CENTRAL POINT, Amerika Syarikat (AS) - Pada musim panas tahun lalu, Justin Denley terpaksa bermalam di sebuah motel semata-mata untuk mengecas kereta elektriknya yang mengambil masa semalaman ketika melalui lebuh raya rentas negeri Interstate 5 (I-5) dekat sini, negeri Oregon.
Kini, dia dan pemilik kereta elektrik lain tidak lagi perlu membazir masa atau gusar kenderaan mereka kehabisan tenaga sewaktu melakukan perjalanan jauh di lebuh raya berkenaan.
Mereka boleh mengecas kenderaan masing-masing dalam masa kurang setengah jam selepas lapan stesen pengecas pantas beroperasi di laluan sejauh 260 kilometer di lebuh raya I-5 Jumaat lalu. Laluan berkenaan kini dikenali sebagai 'lebuh raya elektrik' pertama di AS.
Dibina selang 40 kilometer, fasiliti tersebut ditempatkan di beberapa stesen minyak, restoran rehat dan rawat serta motel bagi keselesaan pengguna. Susunan itu juga dapat memastikan pemandu sampai ke stesen berikutnya walaupun terlepas sebuah stesen pengecas berkenaan.
Kereta elektrik di AS seperti Nissan Leaf memiliki jarak perjalanan sekitar 110 kilometer.
"Kereta kehabisan tenaga atau masa mengecas yang lama bukan lagi isu buat saya. Lagipun, kemudahan ini diberikan percuma," kata Denley yang memandu kereta Nissan Leaf.
I-5 yang dibina di Pantai Barat AS, menghubungkan Kanada dengan Mexico. Menjelang hujung tahun ini, sejumlah stesen pengecas pantas itu akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya I-5 dari Kanada menuju ke sempadan negeri California yang merangkumi jarak sekitar 885 kilometer.
"Saya gembira mendengar berita ini. Saya lebih rela menghabiskan masa 20 minit untuk mengecas kereta elektrik saya daripada membayar sekitar AS$5 (RM15.30) untuk setiap 3.78 liter atau segelen petrol," kata seorang eksekutif yang juga pemilik Nissan Leaf, Steve Smith. - AP
Lihat sebelum ini..
No comments:
Post a Comment