RESORT RIVER SKI SUNDAY, Maine - Pasangan Rocco Andreozzi dan Kim Wasko menang dalam Kejohanan Mendukung Isteri di sini, Amerika Syarikat kelmarin.
Mereka menamatkan larian terakhir dengan masa 49.64 saat manakala tempat kedua dirangkul oleh David dan Lacey Castro dengan masa 52.39 saat. Seramai 47 peserta menyertai pertandingan itu dengan pemenang akan bertanding dalam Kejohanan Mendukung Isteri Peringkat Dunia.
Antara acara yang perlu para peserta lakukan ialah berlari mendaki bukit dan merempuh halangan kawasan yang berlumpur semasa mendukung pasangan mereka. Pemenang pertandingan menerima cek bernilai AS$620 (RM1,956). - Agensi
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jom kita lihat, bagaimana konsep sukan dalam Islam.. juga penglibatan Nabi SAW bersama isterinya. Sehingga mampu kita mengIslamkan sukan di atas..
Jika menyusuri sejarah.. kita akan dapati bahawa Nabi SAW sendiri juga sering bersukan. Bermain pedang, memanah, menunggang kuda menjadi amalan nabi SAW dan para sahabat. Lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk menyiapkan diri dengan persediaan fizikal dan persenjataan yang dapat menggerunkan musuh-musuh Islam. Firman Allah yang bermaksud;
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu.” (Surah Al-Anfal : 60)
Sirah juga menunjukkan Nabi SAW, bukan sekadar bersukan atau beriadhah bersama-sama geng-geng lelakinya sahaja, bahkan ada masa-masa tertentu, Nabi SAW bersukan dan beriadhah bersama isteri-isteri baginda. Antara kisah Rasulullah SAW melakukan riadhah bersama isterinya adalah seperti yang terdapat dalam satu hadis Aisyah yang berkata;
“Nabi SAW berlumba-lumba denganku. Aku mendahului baginda. Ketika aku menjadi gemuk, Baginda berlumba-lumba denganku lagi, lalu Baginda telah mendahuluiku. Lalu baginda SAW berkata, ini sebagai balasan terhadap yang lalu.”
Dalam riwayat yang lain pula Nabi (SAW) diceritakan beriadhah dengan isteri ketika Baginda dalam satu permusafiran Baginda bersama para sahabat. Isteri Baginda (SAW) Aisyah RA turut sama dalam permusafiran tersebut. Dalam perjalanan, Nabi SAW memaklumkan kepada para sahabat agar mereka berjalan dahulu, meninggalkan Baginda dan Aisyah di belakang. Apabila para sahabat sudah berada jauh di hadapan, lalu Baginda berkata kepada Aisyah ajak berlumba-lumba. (Musnad Ahmad : 22989)
Melihat kepada hadis ini, kita dapat bayangkan betapa lembutnya hati Nabi dalam usaha hendak gembirakan isteri-isterinya. Walaupun sibuk sempat juga, beliau curi masa bersukan berlumba lari bersama isteri meskipun dalam tugas perjalanan aau bermusafiran. Dari hadis ini juga, kita akan dapati, Nabi SAW tidak menjadikan tempat awam sebagai penghalang nabi SAW berseronok atau 'happy-happy' bersama isterinya.
Sebagai isteri, kemesraan suami sebegini memberi kesan mendalam dalam hati dan memahat kenangan indah dalam memori. Buktinya, walaupun kejadian tersebut telah berlalu begitu lama, tapi masih berada diingatan Aisyah sehingga ke saat Aisyah meriwayatkan hadis ini.
Mudah-mudahan para suami di zaman ini mencontohi sifat mesra dan romantik Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam ini. Usahlah anggap kedudukan sebagai suami itu sebagai status yang menghalang isteri anda bergembira dan ceria walau ketika anda sibuk sekali pun. Begitulah romantiknya Rasulullah di mata isterinya.
Apakah sukan 'dukung isteri' di atas juga diceduk dari sirah romantika Nabi? Yang penting sukan itu boleh diIslamkan. Wallahu aklam. (IH)
1 comment:
Nanti ada yang terasa..nak dukung camana..letak dlm wheelbarrow pun entah2 muat ke tidak?
Post a Comment