Tuesday, January 24, 2012

Perjuangan Islam T/Leste Bagai Kucing Ini..

CATATAN PERJALANAN siri 14

"SEMALAM masa dok makan kat kedai Pak Saifullah, nampak anak kucing ni. Jalan dengan dua kaki hadapan, dua kaki belakang hancur di gilis kereta ikut cerita orang di situ. Be gratefull ok...." kata penulis
Dan masjid ini...
Di daerah utama Timor Leste, ibu kota Dili, umat Islam akan mengerjakan solat Jumaat di satu-satunya masjid yang ada, ialah Mesjid An-nur. Pusat kegiatan Islam sebenarnya bertolak dari masjid sebagai sumber kegiatannya. Begitu yang berlaku di zaman pentadbiran pemimpin besar umat Islam Nabi Muhammad SAW.

Mesjid ini juga dikatakan diasaskan pada tahun 1956 dan menjadi pusat perkembangan dakwah di Timor Leste. Ia menempatkan “Centro da Comunidade Islamica da Timor Leste (Cincistil) dan Yayasan Masjid Annur.

CINCISTIL berperanan seumpama jabatan agama Islam yang terdapat di Malaysia. Ia mempunyai hubungan terus dengan pemerintah, dan mengurus hal ehwal perkahwinan.
Lain pula dengan Yayasan Masjid Annur. Ia adalah sebuah badan bebas yang merupakan pentadbir kepada Masjid Annur, Sekolah Annur, Panti Asuhan Annur, Sekolah Baucau (daerah lain) dan Panti Asuhan Baucau.

Selain itu, ia juga menganjurkan kelas Diniah iaitu kelas agama untuk anak-anak Islam selepas waktu Asar sehingga Maghrib. Antara solat Maghrib dan Isya’ pula, kelas agama untuk orang dewasa diadakan. Lantikan imam dan pendakwah yang dihantar ke daerah-daerah lain dijalankan oleh Yayasan ini.

Institusi dibawah Yaysan ini bergantung terutamanya kepada sumber kewangan hasil derma orang ramai. Selain itu, anak-anak dikenakan bayaran 1.50USD bagi sesi persekolah selama sebulan.

Sekolah Annur terbahagi kepada sekolah dasar, junior dan senior. Guru-guru dan anak-anak muridnya ada yang beragama Islam dan beragama Kristian Katholik.

Sistem kurikulum sekolah-sekolah ini menggunakan sistem kerajaan Timor Leste. Guru-guru pula diberi gaji mengikut jam, dengan gaji berbeza-beza antara 50 hingga 200 USD sebulan. Perbelanjaan menggaji guru adalah antara beban tertinggi di Yayasan ini.

Bagi semua sekolah, jumlah guru adalah seramai 42 orang. Selain itu, terdapat seramai108 anak-anak yatim yang ditempatkan di Panti Asuhan Annur dan 25 orang di Panti Asuhan Baucau.

Alhamdulillah, takdir Allah SWT menentukan jalinan Ukhuwwah Islamiyyah terjalin antara penulis blog itu dengan Pak J Angelo Saifullah bin Angelo J (Pak Saifullah) setelah menikmati juadah tengahari di gerainya. Zaujahnya, ibu Norhayati yang berasal dari Indonesia merupakan rakan sepengajiannya di sebuah pasentren di Indonesia seketika dahulu.

Pak Saifullah dan Pak Anuar...(gambar di bawah).

Pak Saifullah adalah merupakan Bendahara (Istilah Pak Siafullah) kepada Panti Asuhan Annur. Ketika di Indonesia, beliau pernah menjadi pimpinan kepada parti P3, sebuah parti Islam di zaman Suharto.

Beliau cukup menjaga kepercayaan yang diberikan kepada beliau. Pernah beliau menolak bantuan kerajaan Timor Leste sebanyak USD 2000 hanya kerana pihak pentadbir meminta laporan kewangan yang palsu, diberikan semasa pembayaran duit tersebut dilakukan.

Menurutnya ini adalah suatu pemula kepada korupsi. Tugasnya sebagai bendahara tidaklah dibayar. Hidup beliau bergantung dari hasil jualan restoran yang diusahakan sendiri, bahkan semua menu dimasaknya sendiri. Melihat keadaan restoran yang uzur, sudah cukup membayangkan kecekalan hidup beliau.


Restoran Pak Saifullah.. (gambar di bawah)

Seorang lagi aktivis diperkenalkan, iaitu En Anuar da Costa Jose, Setiausaha merangkap Bendahara 2 Yayasan Masjid Annur. Seperti Pak Saifullah, En Anuar juga memegang jawatan tersebut tanpa bayaran dan bergantung hidup sebagai peruncit di luar kawasan Masjid Annur.

Apa bentuk bantuan yang diperlukan oleh Yayasan Masjid Annur? Menurut Pak Anuar, mereka berharap suatu majlis berkhatan untuk anak-anak yatim dan mualaf seramai lebih kurang 60 orang dapat dilaksanakan. Kali terakhir majlis seperti itu dijalankan adalah pada 2005 dengan penyertaan 60 orang selama 3 hari. (Maklumat 2009)

Selain daripada itu, memandangkan pelajar-pelajar dari sini hanya mampu sekadar menghabiskan pembelajaran ke peringkat sekolah tinggi, beliau juga berharap ada badan dapat memberi biasiswa kepada anak-anak di sini bagi mengikuti pelajaran di universiti. (Maklumat 2009)


Menurutnya, pada bulan Febuari lalu, beliau telah menghantar permohonan beberapa orang pelajar bagi mengikuti pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa. Namun, sehingga kini masih belum ada jawapan. Kehidupan disini amat susah. (Maklumat 2009)

Lihat air longkang itu..

Pernah suatu ketika penulis blog itu terserempak dengan seorang anak perempuan yang mandi menggunakan air longkang. Bahkan, pokok-pokok kangkung di biarkan bercambah dilongkang untuk dijadikan makanan.

Sekiranya ada anak-anak meminta upah mencuci kereta di sini, mereka akan mencuci kereta itu dengan air longkang. Jalan-jalan yang rosak tidak dibaiki kembali kerana tiada peruntukan. Supermarket bergantung keuntungan jualan daripada kunjungan orang asing yang kebanyakan bekerja dengan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu.

Malangnya, kedai-kedai besar ini tidaklah dimiliki oleh orang tempatan. Maka, wang hasil keuntungan oleh tauke-tauke ini, tidaklah dibelanjakan disini. Apatah lagi, urusan kewangan seharian di sini menggunakan Dolar Amerika Syarikat. Sering orang awam menyatakan kerisauan keruntuhan ekonomi di sini setelah PBB berundur pada 2012 nanti.

Sesungguhnya, mereka disini sedaya upaya menghidupkan Islam walaupun hidup mereka merana. Bagaikan kucing di restoran Pak Saifullah tadi, hanya berfungsi dengan dua kaki hadapan sahaja, tetap berjalan juga. Patah sayap namun tetap terbang jua, mengikut pepetah orang tua. Mereka menghargai keimanan yang dikurniakan Allah. Tentu di lubuk hati mereka mengharapkan kekayaan rahim Allah diakhirat kelak, biar di dunia fana ini mereka papa kedana..

Pengangkutan awam di sini biasanya dengan Mikrolet. Sejenis van sederhana yang diubahsuai sebagai bas.

Mana sikap dunia Islam yang sepatutnya ibarat satu tubuh di badan? Satu anggota sakit, anggota lain pun sakit juga, bahkan 'mata' salah satu anggota badan pun tidak mampu tidur nyenyak sendiri-sendiri, walaupun anggota lain yang sakit! Mana sikap yang diarahkan Nabi SAW itu!?

Bersambung..

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

22 Jan 12
Dili, Timor Leste.

No comments:

Post a Comment