Hudud: SIS Keliru, Bertaubatlah..

 Zainah (kiri)

KL 5 Okt 11: BAGI pihak Pemuda PAS, kenyataan Zainah Anwar (dari Sister In Islam) dalam The Star Online pada 2 Oktober 2011 merupakan kekeliruan yang nyata dari seorang pemimpin NGO Islam yang kurang memahami falsafah hukum dalam syariah Islam. Islam merupakan agama Allah yang diturunkan kepada seluruh manusia sehingga akhir zaman.

Ia merupakan agama yang membawa rahmat, agama kasih-sayang, agama yang halus dan lemah-lembut agama yang membawa kejayaan untuk dunia dan akhirat. Kekeliruan dalam melihat hukum Islam dengan gambaran salah seperti membesar-besarkan tentang potong tangan, potong kaki, rejam sampai mati dan sebagainya samalah seperti memberi gambaran salah kepada bukan Islam bahawa masuk Islam nanti kena potong anunya (berkhatan). Apakah itu caranya kita melihat Islam dan memberi penjelasan tentang Islam?

Kenyataan itu hanya menakut-nakutkan manusia yang belum Islam tentang Islam. Kenapa kita tidak menjelaskan bahawa berkhatan itu adalah untuk mencegah dari kekotoran dan boleh membawa kepada penyakit kanser yang merbahaya, sebab itu Islam mahukan umatnya bersih dan bebas dari segala penyakit. Bukankah amalan berkhatan itu juga wujud sebelum Rasulullah SAW diutuskan membawa Islam lagi? Ia juga menjadi amalan biasa kepada kaum India yang menganut agama Hindu di Malaysia. Begitulah juga halnya dengan hukuman-hukuman yang terdapat dalam syariat Islam.

Gambaran yang salah seperti hukuman sebat seratus rotan dan rejam sampai mati juga tidak harus menjadi bahan untuk menakut-nakutkan sedangkan hukuman rotan dan bunuh dengan cara yang lebih kejam juga terdapat dalam sistem perundangan penjajah. Kenapa rakyat Malaysia boleh terima? Menjelaskan tentang kebaikan akan hukum Islam secara akademik dengan sokongan statistik seharusnya menjadi keutamaan kerana Islam merupakan agama kesejahteraan. Sudah tentulah hukum-hakamnya untuk memelihara dan memberikan kesejahteraan kepada manusia sejagat. Selain itu Islam juga merupakan agama fitrah. Syariat dan hukum-hakamnya merupakan sesuatu yang selari dengan jiwa manusia.

Sebagai contoh, apabila barang anda dicuri dengan jumlah yang besar (yang melayakkan hudud dilaksanakan), apakah hukuman yang anda harapkan dari pemerintah? Apakah anda berharap agar si pencuri itu hanya didenda dan dipenjara? Sudah tentu anda sangat gembira jika tangan si pencuri itu dipotong sahaja. Bagi seorang pemimpin masyarakat yang perihatin pula, apakah yang mereka harapkan akan hukuman yang patut diberikan kepada si pencuri itu? Sudah tentu potong tangan juga agar si pencuri itu tidak melakukannya lagi dan menjadi pengajaran kepada masyarakat agar takut dengan perbuatan yang mengganggu keharmonian itu. Tapi perlu diingat, bukan semua perbuatan curi terpaksa dipotong tangannya.

Tempat simpanan, nilai yang rendah, orang yang miskin, bukan terpaksa, isteri yang mengambil barang suami dan banyak lagi faktor akan diambil kira sebelum hukuman dijalankan. Malah, jika si pemilik barangan tersebut memberi maaf sebelum dilaporkan kepada pihak pemerintah, hukuman itu juga tidak perlu dilaksanakan. Oleh itu, semua kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Zainah Anwar itu akan terjawab dengan sendiri apabila kita memahami bahawa Islam itu adalah agama yang adil, agama pemelihara, agama kasih sayang, agama fitrah di mana segala hukum-hukumnya termasuk hukum jenayah (Hukum Hudud) juga adalah untuk keadilan dan kesejahteraan masyarakat.

Melihat hukum Islam dari sudut kekerasan perlaksanaan hukumannya adalah satu kekeliruan yang hanya akan menjauhkan manusia dari Islam sedangkan hakikat sebenarnya adalah ia suatu keadilan yang tiada taranya dan membawa manfaat serta pengajaran yang besar kepada masyarakat seluruhnya. Sejarah telah membuktikan jumlah jenayah yang sangat rendah dengan perlaksanaan syariat Allah itu.

Negara Kes Rogol Tahun 2002 Populasi Penduduk Kes/Populasi  x 1 juta
Kanada 24,350 33,465,300 727.62
Malaysia 1,431 27,730,000 51.60
Jerman 8,615 82,127,000 104.90
Arab Saudi 59 24,735,000 2.39 (LAKSANA HUDUD)
United Kingdom 13,395 61,186,000 218.92
Amerika 95,136 305,975,000 310.93

Dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar perlaksanaan Hukum Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya. Justeru, seorang Islam yang mukalaf, malah beliau sedar bahawa kenyataannya itu merendah-rendahkan Islam seperti yang dilakukan oleh Zainah Anwar,
(“It’s okay to implement the hudud law because it doesn’t affect non-Muslims.” So it’s okay for Muslims to be brutalised? Ertinya : Tidak mengapa untuk melaksanakan hukum hudud sebab ia tidak melibatkan non-muslim. Jadi tidak mengapalah untuk umat Islam dizalimi?) boleh menjejaskan akidah. 

Oleh itu, Pemuda PAS menyeru agar Zainah Anwar kembali bertaubat. Malah kita juga bersedia untuk bermuzakarah secara terbuka atau tertutup jika beliau inginkan penjelasan tentang hukum Islam (Hukum Hudud).

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Permuda PAS Malaysia (Harakahdaily)

Sebelum ini...
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

1 comment:

pena marhaen said...

SIS tak habis2 nak porak perandakan negara especially dalam bab agama..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails