Friday, February 10, 2012

Yayasan Yusuf Rawa Akan Ditubuhkan Di P/Pinang


KL 9 Feb 12: Sebuah yayasan yang akan diberi nama 'Yayasan Yusof Rawa' akan ditubuhkan di Pulau Pinang, dan nama Tuan Haji Yusuf Rawa akan diabadikan pada sebatang jalan di Pulau Pinang tidak lama lagi. Demikian dinyatakan oleh Dr Mujahid Yusof Rawa AJK Agung PAS kepada Harakah semalam.

Menurut beliau, sejarah hidup dan perjuangan Allahyarham Haji Yusof Rawa sebenarnya bukan sahaja terhad dalam aspek politik, tetapi juga merangkumi agama, pendidikan, keusahawanan dan perpaduan antara kaum di negara ini. Katanya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum dan ahli parlimen Parit Buntar.

Beliau adalah salah seorang panelis Forum Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa yang akan diadakan hari ini 9 Februari, mulai jam 7.30 malam di Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Forum yang akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman itu akan dipengerusikan pengamal media dan penggiat politik, Hj Mohd Hashim (Ibnu Hasyim), manakala barisan panelnya terdiri daripada beliau sendiri (walaupun awalnya beliau menolak), pengarang dan tokoh wartawan, Subky Abdul Latif dan ahli akademik yang juga penyelidik, Prof Madya Dr Fadlullah Jamil.

Menurutnya, "Forum seperti itu amat wajar diadakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan tokoh tersebut dikenali dengan lebih dekat oleh setiap rakyat negara ini bagi dijadikan inspirasi dalam perjuangan.

"Penang Institute atau Institut Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai Seri kini telah mengambil langkah untuk mengembalikan fungsi Pulau Pinang sebagai hub intelektual Nusantara dengan menganjurkan Forum Intelektual Nusantara." Jelas beliau lagi.

Sementara itu, menurut sumber Penang Institut, "Forum tersebut merupakan siri forum awam yang mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekiawan, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi kelimuan yang ada kaitan dengan Pulau Pinang dan hubungannya dengan kebudayaan Nusantara secara keseluruhannya.

"Pulau Pinang yang suatu ketika dulu merupakan pusat pertembungan perdagangan, kebudayaan dan keilmuan yang sangat kosmopolitan sifatnya telah banyak mencambahkan benih perubahan dalam masyarakat.

"Tidak mahu hanya dibelenggu oleh romantism silam, Penang Institute turut terpangil untuk mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bersama-sama mengembalikan kegemilangan itu kepada kejayaan masa depan rantau Nusantara.

"Setelah dua siri forum berlangsung, Penang Institute kini turut mengambil inisiatif menganjurkan forum yang akan diadakan hari ini." Jelas Penang Institut. (IH)

No comments:

Post a Comment