KL 6 Mac 12: Sasterawan Negara Dr Muhammad Salleh berkata nama Hang Tuah diulang banyak kali dalam dua dokumen penting, Tuhfat al-Nafis dan Sulalatus Salatin, yang membuktikan kewujudan watak tersebut dalam sejarah.
Bagaimanapun, bahan berkenaan tidak dibaca oleh kebanyakan orang yang lebih banyak melihat gambaran watak tersebut melalui media popular seperti filem dan juga novel epik Hikayat Hang Tuah.
Menurutnya lagi, nama Hang Tuah disebut sebanyak 128 kali dan sehingga tujuh bab dalam kitab Sulalatus Salatin edisi A Samad Ahmad.
"Saya rasa kalau bukan penting dan jika dia legenda seperti Banderang atau Badang, mungkin dalam satu bab sahaja kemudian hilang," katanya lagi dalam forum berkenaan.
Sesetengah pihak pada masa ini hanya menonton filem Hang Tuah dan menyimpulkan kewujudannya melalui watak yang muncul dalam filem berkenaan.
"Kemudian dicampur lagi dengan Hikayat Hang Tuah yang dibaca bercebis-cebis," katanya dalam forum Hang Tuah di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur hari ini.
Selain kitab berkenaan, satu kitab yang ditulis oleh seorang penulis bernama Hang Kulh (dieja dalam tulisan Jawi dengan huruf qaf-wau-lam-ha) yang didakwa sebagai sepupu Hang Tuah turut dijumpai, kata sasterawan itu lagi.
Namun, keadaan manuskrip yang daif dan juga naratif yang tidak lengkap dalam dokumen berkenaan tidak melayakkannya untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia (Memory of the World Register), katanya lagi.
Berdasarkan bukti melalui bahan bertarikh 1658 itu, Muhammad berkata "pada saya, berat kepada kenyataan bahawa (Hang Tuah) wujud."
Muhammad turut menyampaikan penghargaannya kepada seorang lagi ahli panel – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim – yang bertanggungjawab menimbulkan kontroversi awal tahun ini apabila beliau mempertikai kewujuan Hang.
Katanya, kenyataan seperti itu mendorong minat orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut dan memungkinkan kajian lebih mendalam diadakan ke atas perkara itu.
Khoo ketika menyampaikan rumusannya di forum itu berkata, perkara sejarah seperti itu masih memerlukan bukti empiris untuk disahkan sebagai satu perkara sejarah.
"Kalau ada bukti, biar kita semua bincang. Bila dah diuji dan diterima oleh ahli sejarah, barulah kita boleh guna bahan itu," katanya.
Tambahnya lagi, perkara itu juga harus diuji oleh golongan yang dianggap mempunyai kepakaran dalam bidang sejarah.
"Kalau agak-agak saja tidak boleh," tegasnya.
Turut berucap dalam forum berkenaan ialah naib canselor Kolej Universiti Islam Melaka, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim dan juga pengkaji sastera bandingan Dr Lalita Sinha. (MK)
Lihat sebelum ini..
1 comment:
Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan Melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.
Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Winstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.
Post a Comment