Saturday, March 17, 2012

Masalah Amah Indo Masih Belum Selesai..

???????

KL, 17 Mac 12: Masalah amah Indonesia masih belum selesai apabila perjanjian baru untuk kerja, gaji dan upah lebih masa amah Indonesia telah dibantah oleh beberapa kumpulan di Malaysia, megikut laporan media tempatan.

Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta kerajaan agar menilai kembali keputusan berkenaan amah dari Indonesia hanya melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata ketetapan tersebut akan menimbulkan kesukaran dan membebankan pihak majikan di Negara ini.

“MBM melihat hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia seperti berat sebelah dan banyak menguntungkan amah, sebaliknya membebankan pihak majikan.

“Dalam tempoh jangka panjang, MBM berharap kerajaan dapat mengambil inisiatif bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja Indonesia,” katanya dalam kenyataan semalam yang dipetik dari Bernama Online.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk beralih kebergantungan pembantu rumah dari Indonesia kepada negara-negara lain yang bersesuaian dan tidak mengenakan syarat ketat.

Utusan Malaysia juga melaporkan bahawa penetapan supaya amah dari Indonesia melakukan hanya satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700 bukan sahaja tidak adil malah membebankan majikan.

Presiden Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Fauzi Engku Muhsein berkata, penetapan itu juga akan menyebabkan pembaziran tenaga yang serius jika dilaksanakan.

“Kami terkejut dengan keputusan yang tidak masuk akal ini. Adakah majikan perlu menggaji sehingga tiga atau empat amah untuk menjalankan tugas memasak, mengasuh bayi dan mengemas rumah?’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman, semalam yang mendakwa penetapan itu dicapai hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia.

Dari Jakarta, Bernama melaporkan Majikan Malaysia perlu membayar upah lebih masa RM27 sehari bekerja jika memerlukan khidmat pembantu rumah Indonesia pada hari cuti rehat mingguan mereka.

Jika mereka bekerja penuh sebulan tanpa mengambil cuti mingguan, bererti majikan perlu membayar upah lebih masa berjumlah RM108, sebagai tambahan kepada gaji bulanan mereka. kata Dr Reyna.

Beliau berkata mesyuarat Pasukan Petugas Bersama (JTF) Indonesia dan Malaysia menetapkan tangga gaji pembantu rumah Indonesia antara RM600 dan RM800 sebulan namun JFT Indonesia tetap berjuang menetapkan upah minimum RM700.

Dalam satu temu ramah dengan media Malaysia di sini, Reyna berkata pembantu rumah Indonesia yang akan mula dikirim ke Malaysia bulan depan akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.

Sebagai contoh jika seorang pembantu rumah digaji sebagai pengasuh bayi, tugasnya hanyalah mengasuh bayi dan tidak melakukan kerja-kerja rumah yang lain.

Kesepakatan JTF menetapkan bahawa amah Indonesia mesti mengikut latihan kemahiran dalam empat bidang iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Sebelum dihantar ke Malaysia, pembantu rumah terbabit diwajibkan menjalani latihan kemahiran selama 200 jam yang mengambil masa 21 hari. (IH/MI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails