Thursday, March 01, 2012

Pontianak: Yusuf Saigon, Kaitan Dg MP PAS 1955..

Syech H Muhammad Yusuf Saigon, ada kaitan dengan MP PAS 1955?

Masjid Al Karim Kampung Saigon, di Jalan Tanjung Raya II. Sejarahnya tidak terlepas dari sosok H Muhammad Yusuf Saigon, seorang tokoh yang pertama kali menerabas hutan di lokasi ini.

CATATAN PERJALANAN: Kalimantan siri 5

PERJALANAN, pengembaraan dan berdakwah antara sifat-sifat yang ada pada seseorang ulama Islam. Di Pontianak ini, nama Syech H Muhammad Yusuf Saigon, tidak lekang dimakan zaman. Meski sudah lama mangkat, namun masyarakat tetap mengingat jasa-jasa sosok salah seorang antara tokoh-tokoh ulama dunia yang disebut-sebut.

Salah seorang anak Mufti Jamaluddin bin Muhammad Arsyad al-Banjari yang terkenal dari suku kaum Banjar, ialah Muhammad Thasin al-Banjari. Beliau mengembara ke beberapa buah negeri kerana menyebarkan agama Islam terutama sekali dalam bidang ilmu tajwid. Sewaktu beliau merantau ke Brunei, berkahwin di sana, memperoleh anak bernama Ramli. Ramai juga keturunannya di Brunei dan Sabah.

Muhammad Thasin al-Banjari meneruskan perantauannya ke Pontianak, Kalimantan Barat memperoleh tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Yusuf, Muhammad Arsyad dan Abdur Rahman. Muhammad Yusuf, setelah belajar ilmu-ilmu keIslaman secara mendalam, akhirnya menjadi saudagar intan. Mohammad Yusuf juga seperti ayahnya, merantau ke seluruh tanah Kalimantan, Sumatera dan ke luar negara, iaitu ke Saigon dan Kemboja.

Di Kampung Melayu, Kemboja, Muhammad Yusuf berkahwin lagi. Beliau berkahwin sebanyak empat puluh kali. Isteri ke 40 dari Kemboja, itulah yang dibawanya pulang ke Kalimantan Barat. Di Pontianak, Muhammad Yusuf membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas. Kampung itu diberi nama 'Kampung Saigon'. Akhirnya beliau dipanggil Yusuf Saigon dan hilanglah nama Banjarnya.

Oleh itu ramai orang menyangka Muhammad Yusuf adalah orang Saigon bukan orang Banjar. Beliau dan saudaranya, Muhammad Arsyad meneruskan perjuangan moyang mereka, iaitu Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al- Banjari yang sangat masyhur itu.

Dasar Perjuangan

Mereka berdua beriktikad,

  • Bahawa tiada satu perjuangan pun yang lebih mulia, dapat menyelamatkan seseorang sama ada di dunia mahu pun akhirat, melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para nabi dan rasul Allah.
  • Bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, Nabi dan rasul akhir zaman, tidak syak lagi adalah satu- satunya agama yang wajib diperjuangkan oleh setiap insan Muslim.

Pembahagian Tugas

Urusan mencari dana untuk kepentingan umat Islam ditangani oleh Muhammad Yusuf, sedangkan propaganda dan dakwah dilakukan oleh saudaranya, Muhammad Arsyad.

Pesantren & Institiut

Cita-cita kedua-dua adik beradik itu dikabulkan oleh Allah, kerana dalam tahun 1925 M. datang seorang pemuda alim dari Ketapang bernama Abdus Shamad yang mendapat pendidikan di Madrasah Shaulatiyah, Mekah. Salah seorang guru beliau di Madrasah Shaulatiyah, Mekah ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman, yang kemudian dikenali sebagai Syeikhul Islam di Kerajaan Selangor.

Abdus Shamad ditampung oleh Muhammad Yusuf Saigon, lalu didirikanlah pondok-pondok tempat tinggal pelajar. Ketika itu berdirilah 'Pondok Pesantren Saigoniyah' sebagai pondok pesantren pertama di Kalimantan Barat (walaupun ada yang menganggap sistem pendidikannya bukan sistem pondok, kerana ia mempunyai bangku- bangku tempat duduk pelajar).

Pondok pengajian selain itu yang ada di Kalimantan Barat ialah Dar al-'Ulum yang diasaskan oleh Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, murid Tok Kenali. Pengajian pondok ini terletak di Kampung Terusan, Mempawah. (Hanya pondok pengajian inilah satu-satunya pondok pengajian tanpa kelas dan tanpa bangku, sistem pendidikannya sama dengan di Patani, Kelantan, Kedah dan Pulau Jawa.)

Dalam tahun 1975, beberapa orang kader Pondok Pesantren Saigoniyah dan Dar al-'Ulum bergabung, sama-sama mengajar di Pondok Pesantren Al- Fathaanah di Kuala Mempawah. Bererti kelanjutan daripada kedua-dua institusi tersebut, masih berjalan terus sampai sekarang.

Sebelum itu, Pesantren Saigoniyah banyak mengeluarkan kader-kader yang mengajar di beberapa tempat di Kalimantan Barat, tetapi sekarang hampir semuanya telah meninggal dunia. Pondok Pesantren Saigoniyah hilang atau tenggelam namanya akibat keganasan tentera Jepun dalam Perang Dunia kedua, di Kalimantan Barat. Setelah Jepun kalah, nama itu tidak muncul lagi.

Namun pada tahun 1977 muncul pula nama baru iaitu Madrasah Al-Irsyad. Nama baru ini diberikan bertujuan mengabadikan nama keturunan beliau, Syeikh Muhammad Arsyad al- Banjari. Syeikh Muhammad Arsyad al- Banjari adalah satu-satunya ulama yang dihormati di Kampung Saigon ketika itu.

Jasa Kepada Dunia

Perlu juga kita ketahui, dalam zaman yang sama keluarga ini juga menjalankan aktiviti serupa di tempat-tempat lainnya di dunia Melayu, bahkan termasuk Mekah. Sebagai contoh Mufti Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mengasaskan pengajian pondok di Parit Hidayat, Sapat, Inderagiri Hilir, dan Sumatera.

Tuan Husein Kedah al-Banjari mengasaskan beberapa tempat pendidikan sistem pondok di Malaysia. Beliau memulakan aktivitinya di Titi Gajah, Kedah, selanjutnya di Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang yang dikenali dengan Yayasan Pengajian Islam Madrasah Al- Khairiah.

Masih banyak lagi institusi pendidikan keluarga ulama Banjar tersebut di tempat-tempat lain, sama ada di Banjar mahu pun di Pulau Jawa. Di Bangil, Jawa Timur seperti Pesantren Datuk Kelampayan. Pondok tersebut diasaskan oleh al-Alim al-Fadhil Kiyai Haji Muhammad Syarwani Abdan al- Banjari. Datuk Kelampayan adalah gelaran untuk Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari kerana beliau dimakamkan di Kelampayan.

Di Dalampagar (Banjar) sekurang- kurangnya terdapat dua buah institusi pendidikan yang diasaskan oleh keluarga ini, demikian pula di Teluk Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Dua buah madrasah di Dalampagar diberi nama Madrasah Sullam Al-'Ulum dan Madrasah Mir'ah ash-Shibyan. Yang di Teluk Selong diberi nama Madrasah Sabil Ar-Rasyad. Yang di Sungai Tuan diberi nama Madrasah Al- Irsyad.

Yayasan yang diasaskan oleh keluarga ulama Banjar tersebut juga terdapat di beberapa tempat, seumpama Yayasan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Yayasan terbentuk dalam rangka haul ulama tersebut yang ke 160 kali oleh panitia (jawatan kuasa) pada 30 November 1967. Iaitu hari kewafatan beliau yang jatuh pada 7 Syawal 1387 H/7 Januari 1968 M, diadakan di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Selatan.

Guru agama dalam keluarga ulama Banjar ini bernama Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh (lahir 3 November 1919), telah berhasil mengasaskan Yayasan Pendidikan dan Pengembangan Ilmu Makrifatullah wa Makrifatur Rasul Nurul Islam di Banjar. Sejak tahun 1972 telah berhasil mengajar dan berdakwah di negeri Sabah.

Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein.

Saya (Ibnu Hasyim) tertarik kepada Tuan Hussein Kedah al-Banjari, atau nama sebenarnya Hussein bin Haji Muhammad Nasir. Tokoh ulama yang menjadi pengasas enam buah pondok termasuk Madrasah al-Taufiqiah al-Khairiah, yang kemudiannya dikenali sebagai Pondok Pak Ya. Dengan 18 buah kitab karangannya, Tuan Hussein dikatakan ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah.

Tuan Hussein lahir di Titi Gajah, Kedah pada 20 Jamadilawal 1280H (1863M). Sejak kecil, Tuan Hussein mendapat asuhan ibunya Tengku Fatimah dan didikan agama daripada datuknya, Haji Mohd. Taib, seorang ulama terkenal di Kedah yang mengasas pondok pengajian agama di Titi Gajah sekitar tahun 1870M. Dalam lingkungan usianya 18 tahun, Tuan Hussein mendapat restu datuknya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Tuan Hussein berangkat ke Patani, negeri yang terkenal sebagai pusat penyebaran ilmu agama pada masa itu. Beliau menuntut dengan beberapa orang ulama terkemuka termasuk Tuan Samela, yang pernah menjadi guru datuknya, Haji Mohd Taib. Selepas itu, bagi mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman, Tuan Hussein menghabiskan 10 tahun menjelajah ke merata negeri, bermula pada tahun 1299H (1881M). Negeri-negeri yang dijelajahinya ialah Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Melaka.

Dari Melaka, beliau menaiki tongkang menyeberang Selat Melaka menuju Medan dan terus ke Acheh. Setelah setahun belajar di Acheh, beliau pulang ke Semenanjung dan mendarat di Melaka. Kemudian menuju ke Perak melalui jalan darat. Di Perak, Tun Hussein mengajar dan banyak menyelesaikan persoalan masyarakat berdasarkan hukum syarak. Di sinilah beliau mula terkenal dengan panggilan ‘Tuan Hussein’.

Kemasyhurannya memikat hati Tok penghulu Abdul Wahab di Panjang Laut, Sitiawan, Perak yang menjodohkan Tuan Hussein dengan anaknya bernama Jaharah. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein berkahwin pula dengan Siti Khadijah setelah Jaharah kembali ke rahmatullah kerana sakit bersalin anak kedua. Tidak berapa lama kemudian, Tuan Hussein bersama isteri pulang ke Titi Gajah untuk membantu datuknya yang sudah lanjut usia mengajar di pondoknya.

Pada tahun 1314H (1896M), Tuan Hussein bertolak ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya, dan sempat belajar dengan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Ahmad Linga dan Syeikh Omar Sembawa. Beliau bersahabat rapat dengan Tok Kenali dan beberapa orang ulama Tanah Melayu lain yang bersama-sama di Mekah. Tuan Hussein belajar selama empat tahun di Mekah dan apabila pulang semula ke Titi Gajah, beliau berusaha selama dua tahun menyusun semula pondok peninggalan datuknya.

Dalam masa yang sama, beliau membangunkan pondok di Alor Ganung kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beberapa tahun kemudian, beliau berhijrah dan mengasas pondok pengajian di Bohor pula. Di Bohor, Tuan Hussein menetap selama 13 tahun. Itulah paling lama beliau menetap di satu-satu tempat dalam sejarah perjuangannya menuntut ilmu dan membangunkan pondok.

Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau. Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (sekarang menjadi sekolah menengah agama dengan penuntutnya melebihi 3,000 orang di pelbagai peringkat pengajian).

Beliau hanya sempat menetap selama empat tahun di Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai. Penghijrahan Tuan Hussein ke Pokok Sena itu berlaku disebabkan beliau diperintahkan keluar dari Kedah atas alasan melanggar beberapa peraturan atau undang-undang negeri. Penghijrahan itu mendorong Tuan Hussein membuka pondok keenam di Pokok Sena iaitu Madarasah al-Khairiah al-Islamiah. Madrasah itu hidup, dan sangat maju semasa di bawah pengendalian anaknya, Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji Ahmad.

Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussein, itukah ulama Islam yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Pertama Malaya 1955 sebelum merdeka? Beliaukah yang menang menjadi Ahli Parlimen Pertama dari PAS atau Parti Islam Se Malaya, merebut 1 dari 52 kerusi Parlimen? Beliau, dikatakan menang adalah atas sokongan mayarakat Banjar sekitar tempat beliau bertanding.

Waktu itu, PAS terus terjun mengharungi pilihan raya dengan merebut 11 dari 52 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Iaitu satu di Pulau Pinang, Pahang dan Kedah. Dua di Selangor, tiga di Kelantan dan Perak. Calon PAS yang bertanding ialah Haji Zabidi Ali (Wellesley South atau Seberang Perai Selatan), Hassan Adli (Teluk Anson), Abdul Wahab Nor (Dinding), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Krian), Zulkifli Mohamed (Selangor Tengah), Othman Abdullah (Kuala Selangor), Mohd Yassin Salleh (Semantan), Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas), Mohd Asri Muda (Kelantan Timor), Haji Nor Yusof (Kelantan Selatan) dan Mohd Salleh Shafie (Kedah Selatan).

PAS cuma dapat satu kerusi parlimen atau pada waktu itu disebut Dewan Perundangan Persekutuan sahaja, iaitu di kawasan Kerian Perak, melalui calonnya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin. (Juga satu lagi kerusi Perbandaran, atau Dewan Undangan Negeri Perak, di Parit Buntar atau dalam daerah Kerian. Calonnya yang menang ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut.)

Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji Ahmad yang menurut sumber Banjar Pontianak ini pernah berkata mengenai ayahnya, “Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya..."

Ertinya, perjuangannya ialah melanjutkan perjuangan ayahnya, yang juga sama dengan perjuangan Syech H Muhammad Yusuf Saigon, iaitu perjuangan menegakkan agama Islam. Itulah juga yang diperjuangkan oleh PAS pada masa itu.

Apakah benar dua nama yang sama itu adalah satu individu? Saya masih dalam penyelidikan lagi. Harap bantu-bantulah saya menyelidikinya.

Bersambung, insya Allah.

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

25 Feb 2012
Pontianak, Ind.

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails