Wednesday, October 19, 2011

L/Terbang; K'tan Anak Tiri -Wan Rahim

Wan Rahim
KL, 19 Okt 11: Kerajaan hari ini memaklumkan belum bercadang menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat berkata, kerajaan bagaimanapun mengalu-alukan permohonan syarikat pernerbangan tempatan dan asing yang mahu mengadakan penerbangan antarabangsa dari dan ke lapangan terbang tersebut.

"Buat masa ini Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu belum mempunyai sebarang operasi penerbangan antarabangsa," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Penjelasan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Wan Rahim sebelum itu menanyakan apakah masalah yang dihadapi dalam menaiktaraf lapangan terbang tersebut sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Dalam jawapan lisannya juga, timbalan menteri memaklumkan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu baru sahaja selesai 8 September lalu.

"Naik taraf itu termasuk pemanjangan landasan dari 1,981 meter ke 2,400 meter dengan lebar 45 meter yang mampu menampung operasi pesawat Air Bus 320 dan Boeing 737-800," katanya.

Anak tiri

Dalam soalan tambahannya, Wan Rahim mempersoal kenapa pusat terus menganaktirikan Kelantan berhubung perkara itu.

"Dalam masa 20 tahun jadi Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz pada tahun 1991 lagi dalam pertemuan empat mata dengan Dr. Mahathir dah minta untuk naik taraf jadi lapangan terbang antarabangsa. 20 tahun baru siap landasan tahun 2011 ni.

"Saya bangkitkan seolah-olah Kelantan ini dianaktiri," katanya ketika ditemui di luar dewan selepas itu.

Selain lapangan terbang, beberapa lagi bukti Kelantan dianaktiri termasuk Jambatan Sultan Yahya Petra II yang masih belum siap walaupun sudah empat tahun projek itu dimulakan.

Selain itu, Lebuh Raya Pantai Timur yang hanya sampai di sempadan Terengganu, Peruntukan untuk Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang ditarik balik, dan projek tembatan banjir yang diumum dalam Bajet 2012 juga mengenepikan Kelantan. (IH)

No comments:

Post a Comment