Monday, March 19, 2012

6 Tuntutan Wanita Suara Perubahan






















PETALING JAYA, 18 Mac: Kira-kira 2,000 wanita berpakaian ungu berhimpun di Padang Astaka, dekat sini petang tadi bagi menyuarakan enam tuntutan mereka ke arah kerajaan yang bersih.

Menggelarkan diri mereka Wanita Suara Perubahan, himpunan siang tadi menghimpunkan wanita daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Mereka yang dibahagikan kepada dua kumpulan mula berarak jam 2.30 petang iaitu dari Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14 dan Tasik Taman Jaya, Seksyen 10 sebelum berkumpul di Padang Astaka.

Perhimpunan yang mendapat kerjasama pihak polis itu turut disokong Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita Pakatan Rakyat.

Antara yang hadir ialah Senator Mumtaz Md Nawi dari Kelantan, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng, Adun Taman Medan, Haniza Talha, dan beberapa pimpinan wanita yang lain.

Tidak ketinggalan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Lelaki iaitu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan beberapa orang lagi.

Perhimpunan diisi dengan ucapan penuh semangat wakil-wakil NGO dan wakil Pakatan Rakyat diselang seli dengan laungan Wanita "suara perubahan", "bangkit wanita" dan laungan-laungan semangat yang lain.

Wakil Jaringan Orang Asli Semenanjung, Fatimah turut menyampaikan ucapan. Beliau meminta tanah adat dikekalkan dan orang asal diiktiraf di Malaysia dengan tidak meminggirkan mereka.

Perhimpunan tersebut berakhir kira-kira jam lima petang. Di akhir perhimpunan, mereka membacakan enam tuntutan tersebut iaitu..

  • mansuhkan akta perhimpunan awam 2011,
  • kerajaan yang bebas daripada rasuah,
  • gaji yang berpatutan,
  • hentikan keganasan terhadap wanita,
  • pilihan raya yang bersih dan adil
  • dan kualiti hidup yang lebih baik.

60 peratus Muslimat PAS

Sementara itu, Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada muslimat yang sanggup hadir dari pelbagai negeri untuk menyatakan solidariti terhadap perhimpunan tersebut.

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus peserta Wanita Suara Perubahan terdiri daripada muslimat PAS. Selain dari Kuala Lumpur dan Selangor, ada yang datang dari Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Johor dengan menyewa bas.

"Tahniah kerana muslimat berjaya mengumpulkan ahli dalam jumlah yang ramai, saya kira 60 peratus yang hadir ialah muslimat kita.

"Suara wanita tidak boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan dan muslimat PAS menyokong penuh enam tuntutan ini dan kita menyokong segala perkara yang selaras dengan Islam," katanya. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment