Sunday, October 09, 2011

Najib Tak Percaya 3 Perkara N/Kebajikan -A. Hadi

KL 9 Okt11: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan Perdana Menteri sebagai "tidak faham" konsep Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS apabila mendakwa BN sudah lama melaksanakannya.

Sebagai menjawab 'sindiran' Datuk Seri Najib Razak sewaktu membentangkan Bajet 2012 Jumaat lalu, Presiden PAS itu menjelaskan, tiga asas utama Negara Berkebajikan hampir tidak dilakukan kerajaan BN selama lebih 54 tahun memerintah.

"Pertamanya, Negara Berkebajikan mestilah ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang berintegriti. Dengan membazirkan wang rakyat untuk membayar bil air dan elektrik rumah Perdana Menteri berjumlah jutaan ringgit tidaklah menggambarkan pemimpin yang berintegriti.

"Keduanya, Negara Berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan secara adil.

"Ketiga, negara berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua. Nampaknya Perdana Menteri yang membentangkan belanjawan ini sebagai Menteri Kewangan gagal sama sekali memahami apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai Negara Berkebajikan," katanya.

BN nafi hak

Tindakan kerajaan terus menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu sejak bertahun-tahun juga katanya, jelas menggambarkan ciri pengkhianatan dan tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi ciri Negara Berkebajikan.

Begitu juga dengan pemberian bantuan kepada rakyat yang bersifat bermusim di kala kerajaan memerlukan undi rakyat dan membiarkan rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang dan petrol di luar waktu pilihanraya.

Selain itu, manipulasi sistem pilihanraya melalui undi pos, daftar pemilih yang kotor, penggunaan jentera kerajaan dan memberi IC kepada warganegara asing untuk mengundi, jelas satu tindakan tidak berintegriti dan tidak amanah serta menutup pintu muhasabah oleh rakyat dalam pilihanraya.

"Ini hanya beberapa contoh jelas bahawa BN jauh sekali menepati konsep Negara Berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau mahu rakyat menilai bahawa Negara Berkebajikan yang mahu dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas kerangkanya berbanding BN yang memfokus kepada pemberian subsidi semata-mata.

Konsep Negara Berkebajikan PAS jelasnya meliputi hak rakyat untuk dilayan secara adil, agihan ekonomi yang adil, hak bepolitik secara bebas serta keperluan sosial yang wajib dipenuhi.

Lebih penting, pemimpin dan rakyat yang berintegiti dan seterusnya membentuk Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek, bukan sekali-kali bersifat pemberian habuan bersifat sementara di masa rakyat diperlukan semata-mata. (IH)

No comments:

Post a Comment