MUTAKHIR ini perkataan 'al-Wasatiyyah' diwarwarkan, menggantikan slogan Islam Hadari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan Sayyidina Ali K.W.
كلمة حق أريد بها باطل
(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)
Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.
Firman Allah bermaksud:
143. Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.
Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah (الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna 'pertengahan'. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud 'adil, sederhana dan terbaik'.
Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan maksud boleh dikumpulkan benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.
Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.
Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam. Firman Allah bermaksud:
42. Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.
Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.
Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau dikurangkan.
Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga, bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.
Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat, mengikut perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan berdosa besar atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan. Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah al-Fatihah) atau ulama jahat.
Firman Allah menunjukkan adanya kalangan ulama seperti ini :
175. Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.
176. Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.
177. Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.
Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit ayat-ayat Allah.
Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut ilmu-ilmu yang berkait dengannya iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.
Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.
Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah bermaksud:
110. Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.
Firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ
لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) المائدة
8. (Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah, kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang kamu lakukan).
Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang pertama menjadi contohUmmatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini ditolak dengan tegas, sabdanya :
يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو
أهلك فيه ما تركته .
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 474)
(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya).
AL-WASATIYYAH DALAM AGAMA DAN SISTEM CARA HIDUP
Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing, sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat dengan mengadakan hukum yang tidak diizin oleh Allah.
Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta menyanjung para sami seperti Tuhan. Islam berada ditengah-tengah penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi. Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang dan makhluk yang lain.
Berdasarkan firman Allah bermaksud:
70. Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.
Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.
Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut hawa nafsu.
Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara sekularisme.
Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak, dengan menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.
Meletakkan batas sempadan perkara-perkara kemampuan manusia dan di luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat, kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi Makkah.
Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.
Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib menunaikan kewajipan bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain . Firman Allah bermaksud:
19. Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.
Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah bermaksud:
29. Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.
Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang mengharamkan paderi dan saminya berkahwin seperti malaikat dan ajaran yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan, nafkah dan perceraian.
Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan keharmonian kehidupan mereka.
Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman dengan panduannya.
Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa, perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia, kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai kemenangan ,Firman Allah bermaksud:
190. Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
Islam mendahulukan perdamaian. Firman Allah bermaksud:
61. Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
62. Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin.
Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan tidak melampau apabila bertindak.
Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi masalah baru yang bertalu-talu.
Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara terpilih atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan kebaikan yang tidak sempurna membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Weblog ini menganggap, pengisytiharan kenyataan ini dari Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang adalah suatu amanat. Amanat awal ke arah menerajui pimpinan Malaysia atau memerintah Putrajaya. INSYA aLLAH!! (IH)
No comments:
Post a Comment