KL 9 Okt11: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
menyifatkan Perdana Menteri sebagai "tidak faham" konsep Negara
Berkebajikan yang mahu dibawa PAS apabila mendakwa BN sudah lama
melaksanakannya.
Sebagai menjawab 'sindiran' Datuk Seri Najib
Razak sewaktu membentangkan Bajet 2012 Jumaat lalu, Presiden PAS itu
menjelaskan, tiga asas utama Negara Berkebajikan hampir tidak dilakukan
kerajaan BN selama lebih 54 tahun memerintah.
"Pertamanya, Negara
Berkebajikan mestilah ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau
beriman dan juga rakyat yang berintegriti. Dengan membazirkan wang
rakyat untuk membayar bil air dan elektrik rumah Perdana Menteri
berjumlah jutaan ringgit tidaklah menggambarkan pemimpin yang
berintegriti.
"Keduanya, Negara Berkebajikan mestilah bercirikan
kerajaan yang wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan
secara adil.
"Ketiga, negara berkebajikan menekankan ciri
kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua.
Nampaknya Perdana Menteri yang membentangkan belanjawan ini sebagai
Menteri Kewangan gagal sama sekali memahami apa yang dimaksudkan oleh
PAS sebagai Negara Berkebajikan," katanya.
BN nafi hak
Tindakan
kerajaan terus menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu
sejak bertahun-tahun juga katanya, jelas menggambarkan ciri
pengkhianatan dan tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi
ciri Negara Berkebajikan.
Begitu juga dengan pemberian bantuan
kepada rakyat yang bersifat bermusim di kala kerajaan memerlukan undi
rakyat dan membiarkan rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang dan
petrol di luar waktu pilihanraya.
Selain itu, manipulasi sistem
pilihanraya melalui undi pos, daftar pemilih yang kotor, penggunaan
jentera kerajaan dan memberi IC kepada warganegara asing untuk mengundi,
jelas satu tindakan tidak berintegriti dan tidak amanah serta menutup
pintu muhasabah oleh rakyat dalam pilihanraya.
"Ini hanya
beberapa contoh jelas bahawa BN jauh sekali menepati konsep Negara
Berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS," katanya lagi.
Sehubungan
itu beliau mahu rakyat menilai bahawa Negara Berkebajikan yang mahu
dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas
kerangkanya berbanding BN yang memfokus kepada pemberian subsidi
semata-mata.
Konsep Negara Berkebajikan PAS jelasnya meliputi hak
rakyat untuk dilayan secara adil, agihan ekonomi yang adil, hak
bepolitik secara bebas serta keperluan sosial yang wajib dipenuhi.
Lebih
penting, pemimpin dan rakyat yang berintegiti dan seterusnya membentuk
Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek, bukan sekali-kali bersifat
pemberian habuan bersifat sementara di masa rakyat diperlukan
semata-mata. (IH)
No comments:
Post a Comment