Sunday, November 20, 2011

Lagi Mangsa Cinta Internet. Awas Lelaki Luar Negara!


IPOH: Sindiket penipuan menggunakan Facebook yang didalangi warga Afrika bukan hanya menipu warga tempatan, malah turut menyamar sebagai gadis jelitawan kelahiran Malaysia untuk memperdaya ramai lelaki mat salih.

Suspek yang menabur cinta palsu melalui laman sosial ini didakwa sengaja menawarkan diri untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan dengan syarat mangsa membelikan tiket penerbangan. Laman web berita CanadaEast.com dipetik berkata, dalam kejadian terbaru seorang lelaki warga Kanada menjadi mangsa penipuan cinta siber selepas saling berkenalan dan menjalin hubungan di laman sembang sosial Facebook.

Difahamkan, mangsa terpedaya dengan sindiket terbabit yang berpura-pura menyamar sebagai gadis jelita berasal dari Malaysia yang kesunyian dan mencari teman hidup. Sindiket bijak mempermainkan perasaan mangsa dengan menggunakan kata-kata manis hingga menyebabkan mangsa jatuh cinta terhadap hubungan cinta palsu diada-adakan itu.

Lebih membuat mangsa percaya apabila gadis rakyat Malaysia dimaksudkan itu meluahkan perasaan dan kesanggupannya untuk terbang ke Kanada semata-mata berkahwin dengan mangsa. Bagaimanapun gadis berkenaan sengaja mereka-reka masalah kononnya berdepan kesempitan kewangan bagi membeli tiket penerbangan ke Kanada.

Mangsa yang tidak sabar untuk bertemu buah hatinya itu kemudian bersedia menawarkan bantuan dengan menghantar wang kepada kekasihnya itu. Difahamkan mangsa diminta membuat beberapa pemindahan wang berikutan gadis terbabit sering kali memberi pelbagai alasan dan masalah lain.

Mangsa yang sudah menghantar wang dengan jumlah keseluruhan hampir K$30,000 (RM90,000) bagaimanapun menyedari ditipu apabila buah hatinya itu masih tidak sampai ke Kanada selepas tiga bulan. Mangsa yang diperdaya sindiket penipuan cinta internet itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Kes penipuan berkenaan didakwa semakin popular dan ramai lelaki Kanada menjadi mangsa sindiket yang dipercayai berpangkalan di Malaysia. Malah dalam satu kes berasingan, seorang lelaki Kanada sanggup menjual rumahnya semata-mata untuk diberikan kepada sindiket terbabit. Pendedahan kes terbaru itu dipercayai ada kaitan dengan penahanan 13 ahli sindiket warga Nigeria awal bulan ini di sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata, suspek didalangi 12 lelaki warganegara Nigeria dan seorang wanita warga Singapura itu dikesan mempunyai kaitan berhubung 44 laporan kes penipuan di dalam dan di luar negara. Menurutnya, ahli sindiket gemar menggunakan modus operandi dengan terlebih dahulu berkenalan dengan mangsa menerusi laman sosial Faceebook.

"Ahli sindiket yang bijak menggoda menggunakan tulisan di Facebook kerap menggunakan umpan 'perkahwinan' bagi memperdaya mangsa," katanya. (myMetro)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails