Gambar ini juga restoran rimba, tapi cuma hiasan sahaja, tiada kene mengena dengan berita di bawah.
George Town 29 Mac 12: Siapa sangka di tengah-tengah hutan di Kampung Batak, Sungai Ara di George Town, wujud sebuah kasino mini yang sering menjadi tumpuan kaki judi setiap malam.Selain jauh dari penempatan penduduk, ia dikelilingi kebun sayur dan pengunjung perlu menyeberang sungai dengan jambatan untuk ke situ, menjadikannya lokasi cukup strategik untuk menjalankan kegiatan judi haram.
Namun kewujudan kasino mini itu dapat dihidu pihak polis hasil maklumat orang ramai dan intipan telah dilakukan sejak tiga hari lepas.
Sehubungan itu kira-kira jam 9.30 malam tadi, sepasukan polis seramai 10 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu tempat berkenaan dan menahan 63 orang termasuk 17 wanita.
Ketua Unit Pencegahan Perjudian D7 tersebut, DSP Tan Tin Heng berkata premis tersebut turut terselindung di belakang sebuah bengkel kereta.
Beliau berkata, ketika dalam serbuan yang berakhir awal pagi tadi, kesemua yang ditahan itu yang berumur lingkungan 30 hingga 70 tahun sedang leka bermain judi tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Katanya pihaknya juga terpaksa berdepan dengan ancaman tonto malah kawasan itu dipenuhi kamera litar tertutup (CCTV) di setiap persimpangan masuk.
"Kita berjaya merampas wang tunai sebanyak RM45,000 dan pelbagai cip yang bernilai RM65,000 dalam serbuan berkenaan.
"Setiap pertaruhan boleh mencecahi RM250,000 malah ada antara mereka yang sanggup mengadaikan barang yang berharga bagi meneruskan permainan setelah kalah," katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tersebut.
Tan berkata kesemua mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk disiasat menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 seorang atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"Kami yakin ini merupakan serbuan judi yang terbesar di negeri ini setakat ini malah pihak kami akan menjalankan lebih banyak operasi bagi membanteras kegiatan ini," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment