Wednesday, October 05, 2011
Semua Tahanan Kediaman Terhad Bebas -Najib
KL 5 Okt 11: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan untuk membebaskan seramai 125 orang yang dikenakan perintah tahanan kediaman terhad. Perintah berkenaan berkuat kuasa serta merta hari ini, katanya ketika membentangkan usul untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad untuk kali kedua di Dewan Rakyat.
Serentak itu juga, kerajaan membatalkan sebanyak 200 waran perintah sama yang belum diserahkan kepada individu berkenaan, tambahnya. "Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 kerana undang-undang tersebut sudah lapuk ditelan zaman dan tidak lagi relevan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil peluang berkenaan untuk menempelak pemimpin pembangkang yang mendakwa kerajaan meniru usaha mereka untuk meminda dan memansuhkan undang-undang berkenaan.
"Ujiannya, sama ada kita mengotakan janji atau tidak, pihak lain boleh saja tanpa segan silu atau semberono mengaku bahawa ini adalah idea atau pandangan mereka.
"Sedangkan mereka bukanlah kerajaan yang diberi mandat oleh majoriti rakyat untuk menunaikan apa yang dijanjikan.
"Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikan," katanya.
Jelasnya, tindakan itu juga dibuat kerana kerajaan akur dengan perubahan lanskap sosiopolitik dan ekonomi negara. "Kontemporari menuntut kita untuk mengkaji semula undang-undang serta amalan yang tidak selaras dengan prinsip asas demokrasi dan keadilan," katanya.
Tambahnya, langkah itu juga dijalankan dengan asas untuk mengambil tindakan ke atas pesalah jenayah dengan mengikut undang-undang.
"Sebarang hukuman hendaklah berdasarkan sabitan oleh mahkamah selepas mengambil kira segala bukti, sesuai dengan prinsip universal.
"Di samping itu, ia juga adalah seiring dengan semangat maqasid syariah dan prinsip usul fekah bahawa perkara yang yakin itu tidak akan diselindungi yang syak," katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan juga percaya bahawa Polis Diraja Malaysia juga berkebolehan untuk mengumpul bukti bagi membolehkan pendakwaan dijalankan.
Jelasnya lagi, undang-undang itu tidak relevan pada masa sekarang yang banyak berbeza daripada waktu ianya diperkenalkan sebelum ini. Najib berkata, pesalah yang dikenakan perintah tersebut kini masih boleh berhubung secara maya walau disekat secara fizikal. Oleh itu, perancangan dan pelaksanaan suatu jenayah itu malah boleh dilakukan beribu kilometer dari lokasi fizikal individu terbabit, katanya lagi.
"Sebagai contohnya, jika dahulu, individu menjalani perintah kediaman terhad diasingkan dan dipindahkan ke kawasan terpencil.
"Hari ini, dengan kemajuan prasarana fizikal, sistem pengangkutan dan proses urbanisasi, hampir dua pertiga Malaysia sudah menjadi kawasan bandar.
"Tambahan lagi, dalam era jalur lebar mudah alih, telefon pintar, e-mel, skype, faks dan wi-fi, terbukti pengasingan fizikal melalui pemakaian perintah kediaman terhad tidak lagi berkesan," katanya (Malaysiakini)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment