SEORANG lelaki Montreal berusia 56 tahun yang mencari penyelesaian kepada tekanan pertengahan umur dengan mengelilingi dunia selama 11 tahun, kini kembali dengan wajah ceria selepas menemui impiannya.
Kelihatan sedikit kurus dan kepala yang mula ditumbuhi uban, Jean Beliveau (gambar berserba) berjalan menolak kereta sorong tiga rodanya yang membawa beg tidur, pakaian dan ubat-ubatan ketika ditemui AFP kira-kira 290 kilometer di barat Montreal, Kanada.
Berjalan dengan pantas, dia kembali dengan keadaan sihat dan sampai di Montreal pada 16 Oktober selepas menyusuri pantai utara Lake Ontorio dan melepasi ibu negara iaitu Ottawa.
Dia berhenti hanya untuk makan. Beliveau menggambarkan pengembaraannya sebagai manusia asing yang penuh keterujaan serta menemui kegembiraan dan ketenangan daripada kebebasan itu.
Kecewa dengan bisnes
Dia juga tidak tahu di mana dia harus tidur setiap malam, tidak bergantung kepada sesiapa dan hanya sedikit wang di dalam poket.
Tetapi, dia tidak bimbang dengan kekurangan itu kerana dia sudah terbiasa selepas memilih jalan itu 11 tahun lalu dan dapat melaluinya dengan baik.
Di Montreal, dia akan kembali kepangkuan teman wanitanya, Luce Archambault yang menyokong pengembaraan luar biasanya malah, membuat sebuah laman web mengenai maklumat lengkap perjalanannya di wwwalk.org.
Beliveau meninggalkan Montreal pada hari lahirnya yang ke-45 iaitu pada 18 Ogos tahun 2000 selepas perniagaan kecilnya mengalami kegagalan. Dia membuat keputusan untuk mengelilingi dunia dan cuba untuk melarikan diri daripada episod sedih kehidupannya.
Archambault dan dua anak daripada perkahwinan terdahulunya tidak pernah memaksanya pulang.
"Ia pengalaman yang hebat," kata anak lelakinya, Thomas Eric yang berusia 20 tahun pada masa itu.
Beliveau merentasi Atlanta dan Georgia sebelum memperlahankan langkah untuk perjalanan yang menjadi pengembaraan mengelilingi dunia tanpa gangguan dengan 75,000 kilometer merentasi 64 negara.
Pada satu tahap, Archambault menggalakkannya untuk menggunakan pengembaraan itu untuk mempromosikan keamanan dan menolak keganasan untuk kebaikan kanak-kanak sebagai sokongan kepada proklamasi UNESCO.
Tiba-tiba, sesuatu yang bermula sebagai cubaan melarikan diri daripada kehidupan yang mengecewakan mempunyai tujuannya.
Tidur bawah jambatan
Selama 11 tahun, dia berjalan merentasi padang pasir dan pergunungan. Dia jatuh cinta selama sembilan hari di Mexico, memakai serban dan menyimpan janggut di Sudan, makan serangga di Afrika, anjing di Korea Selatan dan ular di China serta diiringi pasukan askar di Filipina.
Beliveau pernah jatuh sakit di Algeria, dirompak sekali oleh dua lelaki mabuk di Afrika Selatan dan ditahan sekali di Ethiopia tanpa sebab kukuh. Namun, dia dibebaskan keesokan harinya.
Di Ethiopia jugalah dia pernah hampir berputus asa dan ingin kembali ke rumah. Dia berasa sungguh sunyi tetapi, Archambault yang berada di Montreal meyakinkannya untuk meneruskan perjalanan.
"Selain makan dan mempunyai tempat berlindung, lelaki perlu berasa dimiliki," kata Beliveau.
Akhirnya, dia terpesona dengan simpati orang ramai yang ditemuinya sepanjang pengembaraan itu.
Beliveau hanya tidur di bawah jambatan dan rumah-rumah perlindungan untuk gelandangan, tetapi sering juga dia diajak makan dan tidur di rumah orang yang terpesona dengan kisahnya.
Dia meninggalkan Montreal dengan hanya CAN$4,000 (RM12,114) di dalam poketnya dan mendapat bantuan kewangan setiap tahun daripada Archambault yang sentiasa berhubung dengannya menggunakan perkhidmatan telefon online Skype.Beliveau juga bergantung kepada kemurahan hari orang asing yang ditemuinya.
Hari ini, dia sememangnya tidak berduit, tetapi berasakan bahawa dia kaya dengan pengalaman.
"Saya pergi tanpa ada apa-apa, tetapi saya kembali dengan kekayaan ilmu dan pemahaman," katanya.
Beliveau berkata, dia mahu menulis sebuah buku dan memberi syarahan mengenai pengalamannya serta menghargai keharmonian sesama manusia.
"Saya adalah Penelope dan dia adalah Ulysses," kata Archambault yang terbang untuk menyertai Beliveau di mana sahaja dia berada untuk menyambut Krismas bersama setiap tahun, tetapi lega apabila dia akhirnya sudah kembali. (Diangkat dari Kosmo)
Lihat video sebelum ini..
Minda Ibnuhasyim- Politik Bajet
Selanjutnya..
E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..'
No comments:
Post a Comment