Saturday, August 13, 2011

Bawa Ke Mahkamah Jika Ada Bukti Muslim Dimurtadkan, -PAS



KL, 13 Ogos 11: PAS mengumumkan pendirian rasminya mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja minggu lalu sambil menegaskan, agensi itu harus mengambil tindakan segera jika ada bukti penganut Kristian memurtadkan Muslim.

Pemimpin-pemimpin PAS berkata keputusan tersebut selari dengan kedudukan parti itu yang diasaskan mengikut prinsip Islam. Malah kata mereka, PAS tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang menyentuh hal ehwal Islam.

“PAS sebuah parti Islam. Perlembagaan kami mengatakan bahawa Islam adalah asas kami dan al-Quran.

“Keutamaan PAS adalah mempertahankan kesucian Islam, tiada kompromi apabila ia berhadapan untuk mempertahankan kepercayaan (kami),” kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik di sini petang ini.

“Kami mengambil pendirian bahawa jika Jais ada bukti yang secukupnya, mereka harus mengambil tindakan segera ke atas mereka yang mahu menukar agama orang Islam atau merosakkan kepercayaan Islam mengikut peruntukan Enakmen Islam Negeri Selangor,” kata Mohamad.

Kata beliau, biro politik mengadakan mesyuarat petang ini untuk memutuskan pendirian parti itu berhubung kontroversi semasa. Bagaimanapun ketika ditanya sama ada parti itu merestui serbuan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang turut hadir berkata, “tidak.”

Kemudian, Mohamad menambah, PAS hanya akan menyokong tindakan Jais jika ia ada bukti kukuh wujudnya usaha mahu memurtadkan orang. Sebelum ini pemimpin-pemimpin PAS kelihatan berbelah bahagi berhubung pendirian mereka dalam isu ini. Mengenai rancangan PAS mahu mengadakan pertemuan dengan pengurusan gereja, Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali mengesahkan sudah menerima surat untuk mengadakan pertemuan Selasa ini.

Bagaimanapun menurut beliau, Jais menolak untuk mengadakan pertemuan, dipercayai atas nasihat Sultan Selangor memandangkan siasatan mengenai insiden 3 Ogos lalu belum lengkap.

“Kami menghormati keputusan mereka,” kata Mustafa.

Dalam pada itu seorang lagi Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar menggesa Jais mempercepatkan siasatan bagi mengelakkan pelbagai spekulasi mengenai isu sensitif terbaru ini. Ketika ditanya sama ada keputusan hari ini akan menjejaskan hubungan parti itu dengan rakan-rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat, Mohamad tidak bersetuju dengan andaian sedemikian.

“Ini adalah asas kepada perjuangan parti. Tiada sebab ia akan menjejaskan hubungan,” katanya lagi.

Beliau juga menafikan khabar angin dalam blog-blog pro-Umno mendakwa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat cuba campur tangan bagi mengelak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) daripada menyita bangunan Gereja Methodist Damansara Utama. Blog itu menambah, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad telah menghubungi MBPJ agar menghentikan kerja menyita bangunan gereja itu. (IH)

Kegiatan Peminta Sedekah Awal Ramadan.. -N/Aziz

PENGKALAN CHEPA, 13 Ogos 11: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa bimbang berhubung fenomena di atas sikap segelintir masyarakat yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memohon simpati orang ramai di bulan Ramadan ini. Kini dikatakan semakin berlaku setiap tahun termasuk dari masyarakat negara jiran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kegiatan meminta sedekah bermula sejak awal Ramadan lagi selepas menyampaikan sumbangan kepada 490 orang dalam Dun Chempaka yang terdiri dari golongan armalah, warga emas dan anak-anak yatim.

Beliau yang mengakui turut menjadi tempat mereka memohon simpati berkata suasana itu menimbulkan sedikit suasana yang tidak enak, apa lagi sejak awal lagi golongan itu berkumpul memohon sumbangan.

"Apabila mereka ke rumah, sudah pasti saya menggunakan duit poket saya, kalau sumbangan kerajaan kena ke pejabat. Sebelum memberi saya kena pastikan mereka ni benar-benar miskin, orang tua dan cacat," ujarnya.

Sekiranya orang yang muda, sehat pula datang memohon ianya menjadi satu kesukaran baginya untuk memberi atau sebaliknya. Menurutnya, kadang-kadangan golongan ini datang dari luar dengan menaiki kenderaan tertentu yang ditinggalkan oleh pemandunya.

Tuan Guru seterusnya memberitahu, berbagai kaedah digunakan mereka untuk memohon simpati, contohnya tahun lalu mereka membalut tangan seperti patah datang ke rumahnya memohon sumbangan, namun pada masa yang sama terserempak dengan jirannya orang terbabit membeli rokok dengan keadaan tangan yang tiada masalah.

"Perkara ini bukan sahaja menyusahkan saya juga kepada mereka yang sering menjadi tumpuan peminta untuk memohon simpati," ujarnya.

Seharusnya, tambah beliau bulan Ramadan umat Islam membersihkan jiwa dengan memperbanyakkan ibadat dan bukannya berbuat demikian. Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau mengingatkan pembantunya supaya memberikan sumbangan kepada mereka yang layak tanpa memilih fahaman politik dan bangsa dalam setiap sumbangan yang diberikan.

"Penerima juga seharusnya mendoakan kepada pemberi semoga dengan cara itu akan menambahkan keberkatan serta murah rezeki,"ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarkat negeri, Mohd Noor Chik, pihaknya menyediakan RM80,000 kepada setiap Dun untuk diagihkan kepada penerima sempena bulan Ramadan. Jelasnya, sumbangan itu diperolehi dari kerajaan negeri dan Persekutuan. Di negeri ini seramai 32,000 orang penerima di bawah JKM sepanjang tahun ini. (IH)

Raja Farah, Bertudung & Tuntutannya

HALAMAN HIBURAN

Raja Farah

KL 13 oGOS 11: Pelakon “Aku Masih Dara” yang kini sudah memakai tudung mengakui lebih selesa dengan penampilan barunya itu. Tambah Farah, selepas menutup aurat sepenuhnya dia lebih menjaga adap dari segi percakapan dan pergaulan dengan lelaki bukan muhrim.

"Saya bertudung sejak dua bulan lalu dan mengakui ia datang daripada hati saya sendiri. Selepas melakukan penghijrahan tersebut saya rasa kelainan yang sangat ketara.

"Saya lebih menjaga adap pergaulan terutama untuk bersalam dengan lelaki bukan muhrim, begitu juga dari segi tutur percakapan," ujarnya yang ditemui pada rakaman Melodi Raya, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Rabu lalu.

Menceritakan detik hatinya terbuka untuk memakai tudung, Farah berkata ia bermula selepas membeli beberapa helai tudung di sebuah butik selepas menjalani penggambaran drama Cinta Abang Lori.

"Saya sebenarnya sudah lama berhasrat untuk memakai tudung tapi tiada tarikh yang tepat untuk itu, jadi suatu hari selesai penggambaran saya singgah di sebuah butik dan membeli beberapa helai tudung.

"Ketika pulang suami saya bertanya mengapa saya membeli tudung tersebut, justeru saya terus mengambil keputusan untuk memakainya," jelasnya.

Tambah Farah, dia gembira penghijrahan tersebut mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga kedua belah pihak.

"Perkara yang baik sudah tentu keluarga sokong, bila saya katakan mahu bertudung sepenuhnya, mereka sangat gembira dan tidak menolak cadangan ini," tuturnya.

Ditanya tentang kerjayanya dalam bidang lakonan, Farah berkata dia bersyukur masih mendapat tawaran berlakon biarpun dia akui watak yang diterimanya agak terhad.

"Alhamdulillah, ramai dalam industri ini menerima keputusan saya untuk bertudung dan tawaran berlakon masih sama seperti dahulu cuma watak sahaja yang agak terhad berbanding dahulu.

"Ada juga produksi yang meminta saya untuk membuka tudung tetapi saya tetap dengan pendirian saya," ujarnya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Demikianlah, bertudung pun ada tuntutannya. Apa lagi tuntutan orang bersyahadah, yang termasuk bertudung lengkap itu... juga aurat lengkap! (IH)

Isu Baca Quran Subuh, Zahid Hamidi Batu Api


BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melarang masjid dan surau menghentikan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh di negeri itu tidak akan berlaku jika kerajaan negeri Pulau Pinang sensitif terhadap agama Islam.

Beliau berkata perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam.

"Saya amat dukacita fatwa yang dikeluarkan oleh JHEAIPP yang selama ini tidak ada sebarang kajian dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai larangan itu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid berkata larangan yang dikeluarkan oleh JHEAIPP itu merupakan arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri. Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya merujuk fatwa itu kepada Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua agama. Katanya, apa yang dikhuatiri sekarang ialah larangan tersebut akan menjadi ikutan kepada negeri lain yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

"Biarpun kita menghormati agama lain, sebagai sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, amalan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara harus dihormati," katanya.

Beliau berkata, "dalam soal agama dan bangsa, jangan harus berbeza pendapat walaupun mempunyai fahaman politik yang berlainan, kita harus bersama dalam menegakkan syiar Islam.

"Mereka yang menjadi pemimpin parti politik hendaklah senada memberikan pendapat, jauh sekali memberi pendapat politik sebagai fatwa Islam," tambah Ahmad Zahid.-BERNAMA

Sedangkan, di Petaling Jaya, bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar bacaan al-Quran tidak dikuatkan menggunakan pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat.

"Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi Muhammad s.a.w dan juga menjaga Islam yang harmoni.

"Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak," katanya dalam satu kenyataan diblognya pada, Sabtu.

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, Islam mensyariatkan suara yang wajar diangkat, hanyalah azan dan 'selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.'

Tegasnya, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad kerana ia mahu ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

"Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan yang disampaikan.

"Ramai orang bukan Muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara.

"Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit," katanya.

Jelasnya, ulama silam juga telah mengingatkan hal ini bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.

"Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi pernah berkata, ‘antara tipu daya iblis ialah mereka yang mencampuradukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.

"Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar'," ujarnya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dari dua kenyataan di atas, jelaslah kenyataan Menteri UMNO adalah batu api yang boleh memecahkan perpaduan antara agama di negara ini. Mengikut dasar 'pecah-pecah perintah'. Sedangkan kenyataan bekas Mufti Perlis yang juga pensyarah USM adalah berdasarkan kehendak agama Islam. Dasar penyatuan Islam. Itulah yang sewajarnya.

Rakyat kena tolak carafikir penjajah bawaan UMNO itu... (IH)

Perayaan 60 Tahun PAS Di PP, Di Sambut Baik..


KL, 13 Ogos 11: Weblog Ibnu Hasyim menyambut baik hasrat PAS akan mengadakan sambutan besar-besaran perayaan 60 tahun penubuhan parti itu di Pulau Pinang pada 1 Oktober depan. Kata editornya Dr Hj Mohd Hasyim.

"Memang tepat dan betul kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi sambutan kerana negeri itu merupakan tempat lahir PAS." Jelas Hj Mohd.

"Ada sesutu yang seolah-olah dilupakan, bahawa Pulau Pinang telah melahirkan seorang tokoh bangsa Cina dalam PAS, beliau adalah penaja penubuhan awalan PAS, dan pernah memegang jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS pertama.

"Beliau juga, orang yang pertama membuka pondok-pondok pengajiah Islam di pulau, yakni Pulau Pinang tidak termasuk Seberang Perai.
Kesan-kesnnya masih ada sampai sekarang.

"Beliau adalah Hj Mansur JP." Kata Hj Mohd yang juga pernah menjadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau dan memegang beberapa jawatan peringkat negeri dan Pusat. (Untuk keterangan lanjut klik.. Kekalkan Surau B/Lepas, Sejarah Cina Islam P.Pg ..)

Menurut Haji Mohamad Sabu sebelum itu, "Hari lahir PAS memang pada bulan Ogos tapi disebabkan bulan Ramadhan, pimpinan minta tangguh ke bulan Oktober.

"Kita akan cuba dapatkan padang Majlis Perbandaran Butterworth, tempat kongres pertama PAS diadakan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Sambutan tersebut akan diisi dengan konvensyen pada sebelah paginya, petang acara melibatkan Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Unit Amal dan ceramah pimpinan tertinggi parti pada sebelah malam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, sambutan itu juga bersifat karnival dengan pelbagai pameran akan diadakan. "Kita akan ada pameran terbuka kepada masyarakat dan orang ramai boleh datang memeriahkan karnival ini," katanya. (IH)

Bacaan Qur'an Subuh, Akhbar UMNO Jahat..

Larang pembesar suara: Perlis sokong Pulau Pinang

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106KL 13 Ogos 11: Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

“Amalan pasang mikrofon kuat waktu sebelum subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur. Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa,” katanya dalam satu pesanan SMS kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Dr Juanda berkata pihaknya menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

“Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang.

azan call for prayer“Mikrofon (di) masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja iaitu azan pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh.

“Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih,” katanya.

Hormati keputusan

Mengulas perkara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik Bernama berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

"Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu," katanya selepas menghadiri majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf dan penyampaian bantuan Ramadan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur malam semalam.

Berita Harian semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Akhbar milik Umno itu juga memetik pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abd Shukor Husin, berkata larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini

Sebaliknya, kata beliau, larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

berita harian larang pembesar suara waktu subuh 120811"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya dipetik Berita Harian.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lihat jahatnya akhbar milik UMNO, ingkar kepada peraturan dari Jabatan Agama Islkam. Itulah punca perpecahan di kalangan umat Islam sebenarnya, tidak mahu ikut sunndah Nabi SAW, seperti yang dinyatakan oleh Mufti Perlis itu. UMNO, berhentilah memecahbelahkan perpaduan Umat Islam!! (IH)

China: Tarik Balik Larangan Hak Beragama -DPPM

Umat Islam di Urumqi, China tetap menunaikan solat Jumaat walaupun ...
Ibnu Hasyim (kanan) semasa berada di Urumqi

KL, 13 Ogos 11: Kerajaan China didesak untuk menarik balik larangan dan perintah yang jelas melanggar hak beragama dan asasi manusia dalam beribadat di Wilayah Urumqi Xinjiang.

