KL, 15 Feb 12: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, dasar luar Malaysia dibawah kerajaan BN sebenarnya berkiblatkan Amerika Syarikat dan Israel apabila tidak pernah memberi layanan konsisten terhadap perjuangan Palestin.
Dalam satu kenyataan kepada media, beliau merujuk kepada layanan Malaysia terhadap pemimpin negara Palestin yang sah dipilih secara demokrasi pada pilihanraya 25 Jan 2006. Ketika itu, Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dipilih sebagai ketua kerajaan yang kemudiannya melantik Menteri Luarnya Dr Mahmoud AlZahar.
Malaysia pada Mei 2006 telah menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM). Namun yang aneh menurutnya, Malaysia telah membelakangkan kehadiran Dr Mahmoud AlZahar sebagai Menteri Luar sah kerajaan Palestin dan sebaliknya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar Palestin (sewaktu kerajaan Fatah sebelum Pilihanraya 25 Januari 2006) malah menjemput Farouk berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.
"Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin.
"Insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya," katanya sebagai respon kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Najib terdahulu membidas Ketua Umum PKR Dato Seri Anwar sebagai bersikap dua wajah kerana menyatakan sokongannya terhadap usaha-usaha melindungi keselamatan Israel. Malah Najib mendakwa kononnya Malaysia sentiasa memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan Palestin.
Tindakan kerajaan Malaysia ketika persidangan NAM itu kata Saifuddin tidak sukar difahami kerana Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas.
Katanya, hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.
Amerika Syarikat dan Israel seperti yang diketahui umum tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS sebaliknya lebih bersikap lunak terhadap kumpulan FATAH yang tewas pilihanraya, kata Saifuddin lagi.
Menurut Saifuddin lagi, Dr Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudiannya memulau persidangan NAM tersebut dan menemui pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Nasaruddin Mat Isa.
Dr AlZahar dakwanya turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau, malahan Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai ‘biadap’.
"Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika itu maka Malaysia juga akur.
"Bukankah fakta ini dengan sendirinya menolak kenyataan PM Najib sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten," soalnya. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment