KL, 12 Feb 12: Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersetuju dengan langkah Putrajaya menghantar pulang kolumnis akhbar Arab Saudi Mohammad Najeeb A. Kashgari sekiranya terdapat perjanjian kerjasama antara Malaysia dan negara itu.
Justeru kata Asri, adalah lebih baik pentadbiran Najib mendedahkan maklumat perjanjian itu bagi mengelakkan sebarang polemik daripada terus berlaku.
“Memang patut Malaysia menghantar pulang sebab kita ada perjanjian dengan Arab Saudi tapi saya tidak tahu butirannya. Asasnya setiap negara ada perjanjian, kita perlu ikut bila berjanji walaupun kadang-kadang tidak memihak kepada kita.
“Kita memang bekerjasama dengan Arab Saudi, biasanya perjanjian itu kata kalau warga kita ditahan di sana Arab Saudi akan hantar pulang. Begitu juga sebaliknya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Mohammad Najeeb, atau Hamza Kashgari, yang melarikan diri dari Arab Saudi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu sebelum ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Hamza mencetuskan kontroversi selepas mengeluarkan satu kenyataan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui Twitter, yang menyebabkan kemarahan rakyat negara itu.
Tambah Asri, beliau tetap bersetuju dengan langkah menghantar pulang Hamza walaupun tiada sebarang perjanjian yang dimeterai.
“Saya tidak pasti mengenai perjanjian kerjasama itu, kalau ada bukti (perjanjian) kita kena tunaikannya. Kalau tiada perjanjian saya juga setuju hantar balik,” katanya.
Beliau menambah Hamza tidak sepatutnya ke Malaysia untuk dijadikan tempat berlindung selepas mencetuskan kontroversi itu kerana ia boleh menjejaskan negara ini.
“Kalau menghina Nabi Muhammad itu perkara serius di Arab Saudi, tidak patut berlindung di negara Islam... tidak boleh jadikan Malaysia sebagai tempat berlindung kerana ia tidak bagus kepada negara kita.
“Langkah hantar balik adalah tindakan betul supaya Malaysia tidak ditohmah, perkara ini serius di Arab Saudi,” katanya.
Menurut Asri, Hamza tidak semestinya akan dikenakan tindakan berat seperti dihukum bunuh memandangkan perkara itu sudah tentu akan diadili dengan sebaik mungkin.
“Kalau hantar pulang belum tentu dia akan dihukum... mungkin jika dia minta maaf dan bertaubat tidak akan dikenakan hukuman berat.
“Kita tahu kalau hina Nabi Muhammad di Arab Saudi merupakan perkara serius tapi kita nak lihat dalam konteks mana (bentuk penghinaan),” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata penahanan Hamza dibuat atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi.
Beliau berkata penghantaran pulang lelaki itu dibuat berdasarkan perjanjanjian yang membolehkan mana-mana individu yang dikehendaki oleh sesebuah negara dihantar pulang ke negara masing-masing.
Menurut laporan media Arab Saudi, Hamza mengeluarkan tulisan itu pada hari sambutan Maulidur Rasul minggu lepas dengan membayangkan seolah-olah dirinya berinteraksi dengan Nabi Muhammad dan seolah-olah kedua-dua mereka adalah sama taraf.
Hamza turut menyatakan ada sifat Nabi Muhammad yang disukai dan tidak disukainya.
Media negara itu melaporkan susulan tulisan lelaki itu, sebanyak 30,000 entri Twitter yang marah dengan laporannya dibuat dalam tempoh kurang 24 jam.
Tindakan Putrajaya menghantar pulang Hamza bagaimanapun dibantah keras beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.(MI)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Yang penting penghina Nabi SAW wajib di hukum, tidak kira di mana penjuru dunia dia berada ...bangsa dan agama apa dia. Dia perlu mengormati hak agama-agama di dunia.
Sebelum ini...
1 comment:
saya sangat setuju sekali...
Post a Comment