Keua Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, larangan yang terkini adalah larangan menunaikan ibadah puasa, bertarawih dan apa jua aktiviti keagamaan sepanjang Ramadhan ini dengan memaksa mereka menandatangai satu dokumen persetujuan atas larangan tersebut.

“Malah LA DPPM merasakan tindakan pihak berkuasa China yang memaksa umat Islam Urumqi yang memaksa syarikat-syarikat swasta di sana untuk membekalkan makanan tengah hari buat pekerja beragama Islam hatta mengugut untuk diberhentikan kerja atau bonus sekiranya mereka berkeras untuk terus berpuasa adalah satu tindakan yang menjijikkan,” ujarnya yang juga Naib Ketua DPPM.

Beliau menyatakan demikian di dalam memorandum bantahan yang dihantar kepada Presiden Hu Jintao, Presiden dan Pemerintah Republik Rakyat China melalui duta besar negara itu ke Malaysia, Chai Xi di kedutaan negara itu, di sini, petang semalam.

Di samping itu, tambahnya, para pelajar Islam di sekolah dan pusat pengajian tinggi juga disediakan juadah makan tengah hari buat mereka. Selain itu, tokoh-tokoh agama juga diugut untuk ditarik balik kebenaran atau tauliah memberikan kuliah dan ceramah agama sekiranya terus menerus menjalankan aktiviti dan penyampaian ilmu agama sepanajang Ramadhan ini.

Sehinggakan, katanya umat Islam juga dihalang untuk memasuki masjid untuk beribadah sekiranya tidak mempunyai bukti pengenalan dan dipaksa mendaftar ke pihak berkuasa untuk beribadah di masjid. Bagi LA DPPM, tambah beliau larangan itu jelas bertentangan dengan ketamadunan sejagat dan bersongsangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan tatsusila manusia.

“Oleh itu kami mendesak agar larangan ini ditarik semula serta-merta dan pihak berkuasa Urumqi perlulah kembali kepada nilai-nilai sejagat dan memperbanyakkan dialog peradaban bagi menyelesaikan masalah yang timbul,” ujarnya.

LA DPPM juga, katanya mengutuk tindakan tindakan pihak berkuasa China yang telah bertindak keras terhadap kebangkitan rakyat Urumqi sehingga mengakibatkan 18 terkorban dan 31 tercedera dalam pertempuran pada awal Ramadhan baru-baru ini.

Tegasnya, pihak DPPM tidak teragak-agak untuk menggerakkan seluruh dunia Islam bagi membela nasib umat Islam Uighur yang telah dinafikan hak beragama dan kebebasan mereka dan penindasan berterusan pihak berkuasa China.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sokong! Mana dia pembela hak asasi manusia, mengapa sepi seribu bahasa? (IH)

Lihat sebelum ini...

E-Buku IH-4: Ke China Bersama Datuk Husam
E-Buku IH-4: Ke China Bersama Datuk Husam

E-Buku IH-33: Dari Cina Ke M'sia, Ikut Jalan Darat
E-Buku IH-33: Dari Cina Ke M\

Friday, August 12, 2011

Misteri Anak Haram Pimpinan Teroris Islam..

CATATAN PERJALANAN: Menyusuri 150 Tahun Kristian Masuk Tanah Batak (siri 6)
Keindahan alam yang ditawarkan Danau Toba dan Pulau Samosir telah lama terdengar ke seantero tanah air hingga mancanegara.Namun tak banyak yang tahu tentang potensi yang dimilikinya.

Silsilah marga-marga batak yang berasal dari Si Raja Batak yang disadur dari buku "Kamus Budaya Batak Toba" karangan M.A. Marbun dan I.M.T. Hutapea, terbitan Balai Pustaka, Jakarta, 1987.

DENDAM Batak Siregar baru terbalas setelah 26 generasi. Kepala Singamangaraja X dipenggal, dalam penyerbuan pembebasan ke Bakkara, ibu kota Dinasti Singamangaraja. Pasukan Paderi yang membantu Siregar waktu itu di bawah pimpinan Pongkinangolngolan atau disebut juga sebagai Tuanku Rao.

Siapa sebenarnya Pongkinangolngolan yang mengetuai pasukan Islam membebaskan tanah Batak? Benarkah dia anak luar nikah atau anak haram seperti dijelaskan sebelum ini?

Ada maklumat menyebutkan, Ibu dari Pongkinangolngolan bernama Gana Sinambela. Dia adalah puteri dari Singamangaraja IX sedangkan ayahnya yang sebenar adalah adalah Pangeran Gindoporang Sinambela adik dari Singamangaraja IX itu. Gindoporang Sinambela dan Singamangaraja IX adalah putera-putera Singamangaraja VIII. Dengan demikian, Pongkinangolngolan adalah anak hasil hubungan gelap atau disebut luar nikah antara Puteri Gana Sinambela dengan bapa saudara (paman) nya, Pangeran Gindoporang Sinambela.

Gana Sinambela sendiri adalah kakak dari Singamangaraja X yang dipenggal kepalanya, seperti disebutkan. Walaupun dilahirkan sebagai anak luar nikah, Singamangaraja X sangat mengasihi dan memanjakan anak saudara (keponakan) nya itu. Tapi, untuk masukkan dalam marga Sinambela tidak mungkin kerana ibunya bermarga Sinambela, namun nama marga sangat penting bagi orang Batak. Maka Singamangaraja X mencari jalan keluar untuk atasi masalah ini.

Beliau Singamangaraja X, mempunyai adik perempuan lain, bernama Puteri Sere Sinambela, yang menikah dengan Jongga Simorangkir, seorang hulubalang. Dalam suatu upacara adat, secara pro forma Pongkinangolngolan “dijual” kepada Jongga Simorangkir, dan Pongkinangolngolan kini bermarga Simorangkir. Namun kelahiran di luar nikah ini diketahui oleh 3 orang Datu (tokoh spiritual) yang dipimpin oleh Datu Amantagor Manurung.

Mereka meramalkan, bahawa Pongkinangolngolan suatu hari akan membunuh pamannya, Singamangaraja X. Oleh kerana itu, Pongkinangolngolan mesti dibunuh. Sesuai hukum adat, Singamangaraja X terpaksa menjatuhkan hukuman mati atas keponakan yang disayanginya. Tetapi beliau memutuskan, bahawa Pongkinangolngolan tidak dipancung kepalanya, melainkan akan ditenggelamkan di Danau Toba. Dia diikat pada sebatang kayu dan badannya dibebani dengan batu-batu supaya tenggelam.
Ibnu Hasyim bergambar kenangan di rumah buangan Presiden Indonesia Pertama, sebagai tahanan politik.. di Parapat, pinggir Danau Toba.
Ibnu Hasyim membelakangi rumah Batak di Pulai Samosir, Danau toba.
Pintu rumah adat Batak ini, dikatakan amat rendah (berbanding Ibnu Hasyim seperti gambar di atas), sehingga tetamu yang hendak masuk terpaksa menunduk dulu sebelum masuk. "Ini adat.. supaya tetamu biasa menghormati orang yang diziarahinya..." kata seorang Batak se waktu ditemui di Pulau Samosir.

Di tepi Danau Toba, Singamangaraja X pura-pura melakukan pemeriksaan terakhir, namun dengan menggunakan keris pusaka Gajah Dompak ia melonggarkan tali yang mengikat Pongkinangolngolan, sambil menyelipkan satu kantong kulit berisi mata wang perak di balik pakaian Pongkinangolngola. Perbuatan ini tidak diketahui oleh para Datu, kerana selain tertutup tubuhnya, juga tertutup tubuh Puteri Gana Sinambela yang memeluk dan menangisi putera kesayangannya itu.

Tubuh Pongkonangolngolan yang terikat kayu dibawa dengan rakit ke tengah Danau dan kemudian di buang ke air. Setelah berhasil melepaskan batu-batu dari tubuhnya, dengan berpegangan pada kayu Pongkinangolngolan berhasil mencapai sungai Asahan, di mana kemudian di dekat Narumonda, ia ditolong oleh seorang nelayan, Lintong Marpaung. Bertahun-tahun berada di daerah Angkola dan Sipirok itu.

Pada suatu hari, Pongkinangolngolan memutuskan untuk pergi ke Minangkabau, kerana bimbang akan akan dikenali juga akhirnya, sebagai orang yang telah dijatuhi hukuman mati oleh Raja Batak. Di Minangkabau ia mula-mula bekerja pada Datuk Bandaharo Ganggo sebagai perawat kuda. Pada waktu itu, tiga orang tokoh Islam Mazhab Hambali, iaitu Haji Miskin, Haji Piobang dan Haji Sumanik baru kembali dari Mekkah dan sedang melakukan penyebaran Mazhab Hambali di Minangkabau, juga dikatakan menganut aliran Syi’ah.

Haji Piobang dan Haji Sumanik pernah menjadi pewira di pasukan kavaleri Janitsar Turki. Gerakan mereka mendapat sokongan dari Tuanku Nan Renceh, yang mempersiapkan tentara untuk melaksanakan gerakan Mazhab Hambali, termasuk rencana untuk mengIslamkan Mandailing. Tuanku Nan Renceh adalah seorang teman Datuk Bandaharo Ganggo. Beliau turut mendengar, serta meneliti nasib dan silsilah dari Pongkinangolngolan. Pongkinangolngolan adalah keponakan Singamangaraja X dan sebagai cucu dalam garis lelaki dari Singamangaraja VIII.

Maka peluang baik ini digunakan oleh Tuanku Nan Renceh dalam politik merebut dan mengIslamkan Tanah Batak. Beliau meminta kawannya, Datuk Bandaharo agar menyerahkan Pongkinangolngolan kepadanya untuk dididik atau ditarbiah olehnya. Maka pada 9 Rabiu’ulawal 1219 H (tahun 1804 M), dengan syarat-syarat Khitanan dan Syahadat, Pongkinangolngolan diIslamkan dan diberi nama 'Umar Katab' oleh Tuanku Nan Renceh.

Nama tersebut diambil dari nama seorang Khalifah Islam ke 2, Umar Khattab. Istimewanya nama 'Katab' dibaca dari belakang atau diterbalikkan, jadi perkataan 'Batak'... Umar Batak!

Penyebaran Mazhab Hambali dimulai tahun 1804 dengan pemusnahan keluarga Kerajaan Pagarruyung di Suroaso, yang menolak aliran baru tersebut. Hampir seluruh keluarga Raja Pagarruyung dipenggal kepalanya oleh pasukan yang dipimpin oleh Tuanku Lelo, yang nama asalnya adalah Idris Nasution. Hanya beberapa orang saja yang dapat menyelamatkan diri, di antaranya adalah Yang Dipertuan Arifin Muning Alamsyah yang melarikan diri ke Kuantan dan kemudian meminta bantuan Belanda.

Juga puterinya, Puan Gadis dapat menyelamatkan diri, dan pada tahun 1871 menceriterakan kisahnya kepada Willem Iskandar.

Pada tahun 1815, Umar Katab alias Pongkinangolngolan Sinambela kembali dari Mekkah dan Syria. Di sana, ia sempat mengikuti pendidikan tentera dengan pasukan kavaleri janitsar Turki. Maka, Tuanku Nan Renceh mengangkatnya menjadi perwira tentera Paderi dan diberi gelar Tuanku Rao. Ternyata Tuanku Nan Renceh menjalankan politik 'divide et impera' seperti Belanda, iaitu menggunakan orang Batak untuk menyerang Tanah Batak.

Apa siasah politik Tuanku Rao atau Pongkinangolngolan selanjutnya? Mengapa disebut teroris Islam waktu itu?

Insya Allah, catatan perjalanan ini diteruskan.

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

10 Ogos 11
Tomok, Toba.


Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

Lihat sebelum ini..

Perangi Malaysiakini, Malaysian Insider.. -Gerakan Cegah Murtad

Isu gereja: Ezam ugut 'bakar' Malaysiakini

Shah Alam 12 Ogos 11: Malaysiakini melaporkan, bekas pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor bersumpah untuk melancarkan "perang habis-habisan" ke atas portal Malaysiakini yang didakwanya sebagai "ejen" kepada "pengkhianat Islam".

NONE"Kita sedia berperang dengan mereka," katanya lagi dalam satu perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat di masjid negeri Selangor, Shah Alam hari ini.

Perhimpunan anjuran kumpulan Gerakan Cegah Murtad itu diadakan ekoran kontroversi berhubung tindakan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya pada minggu lalu.

"Kita akan lancarkan perang habis-habisan jika mereka tidak hentikan dengan ejen mereka -- Malaysiakini, Malaysian Insider -- yang biadap kepada JAIS, kononnya mereka menceroboh masuk gereja.

"Kita beri anda amaran terakhir. Jika anda tidak hentikan sampah ini, kita akan bakar anda," katanya lagi di perhimpunan yang turut diketuai ahli parlimen bebas, Zulkifli Noordin dan exco pemuda Umno Lokman Noor Adam (bawah).

Perhimpunan itu juga diadakan bagi mempertahankan agama Islam kerana "kita bukan jenis yang sanggup gadai agama Allah untuk undi," kata Ezam.

NONEDalam masa yang sama, Ezam menegaskan bahawa beliau tidak ada masalah dengan orang bukan Islam, termasuk exco kerajaan Selangor Ronnie Liu, Teresa Kok dan Elizabeth Wong.

"Kita tidak ada masalah selagi mereka sanggup hormati kepentingan kita.

"Kepada yang kurang ajar, yang biadap kepada kepemimpinan Islam -- tidak ada pilihan lain melainkan perang terhadap mereka," katanya lagi di hadapan lebih 200 orang yang hadir di perkarangan masjid berkenaan.

Kumpulan berkenaan turut membawa beberapa sepanduk, antaranya dengan slogan anti-pemimpin Pakatan, termasuk ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Sementara itu, Zulkifli dalam ucapannya di perhimpunan tersebut turut meminta wartawan Malaysiakini supaya "bertaubat" dan berhenti daripada daripada menjadi "barua" kepada pihak yang didakwanya sebagai "musuh Islam."

NONE"Saya nampak wakil daripada Malaysiakini dan Malaysian Insider di sini. Saya nak beritahu mereka, terutamanya yang Islam supaya bertaubat," katanya lagi.

Zulkifli yang juga seorang bekas pengikut Anwar turut mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti berhubung usaha memurtadkan orang Islam yang didakwa berlaku di gereja Damansara Utama Methodist Church.

Bercakap kepada media selepas itu, Zulkifli berkata beliau merancang untuk membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas gereja terlibat "sebab kita ada maklumat sahih bahawa ini gereja haram."

Kumpulan berkenaan turut membawa beberapa sepanduk, antaranya dengan slogan anti-pemimpin Pakatan, termasuk ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Tidak ramai anggota polis dilihat berkawal di perhimpunan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu. (IH)

Perangkap Along Pakej Aidilfitri, Bagaimana Atasi?

PENGGUNA

KL 12 Ogos 11: 3 Cara Along atau ceti haram memerangkap mangsa menjelang Aidilfitri. Golongan itu dikesan mengambil kesempatan memerangkap umat Islam yang kini sibuk membuat persiapan Aidilfitri dengan menawarkan pelbagai pakej pinjaman khas termasuk dinamakan Promosi Hari Raya 2011.

Berdasarkan hebahan yang dibuat melalui pelbagai cara termasuk pengedaran risalah, tampalan poster di tepi jalan raya, malah melalui paparan iklan di akhbar, wartawan Harian Metro menghubungi beberapa along dan menyamar sebagai bakal peminjam untuk mendapat maklumat lebih lanjut.

Along pertama yang dihubungi berkata, pihaknya mempunyai banyak cawangan di sekitar Lembah Klang dan mampu memberikan pinjaman sehingga RM10,000 khas untuk umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, kadar faedah atau bunga dikenakan lima peratus dan menyasarkan pinjaman itu kepada pekerja sektor awam, swasta dan kakitangan serta pesara kerajaan. Namun, syarat utama ialah semua peminjam dikehendaki membuat pembayaran selepas musim Aidilfitri berakhir.

“Kami hanya mahu tolong, kalau anda sudah buntu, kami sedia bantu,” katanya.

Menurutnya, setiap peminjam harus melangsaikan jumlah pinjaman sebanyak RM10,000 secara ansuran selama setahun atau dua tahun dan jumlah faedah dikenakan RM5,677 setahun.

“Untuk meminjam kami mahukan penyata gaji terbaru selama tiga bulan, kad ATM, bil air dan elektrik serta penyata bank selama tiga bulan. Kami berjanji tidak mengapa-apakan peminjam sekiranya mereka gagal membayar hutang,” katanya.

Along kedua yang dihubungi pula berkata, pihaknya memberikan pinjaman khas berikutan mahu membantu orang Melayu mendapatkan perabot baru, kuih, pakaian dan juga duit raya menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kami mempunyai banyak skim antaranya pinjaman jangka panjang, pinjaman bulanan, pinjaman bayaran bunga dan pinjaman mingguan,” katanya.

Along yang berpangkalan di Shah Alam itu mendakwa mengenakan bunga serendah 1.5 peratus dan proses permohonan hanya memakan masa selama 30 minit.

“Jika anda mahu kami boleh beri pinjaman dari RM5,000 sehingga RM10,000 khas untuk Aidilfitri ini,” katanya.

Katanya, untuk meminjam pelanggan dikehendaki membawa surat pengesahan kerja, buku bank, penyata gaji tiga bulan dan bil air.

Sementara itu, along ketiga yang dihubungi berkata, pihaknya menyediakan pinjaman khas Aidilfitri sehingga RM20,000 tetapi ia terhad untuk kakitangan awam atau pekerja swasta yang bekerja di syarikat besar saja.

“Kami ada tawaran untuk raya, tapi kalau kerja kilang kerja biasa-biasa saja kami tak mahu,” katanya.

Begitulah kisah along seperti yang didedahkan oleh myMetro Online.

Komen Weblog Aidilfitri: Disitulah perlunya kerajaan kebajikan, yang dapat membantu rakyat dengan cekap, cepat dan bertanggung jawab, supaya rakyat tidak terjebak dengan along. Bagi kerajaan BN sekarang pihak mana yang bertanggung jawab menanganinya? Kalau tak ada, tukar kepada kerajaan kebajikan.. (IH)

Terbongkar, Mismah Nafi Dpt Kerakyatan Mudah.

KL 12 Ogos 11; Seorang warganegara baru Mismah - yang mencetuskan kegemparan apabila dikatakan mendapat kerakyatan dalam tempoh empat jam - akhirnya ditemui media. Beliau juga sekali gus tampil menafikan dakwaan mendapat kerakyatan mudah yang dikaitkan dengan dirinya.

NONE"Saya ikut peraturan, bukan macam orang cakap," beliau dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian hari ini.

Wanita asal Bawaen, Indonesia yang pada mulanya keberatan ditemubual juga mengakui sedih dengan dakwaan beliau mendapat 'kerakyatan pintu belakang' itu.

Nama Mismah menjadi perhatian apabila apabila rekod dalam talian pada 2 Ogos lalu menunjukkannya seorang penduduk tetap tetapi disenaraikan dalam daftar pemilih untuk pilihan raya.

Lebih banyak kontroversi muncul apabila selepas empat jam dilaporkan Malaysiakini, status baru ibu kepada empat anak itu menunjukkannya mempunyai kewarganegaraan negara ini.

Sementara itu semalam, di Putrajaya, Pemuda Pas Pusat memberi tempoh tujuh hari bermula semalam kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan isu ‘Mismah’ dan beberapa nama lain yang didakwa sebagai penduduk tetap tetapi diberikan status warganegara dalam tempoh yang singkat.(IH)

London 900 Ditangkap, Britain Tenang?

Polis London serbu rumah perusuh


BEBERAPA anggota polis menangkap seorang lelaki di Eltham, selatan London kelmarin dalam operasi mengekang rusuhan.

LONDON - Bandar-bandar di Britain yang terlibat dalam rusuhan sejak Sabtu lalu kini tenang selepas hampir 900 orang ditangkap. Polis berikrar untuk menangkap para perusuh yang menyebabkan rompakan dan kebakaran berlaku dalam rusuhan itu.

Pihak polis mula menyerbu rumah-rumah untuk mencari para perusuh yang terlibat dalam rusuhan tersebut. Polis Britain telah menangkap 880 orang berhubung rusuhan yang berlaku di London dan di beberapa bandar lain.

Bandar Manchester, Birmingham dan Liverpool yang dilanda rusuhan pada Selasa lalu turut tenang semalam. Di London, seramai 371 orang setakat ini sudah disabitkan kesalahan berhubung ketenteraman awam.

Bandar Birmingham kekal tegang semalam selepas tiga lelaki Asia dilanggar sebuah kereta semasa mereka cuba mengawal kediaman daripada dirompak perusuh. Namun, situasi di bandar tersebut tenang semula semalaman selepas bapa salah seorang mangsa meminta orang ramai tidak membalas dendam ekoran kematian tersebut.

Seorang lelaki berusia 37 tahun sudah ditangkap dan satu siasatan pembunuhan telah bermula. Keganasan dan rompakan bermula pada Sabtu lalu di Tottenham di utara London ekoran kematian suspek penjenayah, Mark Duggan dalam satu operasi polis.

Suruhanjaya Bebas Aduan Polis menyatakan pada Selasa lalu bahawa, tidak ada bukti bahawa Duggan yang berkulit hitam melepaskan tembakan sebelum dia mati ditembak. - Agensi

Ekoran Rusuhan London, Anak Jutawan Merompak

Anak jutawan, budak 11 tahun didakwa merompak

BUDAK lelaki berusia 11 tahun yang dihadapkan ke sebuah mahkamah di Mahkamah Majistret Highbury, London kelmarin.

LONDON - Seorang anak perempuan jutawan dan pembantu guru didakwa di mahkamah kelmarin atas dakwaan merompak dalam rusuhan yang berlaku di London, lapor sebuah akhbar semalam.

Rusuhan yang berlaku sejak Sabtu lalu sebelum berakhir pada Rabu lalu itu berlaku selepas seorang lelaki berkulit hitam yang dianggap tidak mempunyai kesalahan ditembak mati oleh polis pada minggu lalu.

Seorang budak lelaki berusia 11 tahun dan sejumlah lagi golongan profesional juga berdepan dakwaan serupa semasa didakwa di sebuah mahkamah di London. Budak lelaki itu didakwa mencuri tong sampah semasa golongan muda merusuh di Romford, Essex pada malam Isnin lalu.

Pendakwa raya Steven Davis berkata, polis melihat dia mendekati tingkap yang telah dipecahkan. Menurutnya, dia kemudian tunduk masuk dan mengambil tong sampah dan melarikan diri.

Apabila ditangkap polis, budak lelaki itu berkata, dia mahu menghantar tong sampah itu kepada seseorang. Turut didakwa bersama puluhan orang lagi kelmarin ialah Laura Johnson yang berusia 19 tahun yang merupakan anak seorang jutawan.

Dia ditangkap dalam sebuah kereta yang dipenuhi dengan barang-barang elektrik yang dicuri, rokok dan minuman keras yang bernilai £5,500 (RM26,637). Polis menyatakan, dia sedang memandu dari kedai di Charlton, tenggara London.

Laura ditangkap pada malam Isnin lalu bersama Alexander Elliott-Joahill, 18 dan seorang lagi berusia 17 tahun. Mereka didakwa menutup muka masing-masing daripada dilihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Seorang lagi pelajar, David Attoh berusia 18 tahun merupakan antara yang dibebaskan walaupun dia mengaku mencuri dua helai baju T. Majistret menerima ceritanya bahawa dia menemui baju itu di sebatang jalan raya di Hackney.

Seorang suspek, David Benjamin, 25, mendakwa dia mencuri gogal yang digunakan semasa meluncur salji bagi melindungi matanya daripada terkena serpihan kaca yang berterbangan di Ealing. Seorang lagi remaja yang didakwa merompak menggunakan penampilannya di sebuah mahkamah di Croydon untuk mengadu mengenai elaun kebajikan.

Remaja itu, Aaron Samuels, 19, menjerit ke arah hakim dan berkata: "Saya tidak penah mendapat wang untuk elaun kebajikan rumah."

Seorang pembantu guru yang bertanggungjawab ke atas masalah yang dihadapi pelajar, Alex Bailey, 31, mengaku melakukan rompakan semasa rusuhan berlaku. Dia kini dipenjarakan sementara menunggu hukumannya dijatuhkan.

- Agensi

Amaran Kpd KDN 7 Hari, Kalau Tidak,.. -P/PAS


PUTRAJAYA 12 Ogos 11: Pemuda Pas Pusat memberi tempoh tujuh hari bermula semalam kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan isu ‘Mismah’ dan beberapa nama lain yang didakwa sebagai penduduk tetap tetapi diberikan status warganegara dalam tempoh yang singkat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd Sany Hamzan berkata, jika KDN tidak memberi sebarang respon kepada tuntutan Pemuda Pas ini, maka langkah seterusnya adalah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tindakan seterusnya.

Menurutnya, jika Perdana Menteri pun tidak memberi sebarang respons, maka Pemuda Pas akan mengadakan satu perhimpunan aman selepas perayaan Aidilfitri nanti.

“Jika semuanya tidak memberi respons, maka langkah kami yang terakhir adalah mengadakan satu perhimpunan aman untuk menghantar memorandum ke Istana Negara. Isu ini adalah isu yang besar, kita tidak boleh sesekali berkompromi dalam isu ini,” katanya kepada media selepas menghantar memorandum kepada pegawai KDN di sini semalam.

Ditanya mengenai rancangan Pemuda Pas yang kelihatan lebih kehadapan berbanding bersih 2.0 dalam isu ini, Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata Pemuda Pas mengambil pendekatan yang berbeza sedikit.

“Dalam tuntutan bersih 2.0, mereka menuntut membersihkan daftar pemilih, tetapi kami pula mengambil sudut pengkhianatan kepada negara kerana secara mudah memberikan warganegara kepada orang luar,” katanya.

Mengulas mengenai penjelasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memberi alasan isu Mismah disebabkan data yang tidak dikemas kini, Suhaizan menegaskan alasan tersebut langsung tidak boleh diterima.

“Dari 31 Januari sehingga 2 Ogos lalu, sudah lebih tujuh bulan data JPN tidak dikemaskinikan, saya boleh kata kereta lembu yang bergerak dari Kuala Lumpur ke Putrajaya pun hanya ambil masa dua hari,” katanya.(IH/SH)

Syabas Shuhardi, Teruskan Tegakkan Kebenaran!

'Pelakon' Baharudin mahu saman penulis blog
KL 12 Ogos 11: Shuhardi Mat Isa - yang didakwa berlakon sebagai Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan BERSIH - bercadang menyaman beberapa penulis blog yang didakwa memfitnahnya.

Enggan mendedahkan nama mereka pada masa ini, Shuhardi berkata beliau tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa penulis blog yang didakwa menyunting videonya ketika sakit dengan cara yang tidak betul.

"Mereka terbalikkan (babak) yang awal kepada mula, yang mula kepada awal... Ia gambarkan saya seolah-oleh mati hidup semula (berlakon)," katanya.

Shuhardi Md IsaSebelum ini, Shuhardi - peserta perhimpunan BERSIH - dikatakan dimanipulasi sesetengah pihak dengan mendakwa dia allahyarham Baharudin yang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Polis dilaporkan menyiasat perkara itu bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan kenyataan mendatangkan khianat awam; dan Seksyen 233 Akta Multimedia bagi kesalahan melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pihak berkuasa juga pada 2 Ogos lalu dilapor merakam kenyataan Shuhardi dan aktivis usahawan Islam itu mengaku memberikan kerjasama penuh dalam sesi kira-kira 3 jam di rumahnya di Bandar Baru Salak Tinggi.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shuhardi berkata, peguamnya masih mengumpulkan beberapa bukti berkaitan sebelum dijangka memfailkan saman minggu depan.

"Kita masih tunggu masa yang sesuai (untuk tujuan itu)," katanya yang juga setiausaha agung Persatuan Usahawan, Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop)

Tambahnya, saman itu akan dihadapkan kepada tiga atau empat orang penulis blog "yang berniat jahat" dan "pro-kerajaan". Jenis dan nilai tuntutan masih dibincangkan dengan pihak peguam, jelas Shuhardi lagi.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Syabas Shuhardi, teruskan dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Allahu akbar!!

Wednesday, August 10, 2011

Islam Masuk Mandailing Mula Dg Dendam Seks

Pulau Samusir, antara tanah Batak yang ku kunjungi, kelihatan dari dalam Danau Toba
Ibnu Hasyim (kanan sekali) bersama anak-anak muda Batak

CATATAN PERJALANAN: Menyusuri 150 Tahun Kristian Masuk Tanah Batak (siri 5)

SEBELUM masuknya agama Islam-Kristian ke Tanah Batak, selain agama asli Batak iaitu Parmalim, seperti di hampir di seluruh Nusantara, agama yang berkembang di Sumatera Utara adalah agama Hindu dan Buddha. Sedangkan di Sumatera Barat pada abad 14 berkembang aliran Tantra Çaivite (Shaivite) Mahayana dari agama Buddha. Dan hingga tahun 1581 Kerajaan Pagarruyung di Minangkabau masih beragama Hindu.

Agama Islam yang masuk ke Mandailing disebut oleh penduduk tempatan sebagai Silom Bonjol (Islam Bonjol) kerana mereka datang dari Bonjol. Seperti juga di Jawa Timur dan Banten rakyat setempat yang ingkar masuk Islam, menyingkir ke utara atau melarikan diri sampai Malaya. Dikatakan, pembebasan Islam ke Mandailing tersebut berawal dari dendam marga Siregar terhadap dinasti Singamangaraja.

Kisahnya bermula dari seorang anak hasil hubungan seks satu keluarga Singamangaraja X. Diceritakan ketika Marga Siregar bermukim di daerah Muara, di Danau Toba, mereka sering melakukan tindakan yang tidak disenangi oleh marga-marga lain, sehinggaberlaku konflik bersenjata. Menyebabkan, Raja Oloan Sorba Dibanua, kakek moyang dari Dinasti Singamangaraja, memimpin suatu penyerbuan terhadap pemukiman Marga Siregar di Muara.

Setelah melihat kekuatan penyerbu yang jauh lebih besar, peminpin marga Siregar, Raja Porhas Siregar mencabar Raja Oloan Sorba Dibanua melakukan perang tanding -satu lawan satu- sesuai dengan tradisi Batak. Menurut tradisi perang tanding Batak, rakyat yang pemimpinnya mati kalah dalam pertarungan satu lawan satu tersebut, perlu diperlakukan dengan hormat. Yakni tidak dirampas harta bendanya serta dikawal dan diberi peluang lari menuju tempat yang mereka inginkan.

Dalam perang tanding itu, Raja Porhas Siregar telah kalah dan tewas di tangan Raja Oloan Sorba Dibanua. Tetapi anak buah Raja Porhas Siregar ternyata tidak diperlakukan seperti tradisi perang tanding, bahkan mereka diburu oleh lawannya itu hingga lari ke tebing-tebing tinggi di belakang Muara, meningggalkan keluarga dan harta benda. Mereka kemudian bermukim di dataran tinggi Humbang. Pemimpin Marga Siregar baru, Togar Natigor Siregar pun bersumpah dan diikuti oleh seluruh Marga Siregar keturunan mereka, akan kembali ke Muara untuk membunuh Raja Oloan Sorba Dibanua dan seluruh keturunannya.
Ibnu Hasyim bersama seorang kenalan suku Batak marga Marpaung yang membantu penceritaan catatan perjalananku.
Ismail seoang keturunan Batak, sku sentiasa bertukar-tukar fikiran dengannya..
Berpakaian tradisional kaum Batak
Akhirnya, dendam ini baru terbalas setelah 26 generasi. Iaitu, pada tahun 1819, ketika Jatengger Siregar datang bersama pasukan Paderi, di bawah pimpinan Pongkinangolngolan (Tuanku Rao) berjaya memenggal kepala Singamangaraja X, keturunan Raja Oloan Sorba Dibanua, dalam penyerbuan pembebasan ke Bakkara, ibu kota Dinasti Singamangaraja.

Pasukan Paderi waktu itu di bawah pimpinan Pongkinangolngolan atau disebut juga sebagai Tuanku Rao. Siapa sebenarnya Pongkinangolngolan yang mengetuai pasukan Islam membebaskan tanah Batak? Dia sebenarnya adalah anak luar nikah.. Ada misteri di sebalik kisahnya...

Ikuti slanjutnya... Insya Allah, perjalanan ini diteruskan.

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

10 Ogos 11
Tomok, Toba.


Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

Dinar K'tan: 4 Tahun Lalu RM323, Kini RM809


KOTA BHARU, 10 Ogos 11: Orang Islam dan mereka yang menentang kezaliman sistem ekonomi menindas wajib menyokong langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham.

Hal ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa bahawa langkah tersebut sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM809.

Beliau berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam kenaikan harga emas dunia. Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi. Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

“Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

”Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak RM1 juta. Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.

Ketika ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri sebelum ini, beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.

”Mereka mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang manfaat sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang didokongi PAS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih besar khususnya penghujung tahun ini. Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan keuntungan harga emas pada masa akan datang. (IH)

Pelajar M'sia Dipukul Di Kawasan Rusuhan Di London

SERANG...rakaman dalam Youtube menunjukkan Asyraf disamun selepas diserang di London.
SERANG...rakaman dalam Youtube menunjukkan Asyraf disamun selepas diserang di London.
ASYRAF...patah rahang
ASYRAF...patah rahang

KUALA LUMPUR: “Anak saya bukan saja dipukul hingga patah gigi dan rahang, tetapi dia disamun sekumpulan lelaki sebaik melalui satu kawasan rusuhan di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia di Universiti Kaplan, London, Asyraf Haziq, 20.

Rossli berkata, dia dihubungi Mara dari bahagian pelajar luar negara pagi semalam, memberitahu mengenai kejadian menimpa anaknya itu.

Menurutnya, daripada maklumat yang diperoleh, anaknya serta seorang kawan Mohd Fariz ketika itu dalam perjalanan untuk berbuka puasa di rumah pelajar senior mereka.

Rossli yang bekerja sebagai Pengurus Eksekutif Bangunan berkata, dia terkejut dengan berita itu kerana beberapa jam sebelum kejadian, Asyraf ada menghubunginya untuk bertanyakan khabar ibu serta keluarga lain.

“Rasa macam tak percaya kerana dia baru saja telefon kira-kira jam 11 malam semalam (kelmarin), tiba-tiba pagi tadi (semalam) kira-kira jam 9 pagi, kami dikejutkan dengan berita yang menimpa Asyraf.

“Saya ada juga menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui mengenai keadaan rusuhan di sana, namun dimaklumkan tiada rakyat atau pelajar Malaysia yang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, video bagaimana Asyraf dipukul dan disamun tersebar dalam YouTube di Internet. Namun, dia bersyukur anaknya itu selamat dan kini dirawat di hospital.

“Kami juga difahamkan, Asyraf akan dibedah esok (hari ini) untuk merawat rahangnya yang patah. Saya sekeluarga begitu bimbang dan bersedih dengan apa yang menimpa anak, tambahan dia baru saja sebulan di sana melanjutkan pelajaran.

“Jika ada peluang saya dan isteri akan ke London untuk melihat keadaannya, tapi ia bergantung pada perkembangan rusuhan di sana. Tak sangka perkara ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi menjelang Syawal ini, Asyraf tidak dapat pulang kerana baru saja di sana,” katanya.

Menurutnya lagi, jika perlu dia meminta Mara membawa pulang anaknya kerana dalam keadaan sekarang, Asyraf mungkin terpaksa menangguhkan pelajaran.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Asyraf tidak kritikal dan hanya cedera di bahagian rahang dan kini dirawat di Royal London Hospital.

“Pelajar itu tidak terbabit dalam rusuhan, tetapi dia diserang sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarahi rakannya untuk berbuka puasa di utara London,” katanya pada majlis berbuka puasa di Institut Kemajuan Desa (Infra/myMetro).

Foto: Suasana Ramadan Di Tanah Palestin


Warga Tebing Barat, Palestin, menunggu untuk melewati pos penyeberangan Qalandia dalam perjalanan menuju Masjid Al Aqsa untuk beribadah, Jumaat (5/8). Pos Qalandia, yang dijaga Israel, berada di perbatasan Ramallah di Tepi Barat dan Jerusalem.
Anak-anak Palestin mengaji di bulan Ramadhan di Salem, dekat kota Nablus di Tebing Barat.
Seorang pekerja mempersiap roti yang akan diedarkan sebagai tajil di Gaza City, Rabu (3/8).
Beberapa ksnsk-ksnsk terlelap, sementara lainnya mengaji, di Masjid Al-Furqan di Gaza City, Selasa (2/8).
Kanak-kanak Palestin bermain dengan bunga api untuk merayakan bulan Ramadan di Gaza City, Senin (1/8).
Warga Tebing Barat, Palestin, menunggu untuk melewati pos penyeberangan Qalandia dalam perjalanan menuju Masjid Al Aqsa untuk beribadah, Jumaat (5/8). Pos Qalandia, yang dijaga Israel, berada di perbatasan Ramallah di Tebing Barat dan Jerusalem.
Wanita Palestin dan anaknya menjalani pemeriksaan oleh askar Israel di pos penyeberangan Qalandia, Jumaat (5/8). Warga Palestin asal Tepi Barat berbondong-bondong menuju Masjid Al Aqsa di Jerussalem pada Jumaat pertama Ramadan untuk melakukan ibadah.
(IH)

Bermula Lelaki Ditembak Polis, Rusuhan Merebak 3 Bandar


SEORANG anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah kedai perabut di Croydon, selatan London semalam.

LONDON, Britain 10 Ogos 11: Keganasan merebak ke seluruh bandar raya ini dan sekurang-kurangnya tiga bandar lain semalam ketika polis bertempur dengan ribuan perusuh dan perompak yang memaksa Perdana Menteri David Cameron pulang ke Britain untuk berdepan dengan krisis itu.

Cameron menamatkan percutiannya di Itali dan kembali ke Britain untuk mempengerusikan mesyuarat semalam dengan Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan mengenai rusuhan itu. Banyak bangunan dibakar di Croydon, Peckham dan Lewisham, selatan bandar ini dengan kumpulan penjarah meronda jalan-jalan raya di Hackney di timur, Clapham di selatan, Camden di utara dan Ealing di barat.

Selain bandar raya ini, rusuhan turut berlaku di bandar raya Liverpool, Birmingham dan Bristol. Polis Scotland Yard memberitahu, ia telah mengerahkan 1,700 anggota tambahan untuk menangani kekacauan di sini iaitu yang terburuk sejak beberapa tahun lalu. Polis turut menggunakan sejumlah kereta berperisai untuk menyuraikan perusuh.

Beratus-ratus anggota polis pencegah rusuhan memasuki Hackney untuk cuba mengawal keganasan di daerah berkenaan yang terletak cuma beberapa kilometer dari lokasi temasya Sukan Olimpik 2012 yang bakal berlangsung. Menjelang malam, pasukan polis membawa baton memaksa kumpulan belia berundur manakala penduduk tempatan yang berharap untuk pulang ke kediaman mereka tersekat di belakang kepungan polis.

Di Croydon, sejumlah bangunan di seluruh blok terbakar termasuk sebuah premis perniagaan berusia 100 tahun yang menjual perabut dengan api terus marak. Penduduk setempat dipindahkan kerana api yang merebak manakala akhbar Guardian memetik seorang anggota polis yang berada di lokasi kejadian sebagai berkata: "Kami tidak boleh bertahan, ia semakin teruk."

Keganasan bermula pada Sabtu lepas di kawasan penempatan berbilang etnik di Tottenham, utara bandar raya ini selepas seorang lelaki kulit hitam berusia 29 tahun di tembak mati oleh polis dua hari sebelum itu. Menurut Setiausaha Dalam Negeri, Theresa May, situasi yang berlaku di negara itu tidak pernah dilihat sejak lima tahun lalu.

"Kami perlu menamatkan dan kami perlu mengakhirinya dengan segera," katanya kepada stesen televisyen Sky News.

Menurutnya, lebih 450 orang ditangkap di London sejak rusuhan berlaku selama tiga hari berturut-turut. Scotland Yard menyatakan, bilik-bilik penjara sudah penuh dengan para banduan di London dengan para tahanan dipindahkan ke balai polis lain. Kira-kira 6,000 anggota polis ditempatkan di London kelmarin tetapi mereka masih gagal untuk mengekang keganasan. - Agensi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails