Saturday, October 15, 2011

Occupy Wall Street, Gerakan Baru Landa Asia Pasifik

Demo global protes ‘golongan kaya tamak’

New‑York‑Wall‑Street‑Protests‑

TOKYO, 15 Okt 11: Protes mengecam jurang pendapatan yang semakin meningkat dirancang untuk diadakan di rantau Asia Pasifik hari ini dengan penunjuk perasaan menganjurkan usaha mereka menerusi media sosial dari Tokyo hingga Sydney untuk menyertai London dalam gerakan Occupy Wall Street.

Perarakan itu yang bermula di New York pada 17 September lalu telah pun merebak ke bandar-bandar Amerika Syarikat yang lain termasuk Denver, Boston dan San Francisco.

Perhimpunan terbesar dirancang untuk diadakan di London dan Australia, demikian menurut penganjur yang mengharapkan rangkaian-rangkaian seperti Facebook bagi menarik ribuan penyokong dan pengikut hari ini dan selepas ini.

“Ramai sudah pun tertarik dengan apa yang berlaku di seluruh dunia. Dan, saya tahu ada 1,300 orang di Facebook mengatakan mereka akan datang,” kata seorang jurucakap yang merancang demonstrasi di Sydney, Josh Lees ketika dihubungi.

Sekurang-kurangnya 200 orang termasuk kanak-kanak berhimpun di City Square, Melbourne iaitu bandar raya kedua terbesar Australia hari ini, membawa kain rentang dan menggesa agar “ketamakan” diakhiri.

Dipetik laporan Bloomberg, Nick Carson, seorang jurucakap Occupy Melbourne menjangkakan penyertaan “sekurang-kurangnya ribuan pasangan.”

Di Sydney, penunjuk perasaan mahu berhimpun di Martin Place di daerah bisnes tengah pada pukul 2.30 petang waktu tempatan dan berhimpun untuk satu tempoh yang belum pasti “untuk menganjurkan, membincang dan membina satu gerakan bagi (mewujudkan) satu dunia yang berbeza, tidak diuruskan oleh satu peratus orang yang terlalu kaya,” kata kenyataan dalam laman Occupy Sydney.

Sekitar 4,000 orang telah menunjukkan hasrat mereka untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi aman yang akan bermula tengah hari ini di luar London Stock Exchange, demikian menurut penganjur Kai Wargalla.

Di Taiwan, menurut laporan Bloomberg, lebih 1,500 orang telah mengesahkan sokogan menerusi Occupy Taipei Facebook dan mereka akan berhimpun di kawasan berhampiran dengan Taiwan Stock Exchange.

“Kami mahu membawa lebih banyak kesedaran di kalangan rakyat mengenai soal bagaimana mereka dikawal dan bagaimana pasaran dimanipulasikan,” kata penganjur Kimba Vetten menerusi telefon.

Sekurang-kurangnya tiga protes dan perarakan akan diadakan di Tokyo, kata D.J. Lortie, seorang guru bahasa dan penganjur satu protes di Taman Hibiya Park, tengah Tokyo.

Lortie berkata protes dijangka disertai antara 20 hingga 200 orang, bermula tengah hari ini.

Mereka akan berarak selama sejam ke arah ibu pejabat Tokyo Electric Power Co. dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati mengenai cara malapetaka nuklear akibat tsunami dan gempa bumi 11 Mac dikendalikan, kata Lortie.

Satu lagi perarakan di Roppongi, dekat ibu pejabat Goldman Sachs Group Inc., kemungkinan akan menarik sehingga 400 orang, kata Shoko Uchida, seorang penganjur menerusi panggilan telefon.

“Kami mahu mengatakan tidak perlu ada sistem ekonomi yang hanya mahukan keuntungan semata-mata,” kata beliau sambil menambah, “orang muda bimbang mengenai masa depan mereka."

Aksi seorang penunjuk perasaan kempen Occupy Wall Street di Zuccotti Park dekat Wall Street, New York semalam. — Foto Reuters

Sementara itu, di MILAN, penunjuk perasaan di seluruh dunia mula membuat persiapan menggerakkan protes besar-besaran terhadap bank, pembiaya kewangan dan ahli-ahli politik yang dituduh menguruskan ekonomi global sambil mendakwa menyebabkan berjuta-juta orang diselubungi kemiskinan ekoran ketamakan mereka.

Dirangsangkan oleh gerakan Occupy Wall Street yang berlarutan sejak sebulan lalu - dari bandar-bandar New Zealand sehingga ke Alaska — dari London, Frankfurt sehingga New York sendiri.

Pasukan polis antirusuhan mula bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan — bandar-bandar seperti London dan Athens telah menyaksikan konfrontasi-konfrontasi tahun ini, tetapi mustahil untuk mengatakan berapa ramai yang sebenarnya akan menyertai meskipun sudah ada panggilan ke arah itu menerusi laman-laman media sosial. (IH)

Lihat video sebelum ini..

Minda Ibnuhasyim- Politik Bajet

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails