Sunday, March 25, 2012

Ini Dia Baru 5 Nama W/Rakyat BN Rampas Tanah..

Wahid dedahkan lima nama pemimpin Umno yang dapat tanah

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menunjukkan gambar-gambar tanah yang didakwa milik Adun dan Ahli Parlimen BN

K/ TERENGGANU 25 Mac 12: Sebagaimana dijanjikan, Pesuruhjaya PAS Terengganu mendedahkan nama penerima tanah dari kerajaan negeri Terengganu di kalangan wakil rakyat Umno.

Mohamad Abdul Wahid Endut mendedahkan sebahagian dari nama-nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang ‘dianugerahkan’ tanah oleh kerajaan negeri.

Pendedahan kali ini lanjutan dari dakwaan yang dibuat pada 18 Mac 2012 lalu yang tidak disebut nama-nama Adun-MP terbabit.

Antara nama-nama pemimpin Umno-BN yang diberi keistimewaan memperolehi tanah seluas satu hektar seorang termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

“Pertama, Ahli Parlimen Besut, Dr Abdullah Muhammad Zin. Dia dikurniakan tanah seluas satu hektar di kawasan Dendong, Mukim Tembila, Besut dengan No. Lot PT6964.

“Kedua, Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh. Bekas MB Terengganu dan dia (Idris) dapat juga di kawasan yang sama dengan keluasan satu hektar dan No. Lot PT6902.

“Ketiga, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad, juga di lokasi tanah yang sama, keluasan juga satu hektar dengan No. Lot PT6904. Keempat, Muhammad Pehimi Yusoh iaitu Adun Kota Putera juga di kawasan sama, keluasan satu hektar dengan No. Lot PT6903.

“Pemimpin kelima, Adun Batu Rakit, Karzan Che Mat. Tanah itu di kawasan Mengabang Bakong, Mukim Batu Rakit, Setiu. Keluasan tanah 0.9965 hektar, dengan No. Lot PT30794,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, 24 Mac lalu.

Abdul Wahid mendakwa mempunyai senarai ramai di kalangan pemimpin terdiri dari wakil rakyat Umno-BN yang dianugerahkan tanah berharga di tepi laut oleh kerajaan Terengganu.

Namun, katanya pendedahan nama-nama pemimpin berkenaan akan dibuat secara berperingkat mengikut keadaan semasa.

“Hari ini, saya akan dedahkan lima nama dulu. Kita (PAS) tidak mahu dedah semua sekaligus. Kita akan buat macam idu Nasional Feedlot Corporation (NFC) Sdn. Bhd jugalah lebih kurang.

“Kita (PAS) dedah sikit-sikit nak tengok reaksi dia (pemimpin Umno). Kita akan bahas lagi perkara ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 23 hingga 26 April 2012, depan.

Menurutnya, jumlah satu hektar seorang kepada pemimpin Umno-BN tertentu tidak wajar dalam keadaan rakyat dinafikan hak tersebut. Ini kerana, katanya, jika satu hektar itu dibahagikan kepada lapan bahagian untuk rakyat sebanyak 20 lot tanah boleh diagihkan.

“Satu hektar itu, jika dijadikan lot perumahan boleh diagihkan kepada 20 lot untuk 20 orang rakyat biasa. Jadi hak rakyat 20 orang telah dinafikan oleh seorang wakil rakyat BN yang dikurniakan tanah itu.

“Jadi untuk lima orang Adun dan Ahli Parlimen BN itu, kerajaan boleh berikan kepada 100 orang rakyat yang memerlukan tanah penempatan masing-masing,” ujarnya

Menurutnya, tindakan pemimpin Umno-BN tersebut tidak selari dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment