Friday, March 02, 2012

Gas Perlu Didaratkan Di K'tan -Sultan Muhammad V

Kerjasama yang mantap antara kerajaan negeri dan sultan Kelantan.

KOTA BHARU, 2 Mac 12: Sultan Muhammad V berharap projek-projek yang telah dirancang dilaksanakan di negeri ini melalui Rancangan Malaysia Ke-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Titah baginda bagi RMK-10 yang bermula 2011 hingga 2015 menggunakan pendekatan format pelan pusingan (rolling plan) yang dilaksanakan sejak tahun lepas memfokus pembangunan tempoh dua tahun.

“Pembangunan kepada tempoh dua tahun berdasar keupayaan kewangan semasa kerajaan Persekutuan.

“Beta berharap projek-projek yang telah dirancang untuk Kelantan melalui RMK-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya,” titah baginda pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dun Kelantan ke-12 semalam.

Menurut baginda juga pada tahun lepas Kelantan menerima pelaburan hampir RM1.4 bilion meliputi bidang hartanah, pertanian, pembuatan dan tenaga diperbaharui. Oleh itu baginda berharap kemasukan pelaburan tahun ini akan meningkat dengan adanya kemudahan pangkalan bekalan di Tok Bali yang dijangka siap pembinaan tahun ini.

Selain itu pembangunan Bandar Baru Tunjung semakin rancak, di samping rakyat akan menerima kesan berganda daripada projek-projek yang dilulus tahun lepas. Sultan Kelantan juga bertitah gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) sudah mulai dikeluarkan.

“Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan zon indutri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi,” titah baginda.

Sementara itu, kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan disambut meriah oleh rakyat negeri itu termasuk mengantung banner (gambar kanan). Di Jeli, tempat Najib dibawa oleh Datuk Mustapha Mohamad bertemu rakyat, kain-kain pemidang dinaikkan oleh rakyat kawasan itu.

Najib dalam rangka lawatannya ke Kelantan hari ini dijangka akan bertemu rakyat di Jeli, kawasan Parlimen pengerusi perhubungan Umno Kelantan. Lawatan terakhir Najib ke Kelantan adalah Julai tahun lalu di mana beliau telah melawat daerah Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu.

Di Pasir Puteh, beliau telah melawat stesen teksi Pasir Puteh dan berjanji akan membina stesen teksi baru di situ. (IH/Hrkh)

No comments:

Post a Comment