Sholat di Masjid Jami' di Kota Pontianak. Sholat mencegah mungkar, tak kira di mana saja berada.. Nanti hantu syaitan pun takut!
CATATAN PERJALANAN: Kalimantan siri 1
PEREMPUAN, yang mati masa lahir, arwahnya ber'gentayangan' untuk balas dendam. Begitu, kira-kira diertikan kata pontianak atau kuntilanak. Lihat juga Wikipedia disini.
Dalam cerita rakyat Melayu, sosok pontianak digambarkan dalam bentuk wanita cantik. Mudah mengganas penduduk kampung untuk menuntut balas. Sewaktu muncul selalu diiringi harum bunga Kemboja. Konon lelaki yang tidak berhati-hati akan dibunuh sesudah berubah menjadi penghisap darah.
Pontianak juga dikatakan sering menjelma sebagai wanita cantik berjalan seorang diri di lorong yang sunyi. Dalam cerita seram dan filem horor televisyen Malaysia, ada yang digambarkan membunuh mangsa dengan cara menghisap darah di bahagian tengkuk, seperti vampire.
Pontianak atau kuntilanak menurut tradisi Sunda tidak memiliki lubang di belakang leher atau tengkok dan hanya mengganggu dengan penampakan saja. Jenis yang memiliki lubang di belakang leher sebagaimana deskripsi di atas disebut sundel bolong. Pontianak, konon juga suka pohon tertentu sebagai tempat bersemayam. Atau disebut juga 'penunggu' pokok.
Teringat aku semasa kecil-kecil dulu, di antara perbatasaan Kampung Perlis Balik Pulau dengan Kampung Pulau Betong Pulau Pinang terdapat sebuah pohon besar. 'Pohon beringin tempat bergantungan hantu-hantu di situ', demikian anggapan sebahagian penduduk kampong kelahiranku. Untuk melintas pohon besar di depan berhampiran rumah Cikgu Embon itu, amat menakutkan terutama di waktu malam.
Maklum, waktu itu, malam gelap gelita, tiada lampu-lampu letrik tepi jalan, kecuali waktu bulan mengambang. Tetapi waktu bulan mengambang yang samar-samar, suasana lebih menyeramkan lagi. Ada yang nampak pontianak mengilai, kononnya. Sehingga ada orang tua-tua yang mempetuakan, "Bila lalu dekat pohon beringin itu, kena hormat kepada penunggu atau penjaga pokok itu, kata lah... 'Tabik tok! Anak cucu nak tumpang lalu.' Kalau tidak, akan terkena tulah atau bencana."
Bila ku ceritakan pada ayahku, seorang guru agama kelulusan 'Pondok Kubang Semang' Butterworth... "Jangan sebut begitu! Syirik! Haram! Nanti rosak aqidah." tengking ayah kepadaku. Memanglah 'menjadi syirik'lah yang amat ditakuti sekali dalam agama. Minta simpang malaikat 44! Kata mereka.
Ibuku pula pernah bercerita tentang hantu pontianak. Katanya..
'Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda tiap-tiap hari kerjanya memancing ikan hingga ke malam. Tiap hari, ada saja hasilnya dibawa pulang ke rumah. Tetapi bila ia tertidur semasa memancing, selalunya kantung ikan pancingannya kosong. Kerana ikannya sudah tiada, sudah dicuri semasa terlena.
Siapa pencurinya? Inilah yang menyebabkan ia menyiasat. Dari maklumat yang ia perolihi, memang di sekitar situ ada hantu pontianak berupa perempuan cantik yang sering mengganggu manusia. Dia sering mencuri ikan pemaqncing-pemancing di situ.
"Aku nak ajar dia. Bagaimana nak tahu dia bukan manusia?" Tanya pemuda itu.
"Di tengkuknya ada lubang. Untuk mengalahkannya engkau perlu memasukkan paku ke lubang itu, dan dia akan bertukar menjadi manusia." Kata beberapa orang tua di situ.
Akhirnya, pemuda yang gagah dan berani itu bernekad untuk menangkap si pontianak perempuan itu. Suatu malam selepas memancing, dia pura-pura tidur. Ternyata dia berjaya menangkapnya, semasa hantu perempuan datang mencuri ikannya. Lalu dipakunya tengkuk wanita itu. Wanita itu jatuh pengsan, dibawa ke rumah, disedarkan dan memang akhirnya menjadi manusia, seorang gadis yang cantik.
Gadis itu dikahwininya sehingga beroleh dua anak, hidup rukun dan damai.'
Begitu kisah hantu perempuan versi ibuku dulu-dulu. Mengapa aku nukilkan kembali kisah ini? Kerana aku (Ibnu Hasyim), kini berada di Kota Pontianak Kalimantan Barat Indonesia. Aku ingin tahu kenapa kota ini diberi nama Pontianak? Ramai juga yang kutemui, akhirnya aku bersetuju dengan kisah yang ada kaitan dengan Syarif Abdurahman atau Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie.
Syarif Abdurrahman adalah Pendiri dan Sultan pertama Kerajaan Pontianak. (Biografi singkat Syarif Abdurrahman bisa klik disini). Dikatakan beliau sering diganggu oleh hantu Pontianak ketika beliau menyusuri Sungai Kapuas sepanjang 1100 kilometer, sungai terpanjang di Indonesia. Menurut ceritanya, Syarif Abdurrahman terpaksa melepaskan tembakan meriam untuk mengusir hantu itu sekaligus menandakan dimana peluru meriam itu jatuh, maka disanalah wilayah kesultanannya didirikan.
Peluru meriam itu jatuh melewati simpang tiga Sungai Kapuas dan Sungai Landak yang kini lebih dikenal dengan Beting Kampung Dalam Bugis Pontianak Timur atau kota Pontianak. Sejarah Kota Pontianak klik disini. Berita tentang tradisi menyulut meriam pengusir kuntilanak di Kalimantan sila klik disini.
Oh. Ya, berbalik kepada cerita ibuku yang masih belum habis lagi.
'Walaupun, rumah tangga mereka bahagia hidup rukun dan damai (pemuda yang berkahwin makwe gadis pontianak seperti diceritakan tadi), namun pada suatu malam Ponti (nama yang diberi kepada bekas hantu pontianak itu), sedang bermain-main dengan dua anak-anaknya. Anaknya yang besar baru pandai bercakap-cakap, berkreatif, korek sana korek sini dan sedang mencari kutu di rambut ibunya.
Tiba-tiba apabila diselaknya rambut ditengkok ibunya, ternampaklah paku yang tertanam, tertancap di situ.
"Mak! Paku apa yang terbenam di tengkuk mak ni?" Anaknya ingin tahu.
Ibunya terperanjat terkejut, terkenang kepada kisah lama, "Jangan. Jangan kau sentuh dan cabut...."
Belum pun habis cakapnya, paku itu sudah dicabut oleh anaknya.
Maka sebentar itu juga wajahnya bertukar menjadi wajah asal. Bertukar menjadi pontianak semula. Bangun dan terbang mengilai dengan rambut yang menggerbang, berpusing-pusing di langit rumah.
"Mak! Mak! Tunggu, jangan tinggal kami..." Anaknya menjerit-jerit, menangis memanggil ibunya yang sedang berlegar-legar mencari ruang untuk keluar dari rumah.
Suaminya juga terkejut melompat bangun, menjerit sekuat-kuatnya, "Ponti! Ponti! Jangan pergi, aku cinta kamu!
Ponti! Ponti! Jangan pergi, aku cinta kamu!
Ponti! Ponti! Jangan pergi, aku cinta kamu!"
"Heeee, heeee, heeee, heee!" Ngilai isterinya."Heeee, heeee, heeee, heee!"Heeee, heeee, heeee, heee!"
Suara Ponti, makin lama makin perlahan, hilang, sayup-sayup kedengaran.'
Begitulah hantu dan syaitan sentiasa mengganggu manusia, termasuk pemimpin besar Syarif Abdurahman tadi.
Itu baru muqaddimah catatan perjalanan di Pontianak. Bersambung, insya Allah.
Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com
21 Feb 2012
Pontianak, Ind.
pontianak ialah...
ReplyDeletemakhluk perempuan yg kerja dia suka buat fitnah lucah dan sex kepada org lelaki yg baik.
bila dia bercakap saja mesti buat fitnah lucah. sampaikan abang sendiri pun dijadikan mangsa fitnah.
dia lupa kalau nikah nanti abang nya itulah yg jadi walinya.
pontianak jenis ni pun perlu dipaku lubangnya. tp kat tengkuk maybe takde la lubang.
paku saja mana2 yg berlubang, mudah2an bertukar dia kepada bentuk lain yg lebih senyap.
pontianak jenis ni tk makan darah, dia makan duit bomoh2 yg upah dia.