PEDIH seperti dicucuk pin dan jarum atau terkena tusukan pada kaki dan tangan. Kadangkala kesakitan dialami tidak tertanggung hingga menyukarkan pesakit untuk berjalan, tidur, bekerja dan menjejaskan mood dan aktiviti harian.
Itu antara penderitaan yang sering dialami pesakit diabetes. Dianggap ibu segala penyakit, diabetes bukan saja boleh menyebabkan pelbagai komplikasi lain seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, strok, buta dan gangren kaki, malah kerosakan saraf atau painful diabetic peripheral neuropathy (pDPN).
Edisi ketiga Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan penularan diabetes meningkat kepada 14.9 peratus. Berbanding satu dekad lalu, kadar penularan diabetes hanya 8.3 peratus.
Cukup membimbangkan apabila diabetes di Malaysia didapati meningkat hampir dua kali ganda dalam dekad lalu iaitu kadar lebih cepat daripada ramalan Persekutuan Diabetes Antarabangsa. Ia selari dengan pertambahan dua kali ganda masalah berat badan berlebihan atau obesiti di kalangan penduduk.
Daripada jumlah itu, 50 peratus pesakit tempatan yang disahkan menghidap diabetes dalam enam hingga 10 tahun lalu didapati mengalami pDPN. Biarpun berterusan menanggung kesakitan, 58 peratus pesakit tidak menyedari kesakitan dialami mereka berpunca daripada diabetes.
Disebabkan kesakitan saraf dihadapi pesakit dianggap peribadi, sukar untuk mengenal pasti pDPN, sekali gus menimbulkan cabaran dalam proses rawatan. Malah, cabaran untuk mendiagnosis pDPN turut menyebabkan pesakit belajar menyesuaikan diri untuk hidup dengan menahan kesakitan.
Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaru dalam pengurusan kesakitan, pakar penyelidik mendapati mereka tidak lagi perlu menanggung penderitaan ini. Kesedaran terhadap kesakitan neuropati atau penyakit saraf periferal begitu kurang. Sistem saraf periferal atau peripheral nervous system (PNS) ialah satu daripada dua cabang utama sistem saraf.
Satu lagi ialah sistem saraf pusat atau central nervous system (CNS) yang membentuk otak dan saraf tunjang. Saraf dalam PNS menyambungkan CNS kepada organ deria (seperti mata dan telinga), serta organ badan lain, otot, saluran darah dan kelenjar.
Ketua Jabatan Perubatan dan Profesor Bahagian Neurologi, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Goh Khean Jin berkata, pesakit menanggung kesakitan neuropati apabila satu dan lebih banyak saraf mereka rosak. Menurutnya, banyak faktor menyumbang kepada kerosakan saraf dan ia sebahagian daripada gangguan, penyakit atau keadaan.
“pDPN satu contoh kerosakan saraf disebabkan keadaan (diabetes). Gejala kesakitan neuropati termasuk kesakitan seperti terkena tusukan dan kepedihan, menggelenyar atau rasa kebas.
“Disebabkan kesakitan perkara yang begitu subjektif dan menyentuh peribadi, pDPN sering kurang dilaporkan dan kurang dirawat.
“Satu daripada lima pesakit diabetes menanggung penderitaan ini dan bilangan mereka terus meningkat. Mereka yang berdepan masalah pDPN biasanya menderita tanpa rawatan.
“Untuk mendiagnosis neuropati periferal, pesakit perlu menjalani beberapa pemeriksaan neurologi untuk mengenal pasti punca dan sejauh mana kerosakan saraf,” katanya.
American Diabetes Association mengesyorkan pemeriksaan tahunan terhadap semua pesakit neuropati diabetes.
Profesor Perubatan dan Pengarah Kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, berkata pesakit diabetes tidak sepatutnya hidup dengan menanggung kesakitan.
“Kesan neuropati periferal akibat diabetes sangat buruk dan menyakitkan.
Kesakitan ini menyukarkan kehidupan harian. Pengurusan kesakitan secara berkesan membolehkan pesakit yang mengalami keadaan ini membaiki kualiti hidup mereka.
“Semua data penyelidikan menunjukkan peningkatan kes diabetes global dan juga tempatan. Lama-kelamaan penularan penyakit ini menyebabkan kerosakan saraf yang pasti menimbulkan komplikasi.
“Oleh itu, penting untuk membantu pesakit diabetes menguruskan kesakitan yang ditimbulkan oleh komplikasi diabetes,” katanya.
Rawatan paling berkesan
Menurutnya, pada April lalu, Akademi Neurologi Amerika (AAN), Persatuan Perubatan Saraf Otot dan Elektrodiagnostik Amerika dan Akademi Perubatan Fizikal dan Pemulihan Amerika mengeluarkan laporan bersama yang menggariskan rawatan paling berkesan untuk melegakan kesakitan saraf akibat diabetes.
Garis panduan itu menyebut, pregabalin adalah satu-satunya rawatan Tahap A yang disyorkan, berasaskan bukti kukuh yang menunjukkan keberkesanan pregabalin dalam usaha merawat kesakitan saraf akibat diabetes. Beberapa ujian klinikal yang menilai pregabalin mendapati pesakit yang mengambil pregabalin kurang mengalami kesakitan berbanding mereka yang mengambil plasebo. Sesetengah pesakit berasa lega dalam masa secepat satu minggu, manakala yang lain mungkin mengambil masa lebih lama.
Sementara itu, Penasihat Perubatan Pfizer, Dr Gene Lee berkata, Pfizer komited untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesakitan itu dan menggesa pesakit membincangkan pilihan rawatan dengan doktor mereka.
“pDPN tetap keadaan yang kurang mendapat diagnosis di banyak negara di dunia. Sebahagian besarnya disebabkan kurang kesedaran dan kefahaman mengenai keadaan dan hakikat bahawa hanya ada beberapa pilihan rawatan yang terbukti.”
Sistem Saraf Manusia. Terdapat 2komponen utama:
- sistem saraf pusat — termasuk otak dan saraf tunjang
- sistem saraf periferal — saraf yang membawa dari otak dan saraf tunjang kepada semua bahagian badan. Satu sistem saraf khusus yang banyak membentuk sistem saraf periferal yang bertanggungjawab untuk pelbagai fungsi penting.
Saraf khusus termasuk:
- motor saraf yang membawa mesej dari otak ke badan dan bertanggungjawab bagi menggerakkan bahagian badan (contohnya tangan, kaki)
- saraf deria yang membawa maklumat dari organ sistem saraf pusat dan ia diproses menjadi sensasi (misalnya, sentuhan, perubahan suhu, dan getaran)
- saraf yang mengawal autonomi fungsi termasuk kadar jantung, tekanan darah, pernafasan, penghadaman dan fungsi pundi kencing
Sakit neuropati
Sakit neuropati biasanya terjadi akibat kerosakan sistem saraf pusat. Ia dicirikan oleh luka atau kekurangan keupayaan sistem saraf pusat untuk menunjukkan kesakitan. Sakit neuropati sukar dikenal pasti dan merawat disebabkan beberapa cabaran seperti:
- Tiada ujian diagnostik yang boleh menentukan dan mengesahkan gejala
- Persepsi kesakitan semata-mata subjektif dan kesakitan masih tidak terukur
- Perbezaan antara diagnosis yang pasti, mungkin dan mungkin tidak jelas
- Sakit — tidak statik, ia berubah dalam cara yang dinamik dan tidak dapat diramal
- Tanda dan gejala boleh berubah
Gejala pDPN
- Kebas atau tidak sensitif kepada kesakitan atau suhu
- Rasa pedih dan mencucuk
- Terlalu sakit atau kekejangan
- Terlalu peka sentuhan walaupun cahaya
- Hilang keseimbangan
- Lemah otot dan hilang refleks
- Gejala biasanya lebih teruk pada waktu malam.
Sebelum ini...
No comments:
Post a Comment