Thursday, November 24, 2011

Oh Pantai Tok Jembal, Hakisan Ini Apa Sudahnya?

By Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Lujnah Alam Sekitar
& Pengguna Badan Perhubungan PAS Terengganu
Hakisan Pantai Tok Jembal, di mana kesudahannya?

TANPA kajian teliti impak alam sekitar terhadap perlaksanaan sesuatu projek, fenomena alam semulajadi tentu tidak akan bersimpati dengan kita. Ilmu tentang ombak, arus laut, pasang-surut air, arah tiupan angin semunya telah ada tetapi kecuaian diperingkat awal selalunya terpaksa dibayar dengan harga yang sangat mahal di samping impak negatif yang memberi kesan kepada sejumlah besar penduduk.

Inilah realiti yang menimpa persisiran Pantai Tok Jembal sehingga keindahan semulajadinya sebagai pantai pelancongan dan lokasi pendaratan bot-bot nelayan pesisir pantai semakin hilang ditelan rakusnya ombak Laut Cina Selatan. Phenomena ini akan lebih menjadi igauan kepada penduduk sekitar terutamanya menjelang musim tengkujuh yang mula melanda sekarang.

Tentunya tindakan menyalahkan takdir atas apa yang berlaku adalah sekadar untuk lepas tangan. Walaupun pihak berwajib yang berkelayakan tidak pernah mengeluarkan suatu kenyataan rasmi akan punca dan penyebab hakisan yang berlaku, pemerhatian penduduk setempat mengesyaki dan meyakini bahawa puncanya adalah penambakan laut bagi projek pemanjangan landasan terbang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud..

Ekoran hakisan ini yang memanjang kira-kira 1 km bermula dari kawasan berhampiran lapangan terbang sehingga ke pesisiran pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu, dikesan mulai merebak beberapa bulan setelah projek pemanjangan landasan terbang disiapkan. Kita dimaklumkan pengunjuran landasan terbang ke dalam laut adalah menggunakan kaedah 'tebusguna' dimana pasir dari dasar lautan dipam untuk penambakan.

Apabila pasir dasar laut di alihkan, bermakna berlaku pemusnahan 'beting pasir' yang selama ini dapat menahan gelombang terutamanya dimusim tengkujuh. Kaedah tebusguna (reclamation) tersebut menyebabkan tiada lagi halangan gelombang bawahan menyebabkan ombak terus menghempas ke pinggir pantai. Akibatnya, ombak akan menghakis apa sahaja yang terdapat dipinggir bagi mewujudkan beting pasir baru didasar lautan. Sebab itulah berlaku hakisan dan selagi mana beting pasir itu tidak terbina selagi itulah akan berlaku hakisan.

Kontraktor projek tentunya telah mengaut puluhan juta ringgit keuntungan. Orang-orang tertentu juga tentunya telah menerima komisyen masing-masing. Boeing 747 pun sudah boleh mendarat di LTSM sebagaimana yang diimpikan oleh sebahagian pemimpin negeri walaupun pendaratan pesawat untuk penerbangan antarabangsa ini cuma berlaku ketika musim haji dan musim pertandingan kuda. Hari-hari biasa, penerbangan komersial ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa jauh mengatasi bilangan penerbangan ke sini walaupun LTSIP bukanlah sebuah lapangan terbang antarabangsa.

Soalnya sekarang, siapa yang sepatutnya mengambil tanggungjawab menangani hakisan dan kemusnahan yang berlaku? Apakah telah ada suatu kajian teliti akan sebab dan musababnya? Kalau telah ada, rakyat berhak untuk mengetahuinya. Ahli Parlimen Kuala Nerus sendiri, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri pada 28 Februari lalu pernah menjanjikan suatu kajian untuk mengenalpasti puncanya akan dilakukan, tetapi akhirnya senyap tanpa khabar berita.

Belajar dari tragisnya kehilangan Kampung Pantai Sabak di Pengkalan Chepa ekoran hakisan pantai, kita tentunya tidak ingin melihat sejarah pahitnya berulang di Kampung Tok Jembal. Tindakan sambil lewa sekadar sebagai modal politik tidak akan banyak menyumbang untuk memperbaiki keadaan walaupun banyak duit rakyat telah dicurahkan ke laut.

Difahamkan kerajaan telah memperuntukan RM50 juta bagi kerja-kerja penambakan dan pencegahan hakisan di kiri dan kanan Lapangan Terbang, tetapi jelas kerja-kerja yang dilakukan masih gagal menghadirkan ketenangan kepada penduduk. Sekali lagi kontraktor berkenaan yang kekenyangan.

Tuntutan rakyat

Bagi pihak Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu, kita menuntut suatu kajian teliti oleh agensi yang berkelayakan dilakukan segera, hasil kajian perlu didedahkan untuk makluman umum dan seterusnya perlaksanaan tindakan pemulihan dan pembaikian berdasarkan hasil kajian. Duit rakyat juga tidak sewajarnya dibelanjakan untuk menanggung puluhan juta ringgit kos.

Kontraktor Pembesaran Lapangan Terbang juga perlu bersama tampil bertanggungjawab menanggung sebahagian kos kerana sebagai kontraktor mereka tentunya mempunyai pakar perunding yang sepatutnya telah mengambil kira semua kemungkinan yang bakal dan mungkin berlaku. Tidak sepatutnya setelah mengaut keuntungan, mereka berlepas tangan. Setiap projek juga pastinya mempunyai tempoh edah jaminan di mana segala impak sampingan yang berlaku masih di bawah tanggungjawab kontraktor terbabit.

Mungkin hanya beberapa kerat penduduk Kampung Tok Jembal yang mampu memanfaatkan kemudahan lapangan terbang tetapi ‘tempias ombak Laut Cina Selatan’ membasahi mereka serta menggugat ketenangan dan keharmonian kehidupan seharian yang rata-ratanya adalah kelompok nelayan pantai. (IH)

IKLAN: QUR'AN MIRACLE 22 IN 1 Istimewa!
Dapatkan Segera!
QUR'AN MIRACLE 22 IN 1 Dapatkan Segera!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails