Sunday, November 20, 2011

Hamadi Jebali Keluar Penjara Dipilih PM Tunisia..

Hamadi Jebali
TUNIS: Hamadi Jebali daripada parti Islam Ennahda akan menjadi Perdana Menteri Tunisia, di bawah perjanjian yang dimeterai antara tiga parti utama negara itu, kata seorang ahli politik, semalam.

Abdelwaheb Matar, pegawai kanan Kongres bagi parti Republik berkata, parti itu juga bersetuju aktivis veteran berhaluan kanan dan ahli politik pembangkang, Moncef Marzouki akan dilantik sebagai Presiden Tunisia. Tunisia menjalankan pilihan raya bulan lalu sembilan bulan selepas penggulingan pemimpin diktator Zine El Abidine Ben Ali, awal tahun ini. Ia adalah pilihan raya pertama sejak berlaku tercetusnya revolusi di rantau Arab.

Parti Ennahda yang memenangi majoriti 89 kerusi membolehkan Hamadi dilantik menjadi perdana menteri selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin Republik yang memenangi 29 kerusi dan pemimpin parti Ettakatol yang memenangi lebih 20 undian akan menjawat jawatan menteri kanan negara itu. - AFP


Rached Ghannouchi menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas membuang undi.

Imbas kembali...ribuan rakyat Tunisia menyambut kepulangan Rached Ghannouchi pada 30 Januari 2011, setelah tinggal dalam buangan selama 22 tahun.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Rakyat Tunisia yang keluar mengundi hari Ahad 23 oktober 2011, bagi memilih 217 ahli parlimen dalam pilihanraya bebas pertama setelah bekas Presiden Zine al-Abidin ben Ali digulingkan 9 bulan lalu. Ia merupakan pilihanraya bebas yang pertama dalam sejarah Tunisia semenjak tahun 1956.

Menurut keputusan rasmi yang dikeluarkan pada petang Khamis 27 Oktober 2011, an-Nahdah memenangi sebanyak 41 peratus undi atau 90 kerusi. Selain an-Nahdah, pilihan raya tersebut juga turut ditandingi oleh 100 parti politik lain dan calon bebas manakala bilangan calon yang bertanding pula ialah seramai 1,100 orang.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya hanya beberapa buah parti sahaja yang menunjukkan prestasi yang baik. Selain an-Nahdah, parti-parti yang turut memenangi kerusi ialah parti golongan liberal/sekular seperti CPR (Congress for the Republic Party) di tempat kedua, Ettakatol (Democratic Forum for Labour and Liberties) menduduki tempat ketiga dan tempat keempat dimenangi oleh Aridha Chaabia (Popular Petition).

Parti yang memenangi pilihan raya ini akan dipilih bagi membentuk kerajaan sementara dan seterusnya berperanan merangka perlembagaan baru, merancang pilihan raya parlimen dan presiden. Kemenangan an-Nahdah ini sebenarnya bukanlah kemenangannya yang pertama. Semasa pilihan raya tahun l989, parti ini berjaya memperolehi majoriti namun kemudiannya Presiden Zine Al-Abidin ben Ali telah mengharamkan an-Nahdah, manakala para pemimpinnya dipenjarakan dan ada yang terpaksa melarikan diri ke luar negara.

Kini an-Nahdah telah menamakan Setiausaha Agungnya, Hamadi Jebali sebagai Perdana Menteri bagi merajui kerajaan baru Tunisia. Hamadi Jebali, 63 tahun adalah seorang jurutera dan penerbit akhbar, sebelum dipenjara oleh pihak berkuasa Tunisia selama 15 tahun.

Beliau dibebaskan dengan syarat dari penjara Tunisia pada 26 Februari, 2006, telah ditahan pada November 1990 kerana lantang mengkritik terhadap dasar-dasar regim Ben Ali di Tunisia. Pemimpin an-Nahdah, Rached Ghannouchi pula dilihat berkecuali atau tidak berminat untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Beliau dikatakan akan dilantik menerajui Tunisia selepas pilihan raya umum yang baharu.

Walaupun an-Nahdah dilihat sebagai parti yang cenderung kepada Islam namun pemimpin parti ini lebih gemar menganggap mereka adalah “Moderate Islam”. Parti itu juga dijangka akan mengambil perkembangan politik di Turki yang dikuasai oleh parti AKP pimpinan Perdana Menteri Racyep Tayyip Erdogan sebagai model. Kebetulan pula pimpinan an-Nahdah iaitu Rached Ghannouchi adalah rakan baik Erdogan.

Ada yang mengharap kebangkitan yang digelar oleh para penganalisis ini sebagai “Arab Spring" di Tunisia ini akan bertukar dan merebak menjadi "Islam Spring" ke seluruh dunia. Mungkinkah Tunisia sekali lagi mendahului dunia Arab dan Islam mengisi revolusinya dengan demokrasi yang berasaskan Islam? (IH)

Lihat sebelum ini..

  • E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...
    E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails